BAB 31

963 16 6
                                        

"Insya-Allah kalau tak ada aral melintang esok saya balik."

"Iyalah, jaga diri baik-baik. Semalam saya jenguk Mak Long. Nampak sangat dia macam sunyi bila awak dan Inara tak ada. Cepatlah balik, saya yakin yang Mak Long tengah rindukan awak." Terdengar seperti Faiz tertawa kecil.

"Mak Long rindukan cucu dia ni hah, si Inara ni. Buat apa nak rindukan saya. Saya ni dah tua, tak perlu nak dirindukan pun."

"Aik, kalau dah tua memang dah tak boleh nak rindu ke?"

"Dahlah, Faiz sebelum awak merepek meraban. Saya bagi awak bersembang dengan Inara tau. Dia nampak macam dah tak sabar nak cakap dengan awak tu. Adalah benda yang dia nak ceritakan tu." Aku melirik pada Inara yang memuncungkan bibirnya kerana tak dapat berbicara dengan Faiz.

"Bagilah, ni kes rindukan papa Faiz lah tu." Selepas Faiz menghabiskan ayatnya. Aku menyerahkan telefon pada Inara. Setelah mendapat telefonku senyuman Inara terus terukir bagai nak cecah ke telinganya.

"Yeay! Dapat cakap dengan papa!" Usai dapat telefonku dia terus menghilang masuk ke dalam rumah.

Tak sempat aku menghalang, aku ternampak kelibat Harraz yang muncul. Dia mendekatiku. Aku mengalihkan pandangan ke arah lain.

Harraz mendekatkan bibirnya ke telingaku.

"Jadi lelaki yang kau cintakan tu siapa? Farhan?" Harraz menyoal kedua tangannya dimasukkan ke dalam poket.

Aku hanya memilih untuk membisu.

"Ataupun lelaki yang Inara gelar papa tu? Siapa? Faiz?" Harraz menjarakkan dirinya denganku.

"Awak tak perlu tahu pun." Ringkas saja aku menjawab.

"Tak perlu tahu? Kau sedar tak yang kau isteri aku lagi. Dengan siapa kau berhubung aku perlu tahu. Aku tak tahu yang kau seteruk ini Eryna. Kau cintakan lelaki lain sedangkan kau masih bersuami." Ayat yang dilontarkan oleh Harraz rasa seperti tamparan hebat padaku.

"Suami? Awak cakap soal status awak ke? Adam Harraz sedarlah diri! Selama awak jadi suami saya. Apa aje perkara yang pernah awak buat supaya saya jatuh cinta pada awak? Tak pernah. Tak pernah ada. Malah awak tak pernah ada disamping saya. Awak tak pernah ambil tahu tentang saya. Awak tak pernah bagi cinta dan kasih sayang awak pada saya. Satu pun tahu awak takkan pernah buat. Takkanlah saya jadi orang yang tak malu menagih cinta pada lelaki yang tak mahukan saya. Saya pun manusia biasa inginkan kehidupan bahagia macam orang lain."

"Jadi apa makna yang kita buat malam tadi?" Tanpa segan silu Harraz menyebutnya. Aku berharap agar tiada siapa yang mendengarnya.

"Awak sendiri yang anggap awak cuma jalankan tanggungjawab awak sebagai suami. Begitu juga saya, saya pun cuma jalankan tanggungjawab saya sebagai isteri. Berdosa kalau saya tolak keinginan suami saya. Saya buat semua ini sebab saya yakin dengan cara ini kita dapat berbaik semula dan betulkan kesilapan masing-masing."

"Apa guna kalau kita bersama kalau hati kau tetap pada orang lain."

"Jadi apa bezanya awak? Kita berdua sama aje. Tak perlu awak persoalkan."

"Okey, kalau macam tu. Aku dah buat keputusan. Memandangkan yang kita berdua memang tak pernah ada hati antara satu sama lain. Kau pun cintakan lelaki lain. Aku pun cintakan perempuan lain. Aku terima cadangan kau. Kita berbaik dan selepas aku kahwin. Aku akan ikut kehendak kau."

"Memang itu yang saya nak dengar dari dulu lagi" Aku menghela nafas.

"Dengan syarat, kalau hubungan kita sebelum ini tak menghasilkan zuriat. Aku sedia lepaskan kau tapi kalau ada dan kita berdua punyai anak, aku takkan pertimbangkan dah cadangan kau. Pertama sebab kau dah melahirkan zuriat aku bermakna kau akan jadi milik aku selama-lamanya. Aku nak kau jadi isteri dan ibu pada anak aku untuk selama-lamanya."

Terasa mahu pecah pembuluh darahku mendengar keputusan Harraz. Adakah tujuannya meniduriku semalam adalah sebuah perangkap? Perangkap sebagai alasan supaya dia tak boleh lepaskan aku?

"Awak cuba nak perangkap saya ke Harraz?" soal aku yang cuba berlagak tenang.

"Tak juga, tak semestinya juga hubungan kita semalam boleh membenih hasil kan? Aku cuma cakap kalau kita ada zuriat. Cuma itulah kalau ada, janganlah pulak gugurkan anak tu sebab kau tak nak hidup dengan aku kan." Harraz tertawa sinis.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Ini bukan soal kalau hamil anaknya dalam masa terdekat ini kerana perkara ini juga belum pasti. Tetapi ini soal perkara yang sudah terjadi. Aku dengan Harraz memang sudah punyai zuriat bersama.

"Saya tak sebodoh itu Harraz." Aku merenung tajam lelaki itu. Bagaimana dia boleh terfikir yang aku sanggup gugurkan kandungan sendiri? Okeylah sebelum ini memang pernah berniat mahu melakukan ketika hamilkan Inara dulu.

Salah satu fakta yang popular untuk mengugurkan kandungan adalah dengan memakan buah nanas muda. Teringin nak cuba juga, tapi bila mengingatkan azab yang bakal ku terima di akhirat kelak. Aku terus mematikan hasrat itu. Itu juga sudah dikira sebagai dosa membunuh.

"Terpulang pada kau Eryna. Aku cuma nak ingatkan kau sekali kau dah masuk dalam urusan hidup aku tak semudah itu kau dapat melepaskan diri."

"Tolonglah Harraz, buat masa ini jangan ganggu hidup saya. Buat masa ni kita buat haluan masing-masing dulu. Saya nak kita akan jumpa bila tarikh perkahwinan awak dengan Eliana dah dekat. Anggaplah ini kali terakhir awak cakap dengan saya."

"Okey, suka hati kaulah nak buat apa. Jangan kau lari lagi sudahlah." Sinis Harraz mengejek kemudian dia mengundurkan diri dan berlalu pergi.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Harraz lelaki yang sukar dijangkakan. Semalaman aku bersamanya dia kelihatan baik dan lebih mesra berbanding sekarang. Adakah Harraz sebenarnya mempunyai split personality? Sukar untuk membaca fikiran lelaki itu.

Andaikan Cinta Itu AdaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang