Faiz menundukkan wajahnya. Sedari tadi aku perhatikan dia seakan cuba melarikan pandangan daripadaku. Hari ini aku perlukan penjelasan sebenar dari bibir Faiz. Apa yang selama ini yang tersimpan menjadi rahsia.
"Lebih baik awak terus terang dengan saya. Awak kenal siapa Farhan kan? Apa hubungan awak dengan Farhan?"
Faiz masih lagi membisu.
"Awak tahu tak kalau diam macam ni awak buat saya kecewa." Aku menyambung lagi kataku.
"Saya tak ada niat nak buat awak kecewa Eryna. Saya... saya memang...." Lidah Faiz seolah-olah berat ingin meneruskan ayat yang seterusnya.
"Memang apa Faiz! Awak sebenarnya orang upahan Farhan kan? Awak dekat dengan saya selama ni semata-mata untuk tahu keadaan saya! Awak dengan Farhan memang melampau! Patutlah sampai sekarang dia tak boleh lupakan saya sampaikan saya kena tuduh perampas dengan Maryam!" Amukku sambil menjelaskan sendiri apa yang sudah jadi sebenarnya.
Faiz mengangkat wajahnya.
"Farhan jauhkan diri dari awak dulu pun sebenarnya bukannya dia jatuh cinta dengan Maryam. Dia terpaksa lupakan awak sebab papa dia menentang bila dapat tahu khabar angin yang dia dengan awak bercinta dulu. Dia tak nak perempuan macam awak masuk dalam keluarganya. Farhan cuba lupakan awak dengan mendekati Maryam kerana dalam masa yang sama Maryam luahkan perasaan dia pada Farhan. Farhan buat pilihan menerima Maryam." Kini baru Faiz berani menatap wajahku yang merah kerana menahan amarah.
"Jadi sekarang Maryam tu cuma bahan dia aje ke untuk lupakan saya? Wow, kalau betul dia buat macam tu. Saya terus terang cakap yang dia adalah lelaki paling tak guna! Gunakan orang lain untuk kepentingan sendiri. Sekarang apa yang jadi? Dia masih juga cintakan saya Faiz. Tanya pada dia balik betulkah apa yang dia buat sekarang! Permainkan hati orang!" Dadaku berombak menahan geram. Aku memegang dadaku. Sakitnya hatiku bila mengetahui segala-galanya.
"Saya akui itu adalah kesalahan dia. Dia gunakan Maryam untuk lupakan awak." Faiz mengeluh kemudian wajahnya menjadi lebih muram.
"Sedar pun yang Farhan tu salah! Yang awak ikutkan sangat si Farhan tu kenapa? Sanggup jadi orang upahan Farhan. Kenapa duit awak dah tak cukup ke sampai perlu buat kerja macam ni?"
Faiz menarik nafasnya seolah-olah cuba untuk menenangkan diri sendiri.
"Farhan upah saya untuk tengokkan awak, selepas awak tinggalkan sekolah tanpa khabar berita Farhan jadi gelisah. Dia cuba jejaki awak secara diam kebetulan yang ayah awak cerita yang awak dah pindah dan tempat yang awak pindah tu berhampiran dengan saya. Jadi dia suruh saya rapat dengan awak supaya dia tahu dengan siapa awak berkawan. Dia juga tahu yang awak ada anak dengan Harraz."
"Saya betul-betul kecewa. Kecewa dengan awak Faiz. Selama ni awak tak pernah ikhlas kawan dengan saya. Semuanya kerana Farhan kan?"
"Mungkin awak anggap saya adalah upahan Farhan. Awak silap Eryna. Saya lakukan atas bukan kerana Farhan. Selama ini saya jaga dan lindungi awak bukan untuk Farhan."
"Habis tu untuk siapa? Awak!"
"Untuk Harraz."
"Apa yang merepek ni Faiz? Awak cuba nak babitkan Harraz dalam hal ni. Jangan kata awak diupah oleh Harraz pulak?" Aku memeluk tubuhku. Menahan sabar menghadap wajah tak berperasaan Faiz.
"Saya jaga awak selama ini untuk Harraz. Bukan kerana duit, saya tak perlukan duit Eryna. Saya tahu yang satu hari nanti hati awak akan terbuka untuk Harraz. Begitu juga Harraz. Saya yakin yang satu hari nanti awak akan kembali pada Harraz hidup bahagia dengan anak awak."
