GADIS BERKEBAYA MERAH

457 31 0
                                    

Tepat 3 pagi kedengaran langkah kaki seseorang yang lalu di hadapan hostel asrama mereka. Yang masih belum tidur, terus menarik selimut menutupi wajah masing-masing. Takut disedari oleh dia yang sedang melenggokkan irama kaki persis seorang model.
“Psstt ... Lia, tu gadis berkebaya merah ke?” bisik Sofia dari atas katilnya yang terletak bersebelahan Dahlia.
“Shyy ... jangan diseru. Nanti dia datang menjenguk. Tidur.” Dahlia menggigil ketakutan tetapi cuba berlagak tenang.
Tiba-tiba sahaja, derapan kaki itu kedengaran berhenti di hadapan katil Dahlia dan Sofia. Kedua-dua gadis itu mengkakukan diri mereka. Risau seandainya sesiapa sahaja yang ada di hadapan katil mereka itu tahu yang mereka masih belum tidur.
“Dah tidur ke? Tak nak bual dengan saya? Ha ha ha ...” suara gadis itu mengilai membuatkan Dahlia dan Sofia bagaikan hendak terkucil di atas katil masing-masing. Gadis itu seakan tahu yang mereka berdua belum tidur lagi.
“Satu dah tidur, dua baru nak tidur, tiga belum tidur, empat masih menggeletar di atas katil. Tak nak main dengan saya?” Gadis berkebaya merah itu ketawa lagi.
Dahlia dan Sofia memejam mata mereka serapat yang mungkin. Mereka tidak tahu bagaimana gadis berkebaya merah itu tahu yang mereka belum tidur lagi. Akhirnya Dahlia dan Sofia terlelap juga dalam ketakutan.
Pada keesokkan harinya, Dahlia dan Sofia membisu seribu bahasa apabila rakan-rakan yang lain sudah sibuk berbual sesama sendiri di atas kunjungan gadis berkebaya merah ke asrama mereka semalam. Hairannya bagaimana gadis itu boleh masuk ke dalam hostel mereka sedangkan hostel itu berkunci.
“Lia, awak tahu tak cerita sebenar gadis berkebaya merah tu?” tanya Sofia mencungkil rahsia.
“Ini cerita yang saya dengar dari mulut orang ya. Dahulunya, asrama kita ni merupakan tapak kem Jepun. Anak-anak gadis di kampung ini diculik dan dijadikan hamba mereka. Jepun suka melihat anak-anak gadis kampung ni berkebaya yang menampakkan susuk tubuh mereka. Semua anak gadis di sini tidak mampu lari dari menjadi hamba jepun kecuali seorang gadis yang sering memakai kebaya merah memberontak. Dia tidak mahu menjadi hamba Jepun lalu dia membunuh jepun-jepun itu. Dia menyembunyikan senjata di sebalik kebaya merahnya. Apabila ketua Jepun dapat tahu, maka gadis ini ditangkap dan dibawa menghadap dirinya. Sebelum gadis ini sempat dirogol, gadis ini terlebih dahulu membunuh dirinya. Maka Jepun tak dapat hendak mengapa-apakannya. Malangnya, selepas meninggal, gadis ini tetap dirogol kemudian ditetak sehingga menjadi beberapa kerat dan di tanam. Itu yang saya tahu.” Dahlia menceritakan perihal gadis berkebaya merah secara terperinci.
“Agak-agak awaklah, di manakah mayat gadis ini ditanam?” Sofia memikirkan sesuatu.
“Kenapa awak nak tahu? Kau nak jumpa dengan dia ke?” Dahlia memberikan senyuman yang cukup mengerikan.
“Eh, awak jangan senyum macam tu boleh tak?Takut saya tengok. Saja nak tahu pun takkan tak boleh?” Sofia memuncungkan bibirnya.
“Awak nak cuba tak jumpa gadis berkebaya merah tu malam ni?” duga Dahlia.
