Tujuh pintu (last)

393 28 5
                                    

Dalam perjalanan pulang ke rumah, fikiran Doktor Roslan hanya tertumpu kepada ingatannya terhadap riak wajah Faris saat dia diberitahu bahawa polis menjumpai cap jarinya pada leher kedua-dua orang anaknya itu. Sememangnya kedua-dua orang pegawai polis yang menemaninya tadi pun tahu bahawa itu cumalah fakta palsu yang sengaja Doktor Roslan gunakan untuk melihat reaksi Faris sahaja. Sungguhpun kedua-dua orang kanak-kanak itu mati kerana dicekik, (punca kematian anak ketiga tidak dapat dikenalpasti) namun tiada sebarang cap cari yang ditemui pada leher mereka.

Pada pendapat Doktor Roslan, riak wajah yang ditunjukkan oleh Faris ketika itu cukup untuk meyakinkan dirinya bahawa lelaki itu tidak berbohong. Semua yang diceritakan oleh lelaki itu kepadanya amatlah meyakinkan. Namun, perihal tentang pintu bilik yang disebut oleh Faris tadi amat membingungkan Doktor Roslan.

“Tak masuk akal!” Ujarnya sendirian.

Sesampai di apartment kediamannya, Doktor Roslan terus merebahkan punggung ke atas sofa di hadapan TV. Tangannya mencapai alat kawalan jauh lalu menekan butang on. Dia memejamkan mata buat beberapa minit. Nafasnya ditarik sedalam mungkin kemudian dilepaskannya laju-laju. Terasa fikirannya tenang semula, Doktor Roslan bangkit menuju meja membacanya, membiarkan TV yang dipasangnya tadi bercakap sendirian, dia mengeluarkan sebuah buku nota. Doktor Roslan kemudian melakar sebuah peta minda berdasarkan kejadian-kejadian dan fakta-fakta yang tercatat dalam salinan fail pesakitnya itu. Termasuk butiran mengenai pertemuan pertama dan keduanya dengan pesakit yang dirasakannya seakan-akan bertemu dengan dua orang yang berbeza. Argono dan Faris. Selesai mencatatkan ringkasan segala butiran ke atas sehelai mukasurat, dia mengoyakkan helaian kertas tersebut lalu dilipat dan dimasukkannya ke dalam kocek seluar.

“Mudah sikit nak dibawa ke mana-mana.” Fikir Doktor Roslan sambil menguap menggosok-gosok belakang kepalanya yang kian botak. Jam di dinding menunjukkan pukul 6:30 petang. Dalam perjalanan ke dapur, Doktor Roslan mencapai cawan yang berada di atas meja makannya separuh mengharap agar ada sedikit lagi baki air kopi di dalamnya. Dihirupnya air kopi yang sudah sejuk itu. Setengah jalan menghirup, Doktor Roslan berhenti. Matanya dibuka luas seperti nampak hantu.

“Aku lupa tulis tentang gelak tadi!” Dia teringat tiba-tiba. Cepat-cepat dia kembali ke meja membacanya, menyambar pen di atas meja sambil sebelah tangan mengeluarkan semula peta mindanya tadi dari kocek seluarnya.

“Suara gelak yang lain dari suara pesakit. Pesakit berada lebih kurang 10 kaki di belakangku tapi suaranya terasa seperti betul-betul di belakang telingaku. Tak masuk akal. Tapi apa maknanya?” Catat Doktor Roslan sambil mulutnya menyebut perlahan apa yang ditulisnya.

Selesai mencatat, Doktor Roslan memasukkan semula notanya ke dalam kocek seluar. Rintik-rintik hujan mulai turun membuatkan tingkap apartment itu nampak berbintik-bintik. Sambil merenung keluar, Doktor Roslan menggosok-gosok lagi belakang kepalanya.

Malam itu Doktor Roslan bermimpi. Di dalam mimpi itu, Doktor Roslan memelihara seekor kucing berwarna kelabu. Doktor Roslan rasa sayang betul dengan kucing itu. Tiba-tiba datang tiga orang kanak-kanak meratah kucing tu hidup-hidup. Darah memercik ke mukanya. Tiba-tiba bergema di dalam mimpinya suara raungan dahsyat yang didengarinya siang tadi. Raungan itu berterusan panjang, namun langsung tidak mengganggu tiga orang kanak-kanak yang sedang asyik meratah bangkai kucing itu. Perlahan-lahan raungan tadi bertukar menjadi derai tawa dari belakang telinganya.

Doktor Roslan tersentak terjaga. Seluruh tubuhnya dibasahi peluh. Jantungnya berdegup laju. Matanya terbuka luas, namun dia tidak mampu menggerakkan tubuhnya sendiri. Di hadapan wajahnya tiba-tiba menjelma sebentuk kepala dengan wajah berwarna hitam pekat. Wajah itu tidak mempunyai mata, telinga mahupun hidung. Pada wajah berwarna hitam itu cuma terdapat segaris mulut yang luar biasa lebarnya.

🚏⭕ || Kisah Si Makhluk Where stories live. Discover now