"Memang Farhan yang upah saya untuk tengok awak tapi saya tak terima. Saya cuma gunakan kesempatan saya jaga awak sebelum awak kembali pada hak yang sebenarnya. Dalam hidup saya, sekalipun saya tak pernah rasa bahagia bila dekat dengan seseorang perempuan. Tapi rasa bahagia tu saya dapat rasa bila dengan awak. Saya tahu perasaan saya salah jadi saya dah persiapkan diri sebelum awak kembali pada Harraz sepenuhnya."
"Apa maksud awak Faiz?" Aku jadi terkedu mendengar penjelasan Faiz.
"Saya sukakan awak Eryna."
"Awak tak main-mainkan."
"Saya tak pernah bermain dengan perasaan." Faiz menghela nafasnya.
"Awak patut bahagia dengan Harraz. Dia jodoh awak yang sebenarnya. Tugas saya untuk jaga dan lindungi awak selama ini dah tamat. Awak dah jumpa lelaki yang sebenarnya. Lupakan saya dan saya pun akan lupakan awak." Faiz mengukirkan senyuman keterpaksaan.
"Sejak bila awak jatuh cinta dengan saya?"
"Eryna, pertemuan kita selama ini telah dirancang. Saya pun tak ingat bila perasaan yang salah ini hadir. Kalaulah Farhan tahu yang saya pun jatuh cinta pada awak mesti Farhan pun kecewa." Faiz ketawa dibuat-buat.
Terasa mengalir air hangat pada pipiku.
"Jangan menangis Eryna. Jangan bazirkan air mata awak kerana orang yang salah."
"Kenapa awak sanggup selalu ada dengan saya Faiz? Kenapa awak ambil risiko sakitkan hati sendiri walaupun awak tahu yang saya akan tinggalkan awak suatu hari nanti."
"Saya dah cakapkan Eryna. Saya dah bersedia kehilangan awak."
"Jadi awak nak putuskan hubungan persahabatan sebab saya kembali pada Harraz?"
"Tugas saya jaga awak untuk Harraz dah selesai."
"Kalau awak betul cintakan saya kenapa semudah itu awak lepaskan saya?"
"Awak tahu, saya lebih senang hati kalau dapat tengok orang yang saya cintai berbahagia dengan orang dia cintai. Saya lebih selesa undur diri."
"Tapi saya tak nak awak undurkan diri daripada hubungan persahabatan kita. Saya sayangkan hubungan persahabatan kita."
"Awak akan lebih bahagia dengan Harraz."
Aku menggelengkan kepalaku.
"Awak yakin untuk tinggalkan semua kenangan kita?"
"Yakin."
"Faiz, saya merayu kali ini saja. Tolong jangan tinggalkan saya. Awak sayangkan Inara kan? Kalau awak menghilang macam mana kalau Inara cari awak."
Saat itu Faiz sudah bangun dari kerusinya.
"Saya minta maaf Eryna andai saya selama ini saya ada menyakiti hati awak. Saya sayangkan awak dan Inara. Jaga diri." Selesai dia mengucapkan kata-kata akhirnya dia terus menghayunkan langkah pergi.
"Faiz!" Launganku makin kuat dan melihat Faiz yang kelibatnya sudah menghilang. Benarkah keputusan yang Faiz lakukan tadi? Adakah dia akan tukar fikiran lagi. Kehilangan Faiz bukan kemahuanku. Bukan mudah untukku memiliki sahabat lelaki seikhlas Faiz. Aku terlalu sayang pada hubungan persahabatan kami. Aku tak relakan perpisahan ini. Ketika itu aku nampak Harraz baru muncul setelah dia lihat kelibat Faiz sudah menghilang. Aku cepat-cepat mengesat air mataku.

ANDA SEDANG MEMBACA
Andaikan Cinta Itu Ada
RomansaSejarah silam yang membuatkan ERYNA SOFIA trauma berasa jijik dengan diri sendiri. Perkenalan antaranya dengan ADAM HARRAZ memberi sejuta kenangan pahit padanya walaupun pada awalnya Eryna mencintai jejaka itu. Mereka disatukan kerana fitnah orang k...