BAB 17

1K 28 5
                                        

Setelah hampir bertahun lamanya aku tak menjejakkan kaki dihadapan rumah ini. Rasa rindu yang selama ini ku pendam kembali menyerbu diri ini. Perlahan kakiku melangkah memandang keliling rumah tak banyak yang berubah. Aku ambil kunci rumah yang ayah pernah bagi padaku dulu.

Ayah tak ada di rumah memandangkan pintu rumah terkunci rapat jadi aku simpulkan bahawa mungkin ayah keluar ke pekan. Aku sudah memberi tahu ayah yang aku akan pulang ke sini walaupun beberapa kali ayah bertanya lagi untuk kepastian tapi hatiku berkeras mengatakan tiba masanya untuk aku berdepan semula dengan semuanya.

Lemah langkahku menuju pada bilik tidurku yang lama. Aku tolak pintu bilik itu perlahan-lahan memang tak berkunci. Aku nampak keadaan dan susunan barang-barangku tak berubah walau seinci pun tapi masih kelihatan kemas dan tak berhabuk mungkin ayah yang membersihkannya.

Bersaksikan bilik ini ayah menyuruhku berkahwin dengan Adam Harraz. Di sini juga tempat aku meluahkan segala tangisan saat aku benar-benar tak mampu menanggungnya. Banyak kenangan di dalam bilik ini. Air mataku jatuh tanpa ku sedari.

"Adik dah sampai?" Aku dengar suara dari belakangku.

"Ayah." Aku terus memandang ayah dan memeluk tubuhnya. Lama juga aku tak bertemu dengan ayah. Rasanya raya tahun lepas kali terakhir aku bertemu ayah.

"Ayah tahu adik masih akan rasa sedih sebab tu ayah tak nak kembali ke sini lagi." Aku dengar ayah berbisik.

"Tapi sampai bila adik nak macam ni ayah? Adik tak ubah macam perempuan simpanan dia. Dia gantungkan adik dalam satu ikatan. Ikatan yang sepatutnya ikatan yang bahagia bukan seperti ini." Habis tumpah segala air mataku. Sudah lama aku tak mengalirkan air mata kerana mereka.

Aku meleraikan pelukan.

"Ayah minta maaf sebab ayah buat adik kahwin dengan dia. Adik menderita kerana ayah." Terketar-ketar tangan ayah memegang tanganku.

"Ayah jangan cakap macam tu."

"Kalau ikutkan hati ayah ni. Ayah tak nak adik jumpa dengan mereka lagi dah. Ayah kesal dan makan hati dengan keluarga mereka selepas mereka buat anak ayah macam ni."

"Ayah jangan risau, ayah doakan adik kuat untuk berhadapan dengan mereka itu dah cukup."

"Ayah akan doakan semua dipermudahkan. Ayah dah tak sanggup tengok adik macam ni."

"Adik akan cuba. Adik pun dah tak sanggup dipermainkan oleh mereka lagi."

"Dahlah alang-alang adik balik ni ayah tadi pergi pekan ada belikan asam pedas dari kedai yang adik suka tu. Mesti adik rindukan masakan tu?"  Ayah sudah menukar topik.

Aku mengelap sisa air mata yang masih basah dipipi. Akhirnya aku mengangguk tanda setuju dengan kata ayah. Rindu juga masakan asam pedas ikan pari. Dah terlalu lama tak makan masakan itu. Masihkah rasa sama atau sudah berubah?

******

Rumah yang berada di hadapanku ini aku tenung berat rasanya untuk berhadapan dengan mereka sekali lagi. Aku tarik nafas dalam-dalam dan memberi salam.

"Asssalamualaikum." Lepas aku memberi salam aku nampak kelibat umi Harraz keluar dari pintu sambil membuka kaca matanya. Dia seolah-olah menilik aku.

Aku mendekati wanita itu.

"Walaikumussalam, adik ni datang cari siapa?" soal Puan Norida. Kebetulan ayah Harraz juga ikut keluar untuk melihat.

Aku masih diam membisu.

"Siapa dia ni Ida?" soal suaminya pada Puan Norida.

"Saya datang nak cari mak cik dan pak cik." Balasku walaupun aku seharusnya memanggil panggilan umi dan abah tapi memandangkan kedudukan aku yang masih tak jelas begini lebih baik aku memanggil mereka seperti biasa.

Andaikan Cinta Itu AdaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang