Selepas subuh aku dah bersiap-siap mengenakan pakaian untuk bertolak pergi ke tempat kerja. Disebabkan, semalaman hatiku masih rasa tak tenang memikirkan segala macam hal. Bangun saja dari tidur tadi aku tengok pintu bilik dah terbuka. Inara pula tiada disisi.
Ini mesti dia pergi bilik Nek Long dia ataupun biliknya sendiri. Aku duduk berhadapan dengan cermin. Bahagian bawah mataku kelihatan gelap. Ini mesti gara-gara tak cukup tidur ni. Disebabkan aku malas nak bersolek bagai. Aku hanya mengenakan sunblock dan dilapisi sedikit bedak. Bibir pula diolesi sedikit liptint agar tak terlalu pucat. Selepas bersiap aku mengambil beg tangan lalu berjalan keluar dari bilik.
Lemah saja aku melangkah menuju ke dapur. Maklumlah badanku benar-benar tak mendapat rehat yang mencukupi. Tujuan untuk ke dapur adalah untuk minum air kosong saja. Aku lihat bahagian dapur kelihatan wajah mak long masam mencuka sedang memasak.
"Mak long masak apa tu? Banyaknya." Aku menegur mak long. Mak long hanya membisu.
"Eryna keluar awal sikit hari ni ya mak long. Mungkin tak sempat nak makan dekat sini."
"Mak long dah masak banyak ni makanlah sikit." Mak long masih mengaul bihun goreng itu supaya makin sebati.
Aku tak berani nak menjawab apa-apa melihat mak long yang tak banyak bicara.
"Inara mana ya?" soal aku lagi.
"Dalam biliknya kut."
"Okey, Eryna pergi dulu ya." Aku sudah mengatur langkah pergi.
"Nanti mak long bungkuskan bihun goreng ni untuk kamu." Mak long bersuara seraya tangannya kedengaran seperti mematikan api dapur.
Langkahku terhenti.
"Okey."
Mak long mengambil tupperware berwarna ungu lalu dicedokkan bihun lalu dimasukkan ke dalam bekas itu.
"Mak long marahkan Eryna ke sebab kacau tidur mak long semalam." Aku beranikan diri untuk bertanya.
"Tak adalah menganggu pun." Mak long menafikannya.
" Tunggu sekejap bagi wap dia keluar baru tutup." Mak long berkata lagi.
Mak long meletakkan bekas itu di atas meja. Aku mula menarik kerusi meja makan lalu duduk.
Sempat aku melirik menjeling bihun goreng dibalik penutup yang hanya menutup separuh bekas saja. Nampak sedap pulak. Aromanya juga begitu menggoda nafsu makanku. Malam semalam pun aku tak makan apa-apa pun.
" Mak long, Eryna nak ambil barang dalam kereta. Ayah ada kirim semalam." Aku mula bangun dari dudukku.
"Sempat pulak jumpa dengan ayah kamu.?"
"Sempat, apa pulak tak sempat."
"Apa aje barang yang ayah kamu kirim tu?"
"Sekejap, barangnya ada dalam kereta. Nanti Eryna ambilkan." Aku mula bangun lalu melangkah menuju pintu hadapan. Saat aku sampai diruang tamu, aku perasan kipas diruang tamu tak bertutup. Aku berfikir mungkin mak long lupa untuk menutupnya.
Aku membuka pintu dahulu lalu aku nampak ada sebuah kereta memarkir betul-betul bersebelahan kereta milikku. Aku cukup kenali kereta itu. Melihat nombor plat kenderaan itu yang benar-benar tepat seperti yang ku teka.
"Bila abang sampai sini?" Aku berbisik sendirian. Mataku meliar mencari kelibatnya. Tiba-tiba aku teringatkan kipas ruang tamu yang masih berfungsi itu. Aku mengintai dibalik sofa yang membelakangiku. Aku lihat sekujur tubuh sedang lena tidur sambil tubuhnya dibaluti kain selimut nipis. Kepalanya hanya berbantalkan kusyen sofa.
Tiba-tiba hatiku diburu rasa bersalah melihat dia tidur dalam keadaan begini. Sanggup dia mencariku hingga ke sini. Cinta benarkah dia padaku? Sehingga sanggup mengharungi malam menahan kantuk semata-mata mencari isterinya yang ada niat untuk tinggalkannya.
