Pengembaraan ke alam misteri

514 19 0
                                    

12.15 malam. Lampu dimatikan.

Aku akan pastikan semuanya kelihatan tenang dahulu sebelum aku menyusup keluar. Malam ini aku mahu berjalan sepuas-puasnya, meneroka segala daerah dan pelusuk yang ada di dunia ini. Aku mahu berjumpa dengan semua warga alam, terutama sekali orang-orang yang aku kenal dan sayang. Mungkin malam ini bakal memberi satu sensasi yang hebat buat aku. Aku bagaikan mempunyai satu tenaga baru malam ini walaupun siang tadi aku agak kepenatan dengan hal di sekolah. Malam itu aku berjalan seorang diri. Jalan berbatu kerikil nampak agak basah, barangkali hujan sebentar tadi.

Panjang lagi ke jalan berbatu ni? Setiap malam ada sahaja jalan yang baru. Kelmarin aku menyusup keluar melalui jalan di tepi bendang, sebatang jalan yang sangat tenang dan indah. Waktu itu sinar matahari seakan-akan melambai kepada aku. Cahayanya jingga kekuningan memberi satu nikmat yang asyik. Angin tepi bendang juga menyapu lembut wajahku. Tetapi tidak pada malam ini, kerana suasana agak lembab dan sejuk. Aku harus teruskan berjalan kerana masa mungkin tak panjang, tak kan nak patah semula ambil baju sweater ni rumah? Aku teruskan perjalanan dengan perlahan-lahan dan berhati-hati. Pengembaraan ini pastinya menjanjikan sesuatu yang tidak boleh dijangka.

Di sepanjang laluan batu kerikil aku dapat lihat ada beberapa orang yang aku kenal akan wajahnya. Walaupun kabur dan samar dek gelap malam, aku dapat mengecam wajah mereka. Ya, ini merupakan cabaran pertama buat aku. Aku tenung muka-muka ini. Antaranya Badry, Loko, Jasman dan beberapa orang lagi pengikut mereka. Beruk-beruk ini lah yang selalu membuli aku di sekolah. Aku ketap bibir tanda geram, malam ni beruk ini semua bakal dapat habuan daripada aku. Berani betul mereka masuk ke tempat aku dan lalu kawasan aku. Di sekolah bolehlah mereka menghenyak aku, tetapi tidak pada malam ini kerana kawasan ini milik aku. Mereka semakin menghampiri, aku terus genggam penumbuk kanan.

"Dushh!! Dushh!!" Tanpa banyak soal, muka Badry dan Loko aku temukan dulu dengan buku lima aku. Jasman datang dari belakang mahu menolong, aku kepit lehernya dan hentam bertubi-tubi mukanya dengan penumbuk agung ini. Ketiga-tiganya merintih di atas batu kerikil macam budak kecil. Pengikut mereka yang lain terus bertempiaran lari. Kasihan aku melihat mereka yang berketuakan tiga samseng bodoh ini. Aku puas, sebelum menyambung perjalanan aku nasihati dulu mereka supaya jangan sekali-kali berani mahu datang ke kawasan aku lagi kalau tak mahu makan penumbuk ni. Sambil aku mengacah-acah buku lima ke mereka. Ketiga-tiganya ketakutan sambil memegang muka, hidung dan mata yang lebam.

Matahari terik memancar menghala ke muka. Kini aku berjalan di satu laluan kecil di tepi sungai, rumput hijau terbentang luas di tebing, batu-batu sungai pula menghiasi indah di atasnya. Aku tak terlalu berasa pelik, di kawasan ini perubahan latar tempat dan masanya berubah-ubah dengan pantas. Ia adalah satu benda yang normal. Demi menyegarkan diri, aku turun ke tebing dan menangguk sedikit airnya untuk diminum. Aku juga basuh muka menggunakan air sungai tersebut. Sangat segar. Aku duduk sebentar di atas batu sambil menikmati panorama indah. Unggas-unggas berkicauan seakan-akan menyambut kedatangan aku.

Lamunan ku terhenti seketika. Deria pendengaranku tertangkap sesuatu, aku terdengar bunyi seruling. Aku amati betul-betul dan mencari-cari dari mana arah datangnya. Aku panjat batu sungai dan berdiri di atasnya sambil mengamati bunyi seruling misteri tersebut. Iramanya sangat indah. Aku terpandang sebuah pondok kayu di atas bukit. Ya! Bunyi seruling yang indah ini datang dari pondok tersebut. Aku terus turun dan berlari ke lereng bukit berbatu. Aku dongak ke atas, boleh tahan tinggi. Namun idea untuk naik ke atas datang apabila aku terlihat ada beberapa juntaian akar-akar pokok di tepi bukit. Entah dari mana datang tenaga, aku berjaya panjat sedikit demi sedikit lereng bukit dengan menggunakan bantuan akar kayu tersebut.

Termengah-mengah aku apabila sampai di atas. Tetapi segala penat lelah itu semua hilang tatkala aku melihat seorang lelaki tua sedang duduk di pangkin pondok kayu tidak jauh di hadapan. "Atuk??" Itu perkataan pertama yang keluar dari mulut aku saat melihat lelaki tua itu. Benarlah ini datuknya, berdasarkan raut muka dan janggut putihnya aku memang sangat kenal walaupun sudah lama tidak berjumpa. Aku terus menyapa dan memeluknya oleh kerana terlalu rindu yang amat sangat. Atuk terkejut melihat kedatangan aku.

🚏⭕ || Kisah Si Makhluk Where stories live. Discover now