Selepas masuk saja ke dalam rumah Harraz aku terus meluru ke dapur. Melihat Puan Norida sibuk mengeluarkan bahan masakan.
"Assalamualaikum." Aku memberi salam.
Puan Norida yang tersedar dengan kehadiran aku dia terus datang padaku.
"Eh, bila sampai? Umi tak dengar pun orang bagi salam." Puan Norida mencuri pandang pintu hadapan.
"Tadi, pak cik yang bukakan pintu." Aku membalas.
"Kenapa panggil pak cik pulak ni? Panggil abahlah. Eryna lupa ke yang Eryna masih lagi menantu kami." Puan Norida memegang sebelah tanganku.
"Rasa macam tak layak pula saya nak gunakan gelaran tu. Iyalah, saya sedar kedudukan saya dalam rumah ni. Lebih-lebih lagi tak lama lagi kan Harraz akan berkahwin dengan Eliana dan saya pun akan dilepaskan."
"Apa pun jadi antara kamu berdua selepas ini. Kamu jangan tukar panggilan tu. Kami tetap akan jadi umi dan abah buat kamu Eryna."
"Iyalah, Eryna janji. Umi baru nak masak ke?" soalku.
"Iya. Baru aje keluarkan barang. Eh, anak siapa yang kamu bawa ni?" Puan Norida menyoal setelah tersedar yang Inara yang menyorok dibelakangku.
Inara yang tahu dirinya seakan terpanggil dia mula mengintai Puan Norida dari belakangku.
Gementar juga aku jika ketahuan tentang status Inara sekarang. Kini belum masanya lagi untuk semua orang tahu tentang status Inara. Selagi perkahwinan antara Harraz dan Eliana belum terjadi mereka tak boleh mengetahui.
"Nama kita Inara." Inara bersuara. Dia malu-malu.
"Comelnya budak ni. Umur berapa?"
"Enam tahun." Inara mula beranikan diri untuk tampil dekat dengan Puan Norida.
"Ibu adik siapa?"
"Inilah ibu kita. Nama ibu kita Eryna Sofia. Nama kita Inara Sofia. Nek Long kata ibu letak nama kita supaya nak dekat sama dengan nama ibu. Kan ibu?" Inara menyoalku.
"Hah, iya sayang. Nama kita berdua nak dekat sama. Biar semua orang tahu yang Inara anak ibu." Aku membalas lembut. Hakikatnya bagai mahu pecah pembuluh darahku kerana takut rahsia pecah.
Puan Norida terdiam seketika dan mencuba mencerna apa yang baru dilihatnya tadi. Mesti dalam fikirannya bila masa aku dan Harraz punya anak kan?
"Eryna ambil anak angkat ke?" Soal Puan Norida.
"Hah?"
"Iyalah, takkanlah budak ni anak Eryna dengan Harraz kan? Kamu berdua dulu pun sibuk belajar takkanlah ada masa nak ada anak." Boleh pula Puan Norida fikir ke situ. Apa-apa sajalah janji tak pecah rahsia.
Aku hanya menganggukkan kepala saja. Tak berani banyak cakap takut mendatangkan syak.
"Sejak bila Eryna ambil anak angkat ni?" Soal Puan Norida lagi.
"Eryna start jaga dia betul-betul lepas habis belajar. Tapi dah dekat dengannya sejak dia dari dalam kandungan ibu dia dulu. Sebelum ni Mak Long yang jaga. Iyalah, Mak Long pun anak tak ada. Dia pun sunyi jadi tak salah jaga budakkan. Sekarang Mak Long tak berapa sihat kadang-kadang. Sepenuhnya Inara dibawah jagaan saya." Bijak sungguh aku mencari alasan menipu.
"Iya ke? Patutlah Inara ada iras-iras Eryna. Mesti ibu dia terkenan muka Eryna." Puan Norida menduga.
"Mungkinlah, ramai yang cakap macam tu. Sekilas pandang macam anak kandung saya." Banyaklah kau punya terkenan. Penat-penat aku usung perut sampai 9 bulan 10 hari bawa Inara dalam kandungan. Memang patut pun dia terkenan muka aku. Kalau terkenan muka Harraz lagilah haru-biru.
Takkan nak cakap ibu dia terkenan muka Harraz. Sedangkan pada fahaman mereka yang 'ibu' Inara adalah tidak dikenali. Dah tentu Harraz juga tak mengenali 'ibu' Inara.
