Nombor telefon berhantu (Last)

914 68 8
                                    

Selama beberapa minggu aku biarkan. Sikap aku yang degil ditambah dengan rasa ingin tahu yang tinggi membuatkan aku nekad. Aku nekad untuk menelefon semula nombor puaka itu. Kali ni apa nak jadi, jadilah. Demi sebuah jawapan. Kebetulan waktu itu aku di rumah seorang diri. Waktu itu sudah memasuki senja. Emak dan ayah keluar mencari barang di pekan. Nombor telefon didail kemas.

"03-88888364"

Lama aku biarkan ia berdering, moga 'si pemilik' telefon menjawab. Tetapi panggilan aku dibiar sepi. Tiada siapa yang menjawab. Aku letak gagang. Kalau betullah telahan aku, mesti dia akan menghubungi aku semula. Jadi aku biarkan sejenak. Demi menghindar rasa takut, aku pasang televisyen.

Lebih kurang 20 minit selepas itu, telah terjadi suatu perkara yang membuatkan aku menoleh ke arah telefon rumah. Peluh jantan mula keluar, jantung mengepam-ngepam darah dengan laju.

Akhirnya ia berdering. Penantian aku berakhir di situ. Cumanya sekarang aku perlu jawab atau tidak panggilan ini? Jantung aku berdebar mengikut ritma deringan telefon. Kalau aku tak jawab, aku tak kan dapat jawapan atas segala persoalan. Kalau aku jawab pula.. aku dapat dengar dengan telinga aku sendiri suara 'si pemanggil'. Sudah bersedia kah aku? Ah! aku kena beranikan diri walaupun sebenarnya aku penakut.

"Hel.. hello.. si.. siapa sana?"

Sunyi sepi. Tidak kedengaran satu suara hatta satu bunyi pun. Aku tanya lagi.

"Hel.. hello.. jangan main-main. siapa tu?"

Aku sedikit marah sebab pertanyaan aku tak berjawab.

Namun begitu, marah ku sedikit demi sedikit hilang, ditukar ganti dengan rasa takut, meremang dan seram sejuk. Aku telah dengar sendiri dengan telinga ini 'si dia' bersuara. Tak tahu macam mana nak jelaskan, tapi tutur katanya lemah gemalai, lembut, sayu, mendayu-dayu. Ada patah perkataan yang aku tak dapat dengari dengan jelas. Perempuan ini cuba beramah mesra dengan aku, tapi aku tak rasa cair pun. Ketakutan semakin memuncak. Benarlah kata emak, nada suaranya agak aneh dan 'tak selesa' untuk didengar. Bukan macam suara manusia biasa.

"Adik.. adik dekat rumah sorang ke tu... Mak Ayah mana....he he.."

Cukup. Ayat itu cukup buat aku rasa nak pengsan!

Oleh kerana ketakutan yang amat sangat, aku terus keluar rumah duduk di padang depan sambil menanti kepulangan orang tua aku. Bila mendengar suara perempuan di telefon tadi, fikiran aku sudah mula terbayang yang bukan-bukan. Kebetulan waktu itu tengah hot filem hantu indonesia seperti Sundel Bolong, Mak Lampir, Malam Satu Suro dan bermacam-macam lagi. Mana lah tahu kan tiba-tiba perempuan tu datang mengintai aku dari bawah katil, balik almari atau dalam bilik air. Mampus.

Waktu sudah agak senja, barulah orang tua aku pulang. Aku terus menerpa mereka yang sememangnya berasa hairan melihat keadaan dan reaksi aku yang gelabah bukan main. Dalam situasi yang kelam kabut dengan perasaan yang bercampur baur, aku bercakap tanpa fikir. Aku menuduh mak cik aku menelefon rumah ketika aku seorang diri dan sengaja main-main kan aku. Sampaikan mak cik aku datang rumah malam tu dan menafikan sekeras-kerasnya hal tersebut. Lucu pun ada. Mungkin kerana aku terlampau takut.

Kejadian seram ini berlalu begitu sahaja. Hilang, lenyap, pudar ditelan waktu. Aku pun sudah tak memandai-mandai lagi menelefon nombor misteri tersebut. Aku ambil ini sebagai pengajaran. Misteri ini akhirnya dilupakan selama beberapa tahun lamanya. Aku tak ingat berapa lama. Namun begitu, nombornya tetap sentiasa aku ingat di dalam kepala. Boleh kata kami semua dah melupakan tentang kejadian ini, dah bukan jadi topik perbualan hangat lagi. Sehinggalah pada satu hari..

Ketika itu usia aku sudah menginjak 20'an. Selepas sahaja tamat pengajian di sebuah universiti utara tanah air, aku terus bekerja di sebuah syarikat pengiklanan yang bertempat di Bangi. Lebih kurang ketika tahun 2005 macam tu. Di sana aku berkawan lah rapat dengan tiga orang rakan sepejabat. Makan, melepak, main snuker semua sama-sama. Nak dipendekkan cerita, pada suatu malam kami duduklah bersantai-santai minum di sebuah kedai makan bawah pokok di area Bangi sana.

🚏⭕ || Kisah Si Makhluk Where stories live. Discover now