HUBUNGAN DENGAN MAK NYAH SETAKAT INI

770 8 1
                                    

HUBUNGAN DENGAN MAK NYAH SETAKAT INI.

Setelah menulis pelbagai recana, novel fiksyen dan buku semi akademik melibatkan entiti Mak Nyah, entah bagaimana kelmarin saat berolahraga melintas di minda, bertanyakan diri akan hubungan dengan kenalan kenalan Mak Nyah setakat ini.

Para veteran yang banyak mengajar secara tidak formal, ramai yang sudah pergi megadap Illahi, sesekali bila terserempak berpelukanlah kami akibat kerinduan dan pemahaman akan nasib yang dilalui.

Jika saat remaja (20 - 30) mereka diperhatikan seteliti mungkin dengan penuh persoalan kerana menganggap diri berada di landasan kehidupan yang sama. Ternyata saya salah! Awalnya mata liar mengkaji bagaimana fizikal dan penampilan, perlahan lahan jatuh pada stail hidup dan akhirnya dalam banyak sesi curhat mula mencari persamaan dan perbezaan serta solusi solusi 'cuba dan salah' - trial and error.

Mengimbau zaman persekolahan di usia mentah, bagaimana takutnya melihat Hatim Darai dan dua tiga temannya mengayuh basikal di pekan Bukit Mertajam di tahun 70an. Ya, takut kerana tidak tahu apa sebenarnya (Rupanya, keberanian mereka itu adalah representasi diri) melihat lagi dan lagi sosok 'lelaki berpakaian perempuan' sebelum usia mencecah 15 tahun. Bukan diiringi rasa seronok sebenarnya, ada semacam kegelisahan berfikir di usia mentah tersebut. Mendengar pula kisah kisah darai yang dinikahkan dengan perempuan cisgender. Hati jadi bertambah degup dan keliru perasaan peribadi mula melanda.

Pelbagai jenis Mak Nyah dijumpai setelah berani curi curi berpakaian perempuan sejak di usia 15 setiap cuti penggal. Bagaikan tikus mondok, takut dan berbaur rasa malu dengan telinga mencuri dengar isi bicara para veteran bila berkesempatan berhimpun santai. Tidak ada sebarang kejelasan di usia tersebut apatah lagi melihat kelaku kenalan Mak Nyah, mendengar itu dan ini (kisah jenayah, berpasangan, pernikahan dengan perempuan, penipuan dan macam macam keaiban lain) maklumlah otak polos di zaman tersebut gagal berfungsi secara matang. Ya, sama seperti orang lain, saya fikir ia hanyalah fasa hidup yang sementara.

--------------------------------------------

Ipoh dan Kuala Lumpur membenarkan kajian lisan tentang kaum Mak Nyah. Ada yang didekati dan ada yang dilihat hanya dari kejauhan saat majlis majlis tertentu diadakan oleh NGO Pink Triangle yang ketika itu masih mencari cari arah tuju (diasaskan awalnya demi kesedaran membasmi wabak HIV Aids di awal tahun 80an) Hubungan dengan pengasas Pink Triangle masih berterusan sehingga ada pembahagian kerja kerja NGO, mana mungkin dilupakan Abang Hisham, Hashim, Abang Eddy, David, Cheng dan ramai lagi yang sudah tidak saya ingat nama mereka sehingga tertubuhnya MAC (Malaysian Aids Council) yang melihat penaungnya datang dan pergi tetapi masing masing memberi ruang untuk kaum Mak Nyah ikut serta menjana pemahaman bukan sahaja tentang Aids tetapi hal udang undang dan hak kemanusiaan di Malaysia yang permai ini. Isu Mak Nyah akan sentiasa dipolitikkan secara agama dan moral, membawa ke peringkat parlimen.

Semakin rancak apabila Khartini Salamah dan Sulastri Arrifin yang merupakan rakan sebaya mula menerajui hal hal kesejahteraan Mak Nyah dari Kuala Lumpur membawa ke peringkat negeri dan daerah. Ini dua nama besar yang tidak mungkin dipadam dalam ingatan. Melalu perhimpunan dan pencerahan 'human rights' sehingga penghasilan buku kajian Mak Nyah Malaysia bersama pensyarah Kriminologi Dr Teh Yik Khoon, saya yang sudah hidup sebagai perempuan 24/7 tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Perspektif terhadap kehidupan Mak Nyah mula berubah dari situ. Banyak hal yang harus ditangani saat memutuskan untuk terus pulang ke negeri kelahiran Pulau Pinang.

Saya fikir masyarakat harus terus diperjelaskan tentang siapa dan apa itu hidup sebagai Mak Nyah. Dunia Mak Nyah yang bukan suka suka harus dilihat sebagai bukan Gender Dhysphoria lagi - WHO - World Health Organization sudah melakukan penetapannya. Hal gender jadi sangatlah berlapis bila dikaji setiap individu Mak Nyah, mereka tidak tampil seragam (Hasil dari kekeliruan, tekanan, carian jati diri, sosio budaya, agama anutan, kepercayaan peribadi dan kapasitas akademik).

BUKU MAKNYAHWhere stories live. Discover now