Awak, kite memang pompuan!

37 1 0
                                    


Artikel yang dipaparkan di Malaysiakini.com

Amboi bukan main lagi ya?

Maka hebohlah satu Malaysia di pertengahan Januari 2018. Kembali berputar isu lapuk tentang jantina yang seolah olah fenomena baharu, pelik dan segar. Padahal para transgender sudah lama berkongsi ruang hidup dengan cisgender Malaysia sejak zaman berzaman. Dunia baharu, zaman baharu, nyatanya eksitensialiti mereka menjadi semakin jelas nyata. Mahu tumpang bernafas dan visible.

"Cousin I ada sorang macam you...," setakat itu sahaja pemahaman kamu para cisgender?

Isu ini bukanlah sesegar manapun kerana sekitar tahun dua ribuan lagi sudah muncul kes bila Mahkamah Tinggi Syariah membatalkan kesemua empat permohonan yang difailkan Professor Dr Baharom Sanugi guru besar yang tiba tiba meragui jantina isterinya Sri Wani Choo Abdullah yang merupakan pengasas kosmetik di Malaysia sekitar bulan Ogos 2012. Percayalah hingga kini kita masih meragui jantina Sri Wani. Sebelum itu tidak kurang hebohnya di tahun 2009 setelah kematian pengarah filem wanita berprolifik negara apabila jantinanya dipertikai dengan cara yang sama. Isu isu neraka, syurga, hukum dan hakam mula bermain dibibir para netizen cisgender yang bermulut celupar, sehingga terlupa pada maksud kalimah Bismillahirahmanirahim,بسم الله الرحمن الرحيم, Ya Tuhanku yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Pembukaan tahun di pertengahan Januari 2018 kita disapa oleh hal yang lebih kurang sama tetapi melibatkan individu yang tiada kaitan, blogger terkemuka Papagomo@Sir Azri yang menuduh Nur Sajat yang juga pengasas kosmetik untuk mengisytiharkan jantina beliau samada perempuan atau lelaki, digunakan terma kasar yakni PONDAN. Tidakkah ianya sesuatu yang pelik, untuk zaman yang serba maju ini? Kenapa pula dia harus berhempas pulas pada kesahihan jantina orang? Apakah logiknya bila dia mengatakan bahawa ianya didasari oleh tanggung jawab terhadap bangsa, budaya dan agama? Apakah fenomena gangguan pondan hanya dihadapi oleh negara Malaysia?

Masyarakat awam kemudiannya jadi keliru untuk apa semua ini? Berdebar ketakutan ibubapa dan para waris melihat anak anak di sekeliling sambil memanjatkan doa,"Janganlah ini semua terjadi pada anak anak aku".

"Kite memang pompuan wak!" Dialog lucu yang sering didengari sekiranya kamu berhimpun dengan golongan Mak Nyah. Tidak lain tidak bukan ianya dianggap sebagai jenaka semata mata. Namun konotasi ini ada ketikanya menjadi sangat serius secara psikologi.

Menurut ahli ginekologi Prof. Datuk Paduka Dr. Khairuddin Yusuf yang pernah melibatkan diri dengan sekumpulan Mak Nyah yang menukar jantina di sekitar tahun 80an, "Status jantina kelompok ini perlu diserahkan kepada ahli perubatan. Sekiranya hormon perempuan adalah lebih, maka perempuanlah dia sekalipun secara biologinya lahir sebagai lelaki."

Pembedahan jantina di Malaysia sudah dihentikan apabila fatwa melarang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam. Ramai transnita memilih untuk menjalani pembedahan di luar negara.

Kempen kempen tentang seksualiti sudah memperkenalkan pengertian SOGIE (orientasi seksual, identiti gender dan ekspresi) agar timbul semangat toleran demi kesejahteraan sesama manusia. Namun tidak semua dapat menerima secara bulat kerana ia melibatkan hal hal budaya, agama dan binaan konstruk sosial yang tebal di kalangan lelaki dan perempuan cisgender.

Kenapa Mengaku Perempuan?

Suatu ketika dahulu di Malaysia kaum Mak Nyah yang sudah menjalani SCS (pembedahan jantina atau Sexual Confirmation Surgery) dibenarkan menukar kad pengenalan termasuk di bahagian jantina mereka. Hal ini sudah tidak berlaku lagi sebaik sahaja masuk tahun 1997 atas sebab sebab yang hanya boleh diterangkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. (hal yang sama sudah disentuh dalam buku "Mak Nyah" terbitan "Terfaktab Media").

BUKU MAKNYAHWhere stories live. Discover now