Iya, aku sudah ada niat untuk tinggalkannya setelah memikirkan masalah antara aku dan Eliana tentang Harraz yang jadi rebutan. Biarlah aku mengalah saja. Bukan bermaksud aku mudah menyerah saja tanpa memperjuangkan cintaku pada Harraz tapi memandangkan yang Eliana lebih memerlukan Harraz daripada aku. Soal Inara pun aku sudah fikirkan. Antara aku dan Harraz sudah berbaik jadi Harraz pun takkan abaikan Inara jika aku dan dia berpisah.
Aku mendekati Harraz lalu memerhatikannya lebih dekat. Aku mengeluh apabila mengingati semuanya semula. Saat aku ingin berlalu pergi. Tanganku dipegang erat. Aku tahu tangan Harraz memegang.
"Sayang...." Panggil Harraz. Dia bangun dari pembaringannya. Matanya masih digosok-gosok menggunakan sebelah tangannya lagi satu.
"Kenapa datang sini?" soalku. Patutlah ketat semacam muka mak long. Rupanya, Harraz yang sampai dirumahnya. Mak long pun bukannya suka sangat dengan Harraz.
"Abang cuma nak jumpa sayang." Aku dah dapat meneka jawapan yang keluar dari mulut Harraz.
Aku mengambil tempat bersebelahannya.
"Berhenti jadi macam ni Harraz. Saya bukan tercipta awak. Kembalilah kepada diri awak yang asal. Cintailah Eliana balik, bukan saya. Cinta awak hanya untuk Nurul Eliana bukan Eryna Sofia." Aku mula mengubah cara panggilanku terhadap Harraz walaupun dengan cara mendadak tapi aku mahu biasakan diri semula seperti asal.
"Boleh tak sayang berhenti merepek? Cintakan Nurul Eliana balik? Apa benda ni sayang? Abang cuma cintakan isteri sah abang aje. Kenapa sayang nak paksa abang balik cintakan Eliana? Abangkan pernah cakap yang abang pun bukannya nak Eliana sangat pun sebelum ni. Dalam hati abang ni cuma ada Eryna saja."
"Eliana lebih perlukan awak."
"Jadi dia gunakan alasan yang dia tak boleh mengandung supaya nak dapatkan abang? Dia ingat tak ada lelaki lain ke yang boleh terima kekurangan dia? Kenapa abang yang dia nak juga? Tuhan tu dah tetapkan jodoh masing-masing. Yang dia menyibuk sangat nak kacau rumah tangga kita kenapa?
Masa abang nak kahwin dengan dia dulu. Dia pergi larikan diri kenapa? Bukannya dia tak tahu peluang hanya datang sekali. Bila abang dah bahagia dengan anak bini abang. Mula datang menyemak buat muka tak malu suruh sayang tinggalkan abang. Perempuan jenis apa tu? Itu yang sayang suruh abang tinggalkan sayang dan pergi pada dia semula? Big no! Sekali abang dah berpaling, abang takkan menoleh semula. Berkawan boleh tapi bukan berkahwin. Isteri abang jauh lebih bagus daripada dia! " Suara Harraz berubah menjadi tegas.
Nampak yang Harraz betul-betul makin matang. Kagum dengan sikapnya yang mempertahankan aku.
"Awak...." Berat lidahku untuk menuturkan kata-kata.
"Sayang abang minta sangat tolong jangan gunakan panggilan kita seperti dulu."
Aku menundukkan kepala supaya lari daripada pandangannya.
"Kalau bukan sebab Eliana pun saya ada sebab tersendiri yang buat saya terpaksa pergi dari awak. Hubungan kita dah terlalu jauh Harraz!"
"Apa yang jauhnya sayang? Kitakan suami isteri."
"Cukuplah Harraz, awak baliklah. Berhenti jadi macam ni disebabkan saya. Tinggalkan saya. Saya isteri yang tak guna. Saya tak sebaik seperti yang awak sangka."
"Abang tak faham apa maksud sayang."
"Lebih baik awak balik nanti saya akan jelaskan semuanya pada awak. Tolong jangan hubungi saya lepas ni lagi dah." Aku mula bangun dan meninggalkannya. Aku perasan Harraz meraup wajahnya. Dia masih tak puas hati dengan kelakuanku yang secara tiba-tiba menjauhinya.
Satu hari nanti dia akan tahu sebabnya. Aku yakin tatkala itu dia pula yang akan tinggalkanku.

ANDA SEDANG MEMBACA
Andaikan Cinta Itu Ada
RomanceSejarah silam yang membuatkan ERYNA SOFIA trauma berasa jijik dengan diri sendiri. Perkenalan antaranya dengan ADAM HARRAZ memberi sejuta kenangan pahit padanya walaupun pada awalnya Eryna mencintai jejaka itu. Mereka disatukan kerana fitnah orang k...