"Eliana, tak ada dia dah lari!" kata-kata itu membuatkan nyawaku hampir putus seketika.
Tok kadi dah siap bersimpuh menunggu pengantin lelaki dan perempuan bersedia untuk disatukan. Saudara-mara Harraz dan Eliana juga sudah berkumpul menyaksikan penyatuan dua hati ini. Eliana betul-betul larikan diri.
"Apa! Macam mana boleh jadi ni?" Encik Rosli sudah bangun dari duduknya. Raut wajahnya kelihatan resah manakala isterinya Puan Safiah mengurut-urut dadanya terasa seperti mahu pitam.
"Tak tahu sejak malam tadi Ayu nampak Eliana diamkan diri. Tak banyak cakap, Ayu ingatkan Eliana gugup. Tak sangka yang pagi ni dia larikan diri!"
"Harraz ada gaduh dengan Eliana ke?" soal Puan Norida dengan nada yang lembut. Umi masih kelihatan tenang walaupun suasana sudah tegang kerana pengantin perempuan dah melarikan diri.
"Sumpah umi, Harraz tak ada gaduh dengan Eliana. Kami sebelum ni berbaik saja cuma semalam Harraz tak dapat hubungi dia. Telefon Harraz kan rosak lagipun Harraz ada hal sikit semalam." Harraz berterus terang serta menafikan sangkaan Puan Norida.
"Habis tu macam mana boleh jadi macam ni dengan tiba-tiba mesti ada sebabnya!" Puan Safiah melenting.
"Ayu bukan nak bersangka buruk dengan sesiapa. Ayu pun tak nak memfitnah cuma semalam Ayu nampak yang Eliana jumpa dengan Eryna senyap-senyap dekat belakang rumah. Ayu nampak lepas Eliana habis cakap dengan Eryna muka Eliana nampak muram. Baik kau mengaku apa yang cakap dengan Eliana semalam!" Ayu menuding jari dan merenung tajam padaku.
Lidahku automatik terkunci tak mampu mengeluarkan sepatah apapun ayat.
"Apa yang kau dah cakap dengan anak aku! Kau ni memang daripada dulu tak boleh tengok anak aku bahagia kan!" Puan Safiah seperti mahu menyerangku tetapi telah ditahan oleh suaminya.
Air mataku jatuh menitis tak dapat aku bendung lagi. Buntu aku cari cara untuk pertahankan diri namun tidak ada.
Mata semua orang semua tertumpu padaku. Tetamu yang berada diluar juga berpusu-pusu menjenguk ke rumah ingin melihat apa yang terjadi. Ada juga yang mengintai melalui tingkap.
Aku pandang ke arah Faiz, dia memegang kameranya memandangkan dia adalah jurukamera pengantin hari ini. Maka itu adalah tugasnya. Faiz pun seperti meminta penjelasan dari aku.
Harraz seperti naik angin melihat kebisuan aku.
"Apa yang kau cakap dengan dia!" jerkah Harraz pula. Sekelip mata sikap baik yang pernah dia tunjukkan padaku menjadi hilang.
Takkanlah aku nak bercerita pula keadaan yang sebenarnya. Aku belum sedia lagi untuk bercerita. Aku tak nak anak aku dibenci gara-gara ayahnya tak jadi menikah dengan buah hatinya.
"Jadi sebab ini kau pura-pura baik untuk tolong sponser aku konon! Rupa-rupanya hati kau busuk. Kau hancurkan majlis aku! Perangai kau ni memang jahat lebih keji daripada binatang! Apa yang kau dapat kau hancurkan majlis aku! Puas hati kau, aku tak dapat kahwin. Kau ingat, kau dah berjaya dah cantik kau dapat pikat aku ke! Lupakanlah! Yang membezakan kau dengan Eliana adalah hati. Eliana hatinya baik mudah terpedaya tapi kau hati busuk mengalahkan longkang!" Harraz menghamburkan maki hamun tanpa segan silu dengan orang sekelilingnya.
"Aku pun tak sebodoh itu nak hancurkan majlis ni. Apa yang aku dapat kalau bukan kerugian dan lagi satu aku pun tak kemaruklah nak jadi isteri kau. Aku rela sampai mati tak bersuami daripada hidup dengan kau! Tuhan aje yang tahu macam mana seksanya aku hidup dengan kau selama ni!" Ingat aku pengecut semudah itu berdiam diri dimaki begitu. Sedangkan itu bukanlah salah aku pun.
"Orang macam kau apa yang dia peduli rugi ke tak yang penting hati kau puas dapat balas dendam. Sekarang mesti hati kau bersorak sebab rancangan kau dah menjadi kan!"

ANDA SEDANG MEMBACA
Andaikan Cinta Itu Ada
RomansaSejarah silam yang membuatkan ERYNA SOFIA trauma berasa jijik dengan diri sendiri. Perkenalan antaranya dengan ADAM HARRAZ memberi sejuta kenangan pahit padanya walaupun pada awalnya Eryna mencintai jejaka itu. Mereka disatukan kerana fitnah orang k...