by Kim Ai
Keretapi itu meluncur laju menyelusuri landasan dari Pelabuhan Klang ke Rawang.
Azman sudah beberapa kali menguap sambil menghalau kantuknya dengan menampar-nampar pipinya lembut. Malam itu dia tiba-tiba mendapat panggilan daripada bosnya agar memandu sebuah keretapi ke stesen KL Sentral daripada Pelabuhan Klang. Keretapi itu tersadai seharian di stesen Pelabuhan Klang atas masalah teknikal. Kini keretapi itu telah siap dibaik pulih.
Azman mengeluh kecil kerana dia berasa terkilan dengan tindakan bosnya yang mahu dia menunda keretapi itu di dinihari dimana semua manusia telah diulit mimpi.
"Macamlah tak ada esok hari," getusnya di dalam hati. Dia baru mula berkhidmat dengan KTMB sejak tiga bulan yang lalu. Demi menjaga imej baiknya dia turuti jua arahan bosnya. Dia mengeluh lagi.
Stesen-stesen yang dilewatinya semua telah sunyi. Almaklum jam sudah menginjak ke pukul 2.30pagi. Masa berlalu dengan sangat lambat bagi Azman kerana dia berseorangan di dalam keretapi itu.
Keretapi yang memaparkan 'Not in Service' pada papan LEDnya itu tetap meluncur laju walaupun terasa perlahan bagi Azman. Dia hampir terlelap apabila keretapi itu dirasakan tiba-tiba bergegar. Azman meninjau keadaan dia gerabak keretapi melalui cermin pandang tembus di pintu kokpit pemandu. Tiada apa-apa yang aneh. Hanya gelap malam yang kelihatan kerana lampu gerabak sememangnya tidak dipasang.
Dia menepis segala perasaan seram yang datang bertandang di minda. Azman beranggapan bahawa itu hanya mainan perasaannya sahaja. Dalam dia mengelamun memikirkan punca keretapi itu bergegar sebentar tadi, dia tidak menyedari yang lampu di gerebak terakhir terpasang dengan sendirinya.
Beberapa stesen telah dilewati. Azman dan keretapi itu semakin menghampiri KL Sentral. Perasaan seram yang mula bersarang di minda Azman pun telah lama pergi dibawa angin malam.
Apabila menghampiri sebuah stesen, Azman terpempan kerana melihat seorang kanak-kanak melambai-lambai kepada keretapi itu di pinggir landasan. Azman telah panik. Dia khuatir jika kanak-kanak itu dilanggar keretapi tersebut. Dengan pantas dia menekan hon agar kanak-kanak itu lekas berundur dari landasan tersebut namun kanak-kanak itu masih lagi melambai-lambai kepada Azman. Hon dibunyikan lagi dengan lebih lama dengan harapan kanak-kanak itu akan beralih. Namun gagal.
Keretapi itu telah merempuh kanak-kanak tersebut. Azman terkelu tanpa kata. Dia telah melihat sesuatu yang mengerikan. Ketika keretapu itu semakin menghampiri tempat kanak-kanak itu berdiri, Azman melihat rupa kanak-kanak itu tersangatlah hodoh. Wajahnya pucat, matanya hanya ada lohong hitam dan giginya runcing beserta air liur hitam berjejeran hingga ke dagu terus ke dadanya yang tidak berbaju itu. Azman bagaikan terpaku di tempat duduknya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang baru dilihatnya sebentar tadi.
Imej kanak-kanak itu menyeringai kepadanya masih lagi bermain di tubir mata sehinggakan lututnya terasa lemah dan jantungnya hampir pecah dek ketakutan. Dia cuba membaca ayat-ayat al-Quran yang diingati namun semuanya berterabur.
Azman mulai kecut perut bila dia turut teringat akan cerita Pak Hamidin, seniornya dulu tentang cerita stesen itu. Sememangnya stesen itu selalu ada penampakan anak kecil bermain di landasan dan menakutkan pemandu-pemandu keretapi. Dia berdoa agar cepat sampai di destinasinya. Dia mahu pulang ke rumah dan menganggap semua itu hanya mimpi ngeri sahaja.
Sementara itu, di stesen tempat Azman melihat kanak-kanak melambai-lambai tadi, Pak Akob terpinga-pinga sendiri. Bunyi nyaring hon keretapi telah mengejutkan dia dari dibuai mimpi. Dia yang menjadi pengawal keselamatan di stesen itu telah terlelap sebentar akibat terlalu penat membantu isterinya berniaga di siang hari.
"Aneh. Bunyi hon begitu kuat tapi keretapinya tak ada pun." Kata Pak Akob sendirian.
"Bunyi honnya ada, keretapinya mana?" Monolognya lagi.
Detingan jam di atas palang monitor LED stesen keretapi itu menarik perhatian Pak Akob.
"Ahh pukul 3pagi rupanya," desis hatinya.
Kini fahamlah dia bahawa bunyi hon tadi dari mana. Sememangnya setiap pukul 3pagi akan ada bunyi hon keretapi yang panjang dan nyaring beserta bunyi keretapi meluncur laju. Tetapi kelibat keretapinya tidak nampak.
Bulu roma Pak Akob tiba-tiba meremang dan dia cepat-cepat masuk ke dalam pos kawalan sambil membaca ayat-ayat Kursi
YOU ARE READING
🚏⭕ || Kisah Si Makhluk
رعب/Koleksi cerita seram je/ Ada orang kata Se curious kita nak tahu pasal hantu, hantu pun curious jugak nak tahu apa tanggapan kita kat diorang. So aku sarankan korang hati-hati baca buku ni. Lebih-lebih lagi kalau baca memalam. Sebab mana tahu mas...