“Awak nak teman saya ke?” tanya Sofia melayan perangai gila-gila Dahlia.
“Kalau awak berani, saya temankan.” Dahlia tidak mahu mengalah.
“Okey. Malam ni kita tunggu kedatangan gadis berkebaya merah tu. Saya nak tahu juga di mana mayatnya ditanam oleh Jepun durjana tu,” bersemangat Sofia ingin mencungkil rahsia gadis berkebaya merah setelah mendengar ceritanya.
Pada malam itu, Sofia dan Dahlia menanti kedatangan gadis berkebaya merah itu. Sebagaimana semalam tepat jam tiga pagi, kedengaran tapak kaki gadis berkebaya merah itu mula berjalan ke arah dorm mereka.
Wajah gadis itu tersembunyi disebalik rambut yang sedikit serabai. Namun, Sofia dan Dahlia tahu gadis itu sedang tersenyum kepada mereka. Berdebar-debar dada Sofia menanti gadis berkebaya merah itu menghampiri mereka.
“Tunggu saya ke?” tanya gadis berkebaya merah itu.
“Boleh kami tahu apa yang terjadi pada awak sebenarnya?” tanya Sofia dalam takut-takut.
“Ikut saya,” gadis berkebaya merah itu menyeringai sambil menjeling ke arah Sofia.
Sofia yang teruja hendak tahu apa yang terjadi pada gadis berkebaya merah itu terus mengikut langkahnya tanpa rasa ragu-ragu walaupun sebentar tadi dia amat takut sekali.
Sofia dibawa hingga ke tengah hutan yang berada di belakang asrama mereka. Dia mengelilingi perigi buta yang terdapat di situ. Sofia melongo kerana dia tidak pernah tahu ada perigi buta di situ. Seketika kemudian, mereka kembali semula ke hostel dan gadis itu berdiri di sebelah tandas. Sofia kehairanan kenapa mereka mengelilingi hutan yang ada perigi kemudian kembali semula ke hostel mereka.
Sofia sabar menanti. Baru sahaja dia hendak membuka mulut, dia melihat gadis berkebaya merah itu menghantukkan kepalanya di tembok tandas sehingga membuak-buak darah keluar. Kemudian, gadis berkebaya merah itu mengalih pandangan ke arah Sofia.
Bulat mata Sofia melihat wajah sebenar gadis berkebaya merah itu. Nafasnya naik turun dan tidak mampu untuk bertenang. Tidak berkelip-kelip mata Sofia memandang wajah sebenar gadis berkebaya merah itu.
“Dahlia?” Sofia bagaikan hendak pitam di situ juga.
“Fia, kebumikan diri saya. Di perigi buta tu ada sebahagian tulang temulang saya dan di sebalik tembok ini juga terdapat sebahagian lagi tulang saya. Sempurnakan jasad saya?” Gadis berkebaya merah itu menyeringai memandang Sofia yang sudah pun jatuh pengsan.
Sesudah Sofia sedar, dia terus memberitahu apa yang dia lihat pada malam semalam. Pihak polis dihubungi dan benarlah sebagaimana yang dikatakan Sofia bahawa terdapat tulang-temulang yang sudah lama tertanam di dalamnya.
Kini terjawablah sudah kenapakah gadis berkebaya merah sering mengganggu mereka dan yang paling Sofia tidak dapat lupa bahawa gadis malang itu adalah rakannya sendiri. Patutlah rakan-rakan sebiliknya dan sekelasnya memandangnya dengan agak pelik. Rupanya selama ini dia berbual sendirian dengan roh gadis berkebaya merah. Patutlah Dahlia mampu menceritakan secara terperinci tentang kisah gadis berkebaya merah itu.
“Semadilah awak di sana dengan damai Lia.” Sofia mengesat air matanya ketika berada di kubur Dahlia si gadis berkebaya merah.

TAMAT

🚏⭕ || Kisah Si Makhluk Where stories live. Discover now