******
"Umi! Siapa yang pecahkan botol perfume Eliana ni?" Suara Harraz yang lantang mengejutkan aku dan Puan Norida yang ralit bersembang sambil memasak.
Aku dan Puan Norida berpandangan sesama sendiri. Kami terus bergegas ke hadapan untuk melihat apa yang terjadi.
Sebaik sahaja aku sampai aku nampak yang Inara tertunduk takut sambil berhadapan dengan Harraz dan Eliana. Harraz bercekak pinggang. Mereka terlihat seperti baru pulang dari kerja.
Tanpa fikir panjang aku meluru ke arah Inara yang sudah teresak-esak menangis.
"Anak siapa yang kau bawa ni Eryna?" Harraz menjerkah aku.
Terketar-ketar tanganku sambil mengusap kepala Inara supaya dia tenang.
"Kenapa ni sayang? Pandang muka ibu. Apa yang Inara buat ni?" Aku menyoal Inara.
"Inara tak sengaja." Usai berkata tangisan Inara jadi semakin kuat.
"Lain kali kalau nak bawak budak datang rumah orang ajar beradab dulu. Ini tidak datang rumah orang memecahkan barang orang. Kau ingat perfume yang dia pecahkan tu harga RM 10 ke? Yang boleh dapat kat pasar malam? Kau tau tak perfume tu barang hantaran aku kat Eliana."
"Ibu, Inara takut." Inara terus memeluk tubuhku. Aku pandang botol minyak wangi yang telah berderai itu.
"Ibu? Sejak bila kau beranak ni?" Harraz yang bersuara lagi.
"Dahlah, Harraz jangan diikutkan sangatlah marah tu. Inara tu anak angkat Eryna." Puan Norida cuba meleraikan pertelingkahan.
Harraz ketawa sinis.
"Orang ada anak dia pun nak ada anak. Dah ada anak tak pandai nak jaga pulak tu. Kau ni sebenarnya nak hancurkan majlis kahwin aku kan? Lepas tu kau suruh budak ni pecahkan barang aku. Kau memang busuk hati!"
"Sudahlah Harraz! Berapa ringgit aje perfume awak tu? Seribu? Dua ribu? Saya boleh bagi sepuluh botollah. Awak ingat saya tak tahu harga sebenar perfume tu? Harga lima ratus ringgit aje pun. Perfume yang saya pakai lagi mahal dari yang awak nak bagi pada Eliana tu. Setakat perfume murahan yang awak nak bagi kat Eliana tu apalah sangat bagi saya." Sinis juga aku menjawab. Aku tahu ego lelaki Harraz pantang dicabar.
"Kau ingat aku tak mampu ke nak bagi barang yang mahal-mahal pada Eliana?"
"Saya tak pernah cakap pun yang awak tak mampu. Terpulanglah pada awak nak menilai apa yang saya cakap." Aku memeluk tubuh.
"Kau memang kurang ajar!"
"Saya kurang ajar atau awak yang kurang ajar? Saya bukan nak bela kesalahan yang anak saya dah buat! Bagi saya yang salah tetap salah! Saya cuma kesal dengan awak Harraz. Kesal yang teramat sangat! Kenapa setiap kali pertengkaran kita awak palitkan hal saya. Awak akan burukkan saya. Besar sangat ke salah saya pada awak?"
"Sebab aku benci kau! Kau tahu setiap inci tubuh badan kau, aku benci. Jangan muka kau aku benci. Semua benda yang ada pada kau aku benci! Kesilapan aku adalah terima cadangan ayah kau untuk menikahi kau. Kau dah hancurkan separuh masa depan aku!"
"Harraz!" Encik Halim yang baru muncul di hadapan pintu. Mukanya kelihatan bengis. Terlihat Encik Halim mengepal tangannya hingga timbul urat. Jelas kelihatan yang Encik Halim sedang dalam amarahnya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Andaikan Cinta Itu Ada
RomanceSejarah silam yang membuatkan ERYNA SOFIA trauma berasa jijik dengan diri sendiri. Perkenalan antaranya dengan ADAM HARRAZ memberi sejuta kenangan pahit padanya walaupun pada awalnya Eryna mencintai jejaka itu. Mereka disatukan kerana fitnah orang k...