Jam di dinding menunjukkan sudah pukul 5 petang. Seharian aku berada dirumah ayah. Seharian juga aku tak mendapat panggilan dari Harraz. Datang nak mencari aku? Jauh sekali. Aku ada tunggu juga. Kut-kut dia nak datang cari aku ke. Tapi tak ada langsung. Aku duduk diruang tamu menemani Inara bermain telefonku. Sempat juga aku berpesan padanya kalau ada yang menelefonku, minta tolong cepat-cepat berikan padaku namun hampa.
Aku menghela nafas panjang. Jangan-jangan Harraz langsung tak peduli dan memang tak nak cari kalau aku merajuk. Hatiku mula sebak kerana fikiran mulai dah menyangka perkara bukan-bukan. Akhirnya, aku cuba menyingkirkan buruk sangka itu.
"Ayah tengok adik ni seharian duduk sini. Nampak macam tak tenang pun ada." Ayah tiba-tiba muncul dan menegur.
"Tak tenang? Tak ada apalah. Ayah nak pergi mana kemain segak lagi ni. Nak jumpa awek eh?" Aku mengusik ayah.
"Isy, ada ke situ pulak. Ayah nak pergi pekan sekejap. Adik lama ke kat rumah ayah ni?"
"Tengoklah keadaan kalau malas nak balik. Adik tidur sini ajelah." Aku sebenarnya tak berniat pun nak tidur sini tapi dah alang-alang Harraz langsung tak ada tanda nak pujuk lagi. Lebih baik aku tidur sini sajalah.
Makan hati dengan perangai sendiri macam nilah. Pagi tadi orang tu dah pujuk mengada nak jual mahal. Bila orang tu buat tak tahu. Mulalah sakit hati nakkan perhatian semula. Apa jenis perangailah aku ni! Sekarang rasakanlah. Ingat Harraz tu heran sangat ke dekat aku. Agaknya aku dah lupa yang aku dengan dia baru saja nak mulakan hubungan. Aku pulak dah buat perangai macam ni.
"Dah minta izin Harraz ke?"
"Nantilah." balasku bersahaja.
"Adik okey ke nak tinggal sini. Ayah nak keluar sekejap ni. Tak nak ikut ke?"
"Malaslah tak ada mood. Lagipun ada barang-barang yang adik nak kena kemas. Lusa adik nak kena balik sana. Dah lama sangat adik tinggal kerja sana. Tadi pun baru Mama Faiz telefon adik cakap nak jumpa." Sekali lagi aku cipta alasan. Nak berkemas sangat. Apalah barang yang aku kemas sangat tu. Mama Faiz pun telefon pun sekadar tanya khabar dan perkembangan perniagaan bagaimana.
Walaupun aku tak masuk kerja aku tetap juga berjalan seperti biasa. Kadang-kadang ada perbincangan dengan Fathia dan beberapa pekerja lain. Aku juga masih menyemak tentang laporan perniagaan yang Fathia hantar. Setiap gerak-geri pekerja juga masih aku pantau.
Aku memejamkan mataku seketika. Seharian menghadap laptop mana tak sakit mata. Tambah pulak buat kerja sambil teringat-ingatkan orang disana yang macam dah buat-buat lupa dengan aku. Makin tak tenang aku buat kerja. Sudahnya laptop itu aku tutup.
"Dahlah nanti lepas ayah keluar kunci semua pintu. Jangan lupa, bahaya tinggal berdua. Dahlah dua-dua perempuan. Ayah ajak keluar tak nak. Kalau orang bagi salam jangan cepat sangat bukak pintu." Ayah sempat memberiku pesanan. Selepas ayah keluar aku terus mengunci pintu dan kembali berehat.
Nasib baiklah rumah ni ada pintu dapur. Pintu dapur pun aku kunci takut kalau Inara lepas ke dapur main api boleh terbakar rumah. Biarlah Inara bermain diruang tamu sahaja ditemani aku. Sebenarnya mataku terasa berat sekali. Dah seharian mata menghadap cahaya laptop. Letih juga kelopak mata dibuatnya.
"Inara duduk diam-diam jangan pergi mana-mana teman ibu dekat sini. Ibu mengantuk." Aku berpesan pada Inara.
Inara menoleh memandangku.
"Okey!" Kemudian dia menyambung semula bermain telefon. Aku sedang dalam posisi baring di atas sofa. Sudahnya aku terlelap seketika kira-kira dalam tiga puluh minit. Aku rasa bahu tiba-tiba digoncang kuat.
Dalam keadaan yang masih mamai aku nampak Inara sedang menghulur telefon padaku. Aku mengambil telefon dan nama Umi yang tertera.
"Assalamualaikum Umi."
YOU ARE READING
Andaikan Cinta Itu Ada
RomantiekSejarah silam yang membuatkan ERYNA SOFIA trauma berasa jijik dengan diri sendiri. Perkenalan antaranya dengan ADAM HARRAZ memberi sejuta kenangan pahit padanya walaupun pada awalnya Eryna mencintai jejaka itu. Mereka disatukan kerana fitnah orang k...