Sebelum tiba dirumah umi dan abah Harraz. Aku dan Harraz sempat membeli barang dapur untuk memasak makan malam. Ini semua cadangan dari Harraz. Dia sendiri yang nak mengumumkan berita kehamilanku. Sempat juga telefon ayah untuk mengajak makan malam sekali. Aku pun sudah lama tak berborak dengan ayah.
Saat menyediakan makan malam Harraz juga banyak membantu. Umi pun naik hairan dengan anaknya selama inipun tak pernah nak turun dapur menolong memasak tapi tiba-tiba malam ni nak pulak tolong memasak. Aku pada mulanya rimas juga bila Harraz ingin menolongku. Padahal aku dan umi boleh saja melakukannya sendiri. Tapi daripada dalam bilik lagi dah bagi peringatan yang dia tak benarkan aku buat banyak kerja pada masa sekarang.
Oleh kerana itu, dia yang lebih banyak membantuku. Akhirnya, aku mengalah saja melihat kesungguhan Harraz melakukan kerja.
Ketika itu aku mendengar suara orang memberi salam. Aku memandang Harraz lalu memberi isyarat padanya supaya aku saja yang membuka pintu. Harraz hanya menganggukkan kepalanya. Aku berjalan menuju ke pintu depan untuk membuka pintu. Hatiku sebenarnya melonjak gembira, mungkin itu adalah ayah dengan Inara. Tak silap aku kini adalah giliran ayah menjaga Inara.
Seperti itulah ayah, umi dan abah bergilir-gilir ingin menjaga Inara. Cucu kesayangan punya pasal. Berebut-rebut nak jaga. Itu baru yang sorang yang akan datang ni tak tahulah macam mana pulak.
Namun senyumanku mati saat pintu itu ku buka. Terlihat susuk tubuh kurus tinggi lampai itu tersenyum sinis padaku.
"Eh, ada dekat sini? Bukan kau dah balik ke?" Soal Eliana.
"Suka hati akulah nak balik ke nak tinggal sini ke apa. Ini rumah mak mentua aku."
"Uish, bukan main berlagak eh kau bercakap. Aku datang sini pun bukannya nak jumpa kau. Aku datang sebab nak jumpa umi."
"Kau ni tak ada mak ke? Menyibuk dengan mak orang. Perangai elok tak apalah jugak. Ingat aku tak tahu yang kau cuba cerita buruk tentang aku pada umi kan?"
"Kecohlah kau ni. Umi pun tak ada cakap apa yang kau sibuk apahal? Kau tak sedar ke yang Harraz tu tunggu masa aje nak kick kau. Setakat perempuan macam kau ni apalah yang dia hadap sangat. Tak adalah cantik mana. Cantik lagi aku daripada kau. Itupun aku tak faham kenapa ramai lelaki suka kau. Buta agaknya tak pun kau pakai minyak penunduk tak?" Makin celopar mulut Eliana ni bercakap.
Rasa ringan tapak tangan aku nak menampar mulut Eliana ni. Biar senget mulut dia tu. Cakap langsung tak guna akal ikut sedap mulut dia aje. Dahlah datang tak berjemput.
"Aku tak cantik pun tak pernahlah lagi aku buat muka tak malu macam kau merayu pada isteri orang tu suruh tinggalkan suami dia. Alasan pun sebab tak boleh mengandung. Memalukan keturunan baik-baik mak kau aje." Sempat aku menyindir Eliana sekali dengan mak dia sekali.
"Mulut kau jaga sikit, keturunan yang kau sebut tu berkait dengan kau jugakkan?"
"Ye ke? Aku rasa aku tak pernah ada mak saudara lain selain mak long Sofi. Malang nasib ayah aku ada adik beradik pun tapi adik dia yang khianat dia. Macam tulah daripada perangai mak dia membawalah sampai ke anak dia ni. Dulu bukan main lagi baik pijak semut tak mati." Aku pun bukan main geram dengan Eliana.
Cakap elok-elok pun tak guna. Dulu iyalah, rasa simpati dengan dia. Kesudahannya rasa simpati itulah yang buat aku menderita.
"Biadap!" Eliana seperti mahu mengangkat tangan ingin menamparku.
"Eliana ke tu?" Soal Harraz yang tiba-tiba muncul dibelakangku. Saat itu pergerakkan tangan Eliana mati. Segera dia jatuhkan tangannya ke sisi semula. Pandai betul minah sewel ni berlakon.
"Assalamualaikum, Harraz." Suaranya dilenggokkan menjadi lembut. Naik geli aku mendengarnya.
"Walaikumussalam, awak datang cari siapa?" Soal Harraz.

ANDA SEDANG MEMBACA
Andaikan Cinta Itu Ada
RomanceSejarah silam yang membuatkan ERYNA SOFIA trauma berasa jijik dengan diri sendiri. Perkenalan antaranya dengan ADAM HARRAZ memberi sejuta kenangan pahit padanya walaupun pada awalnya Eryna mencintai jejaka itu. Mereka disatukan kerana fitnah orang k...