POLEMIK WAKIL dan IDENTITI

32 0 0
                                    

POLEMIK WAKIL dan IDENTITI

Agak lama mendiamkan diri dari isu Mak Nyah Malaysia. Sesekali akan membacanya bila melintas di jalurmasa dikongsi paut teman teman Transnita Malaysia. Hangat dan menakutkan. Kali ini tentang isu layak atau tidak menjadi wakil Transita/Mak Nyah di media terbuka. Polemik dan komentar tersebut dibaca setiap satu penuh pengertian.

Melalui golak tersebut mampu dilihat:

- Pertingkahan tentang identiti jantina T

- Sifat pukul rata

- Sifat batu api sesama komuniti

- Terma terma tidak sensitif tentang jantina

- Mahu berlucu lucuan tentang transgender

- Komentar yang diwakili oleh mental tidak stabil

- Kemarahan pada ketidakadilan dunia, dilampiaskan sekali

- Komentar yang membayangkan rasa 'give up' pergi mampus. (Ahhh!!! kita semua sama sahaja).

Paling jelas bila kenyataan di kalangan adik adik Transnita memberi gambaran bahawa mereka kurang faham isi kandung SOGIE (Sexual Orientataion Gender Identiti and Expression) - sila rujuk semula penerangan tersebut demi kedamaian jantina.

Kita sedia maklum bahawa masing masing hadir dari latar belakang yang pelbagai tetapi berteduh di bawah payung pelangi yang sama. Sila peruntukkan masa untuk ambil hentang dan fahami pembahagiannya. Permasalahan akan tetap wujud dalam jangkamasa tertentu. Apatah lagi ketika meluahkan pendapat, saranan dan idea bila mula berkongsi melalui media terbuka: (diwawancara oleh wartawan menjadi artikel, rakaman siaran medsos atau sebarang jenis media, termasuk muncul di media audio visual). Ditonton dan dibaca pula oleh para cisgender yang sememangnya sedang keliru. (Cisgender boleh jadi ibubapa, teman teman dan ahli masyarakat yang lain).

Mejadi jurucakap komuniti bukanlah hal mudah dan enteng. Proses mengenal komuniti sangatlah mengelirukan dan berlapis. Pengesahan jantina tidak mampu dilakukan dengan mata kasar sahaja. Orientasi seksual sebarang individu pula bukanlah penentu pada sebarang tuduhan itu dan ini atau dijenakakan sesama komuniti, begitu juga penetapan dan klarifikasi hanya dengan mengambil kira apa pakaian/busana harian mana mana individu.

Setelah begitu lama komuniti transnita berada dalam kemelut agama, akta negara, dan menelan tahap penerimaan, para Transnita mampu merasa tertekan akan identiti dan ekspresi gender masing masing. Pengunaan bahasa sopan dan terma seksual menjadi sangat penting demi kejelasan jika mewakili sebarang komuniti tertentu. Sebaiknya dicari kaji apakah terma terma piawai/standard yang digunakan dari waktu ke waktu, dengan tujuan paling penting, agar tidak disalah ertikan dan merugikan komuniti.

Perbalahan tentang identiti yang tidak akan pernah tamat ini, tidak akan mampu difahami secara total selagi individu tidak mencapai pemahaman SOGIE dan pembahagian kategori identiti para transgender (M to F).

Terbaik saya fikir, asasnya dimulakan dengan pemahaman apakah makna Crossdresser, Transvestite, Drag Queen, Shemale, Ladyboy, Waria, Katoey dan lain lain, konotasinya sangatlah jauh jika dibandingkan dengan Transnita/Transpuan/Transwoman tidak kira samada pre atau post operasi.

Semoga para Transnita Malaysia kembali memikirkan soal SEJAHTERA (Well being) - fizikal, mental dan emosi secara holistik. Hidup transnita bukan perjalanan pintas yang mudah, ia berlapis korban dan sudah tentu mereka berhak marah kerana ia melibatkan banyak hal salah faham dan kesukaran hidup.

Fikir fikirkan.

BUKU MAKNYAHWhere stories live. Discover now