BAB 52

914 20 1
                                        

"Banyaknya awak masak malam ni? Boleh ke habiskan ni?" soal Faiz saat dia melabuhkan punggung di kerusi. Matanya melihat satu persatu lauk yang ku masak.

"Dah berapa tahun awak kenal saya Faiz? Dah bertahun-tahun kan? Awak pun tak pernah sekali pun rasa masakan saya. Apa kata awak cuba rasa." ujarku sambil meletakkan piring kecil yang berisi telur dadar kepunyaan Inara.

Saat itu Harraz masuk ke dapur bersama Inara.

"Sedap sangat ke tu?" soal Harraz sambil menaikkan sebelah keningnya.

"Ibu pandai masaklah. Inara suka ibu punya telur goreng." Inara menyampuk setelah mendengar ayahnya berkata.

"Setakat telur goreng budak tadika pun pandai goreng." gumam Harraz.

Aku mengetap bibir. Ada saja Harraz cari topik untuk mengurangkan kesabaran aku.

"Faiz, sebenarnya saya masak banyak-banyak ni khas untuk awak tau! Awakkan dah banyak tolong saya kan? Awak cakap awak suka sambal tumis sotong kan? Petang tadi masa awak cakap awak tak jadi balik tu. Saya minta ayah pergi market sekejap cari sotong sebab nak masakkan untuk awak." Aku hanya buat tak tahu dengan Harraz.

Harraz menjelingku dengan pandangan yang tajam. Dia menarik kerusi dirinya dan Inara. Setelah duduk dia menilik satu persatu yang ku masak.

"Ye ke? Ala, sweet betullah adik saya ni. Beruntunglah siapa dapat jadi suami Eryna kan?" Faiz seperti memainkan peranan sengaja mahu sakitkan hati.

"Eh, geli pulak aku dengar duk panggil adik ni! Jangan nak panggil adik-adiklah! Saya bukan adik awak!" Aku mengangkat tangan seperti ingin menampar bahunya.

"Ayah elok aje panggil awak adik. Takkan saya tak boleh?"

"Memang tak boleh. Panggilan tu hanya ayah saya yang tersayang aje boleh panggil. Nak beradik-adik pulak!"

"Okey, sorry! Ayah mana?" Faiz ketawa kecil dan dia mengangkat tangan seperti menghadang daripada dipukul.

"Ayah dalam bilik tadi dah panggil pun. Sekejap lagi dia keluarlah tu." Aku terus mengambil tempat untuk duduk bersebelahan Inara.

"Ni ibu ada buatkan telur goreng Inara punya." Piring kecil berisi telur goreng aku angkat bawa dekat Inara lalu ku ambil sebotol kicap lemak manis lalu dituangkan sedikit ke telur goreng itu.

"Terima kasih ibu!" Inara tersengih-sengih melihat aku mula mencedokkan nasi putihnya. Bukan untuk Inara sahaja tapi untuk semua termasuk untuk ayah.

Ayah pun masuk ke dapur lalu mengambil tempat bersebelahan Faiz.

"Amboi, banyaknya adik masak? Sampai lima jenis lauk ni. Adik nak buat kenduri ke apa?" Ayah menegurku.

"Tak banyak pun ayah, adik cuma masak kari ayam dengan sambal sotong. Sayur kangkung tumis belacan. Lagi dua ni, lauk daging masak hitam dengan sup ayam ni. Acik Siti yang bagi, anak teruna dia yang hantar petang tadi."

"Anak teruna dia yang mana?"

"Ajim."

"Ajim mana pulak?"

"Si Ajim, nama betul dia Ahmad Nalzim. Ala budak tu dulu satu tempat dengan adik dulu masa mengaji. Kalau balik mengaji dari rumah Cik Som. Dia yang selalu temankan adik, kakak dengan Apit sampai rumah."

"Lah, si Nalzim ke? Budak tu dulu pernah berkenan dengan adik. Dia cakap dengan ayah nanti dah besar nak pinang adik." Ayah ceria bercerita tentang Ahmad Nalzim.

"Ye ke? Bila dia cakap macam tu?" soalku.

"Ala, masa tu semua kecik lagi. Nalzim tu kalau lalu depan rumah naik basikal mesti matanya melilau macam cari seseorang. Bila ayah tanya cari siapa dia tak jawab. Satu hari tu ayah tanyalah rupanya dia dah lama suka adik. Dia nak kahwin dengan adik bila dah besar. Dalam dua tahun lepas tu dia pindah ikut ayahnya. Iyalah Cik Siti dengan suaminya dah bercerai. Bekas suaminya tuntut hak penjagaan Nalzim. Sampailah sekarang Nalzim tak balik sini. Itu yang ayah terkejut bila adik cakap yang Nalzim dah balik."

Andaikan Cinta Itu AdaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang