Boneka kecil

407 23 0
                                    

Alunan biola merdu memecah keheningan senja, begitulah rutin harian Pak Razali 65 tahun, pada setiap petang. Biola lama itu lah yang selalu menjadi penemannya di kala sunyi. Merupakan bekas ahli kumpulan pemuzik yang agak gah suatu ketika dahulu. Biola itu lah yang selalunya dijinjing, diusung ke sana ke sini demi menghiburkan masyarakat di samping sebagai sumber pendapatan. Walaupun warna kayunya sudah mulai kusam dimamah waktu namun bunyinya masih kelihatan asli dan lunak untuk didengar. Di setiap petang beranda rumahnya menjadi saksi alunan merdu biola yang dimainkan Pak Razali. Anak-anak kecil yang selalu bermain di perkarangan rumah akan berhenti dan menikmati lagu-lagu dari biola Pak Razali.

Pak Razali tinggal berdua bersama isteri pengarang jantung hatinya, Mak Salmah. Anak-anaknya sudah berhijrah ke bandar bersama keluarga masing-masing. Walaupun jarak dari KL ke Penang agak jauh, sebulan sekali mereka pasti akan pulang menziarahi kedua orang tua mereka. Terubat rindu Pak Razali dan Mak Salmah apabila anak cucunya datang menjenguk mereka. Oleh kerana Pak Razali ini berdarah seni, maka dia terlalu amat meminati barang-barang unik dan antik. Di ruang tamu rumahnya sahaja penuh dengan barang-barang vintaj dan lama. Mungkin juga dia mahu mengimbau kembali zaman-zaman muda dia dahulu. Mak Salmah tidak melarang minat suaminya itu, cuma pesannya barang-barang antik ini harus 'dijaga' betul-betul dan jangan beli sebarangan.

Seperti yang keluarga dan kenalan-kenalannya tahu, selain meminati barang-barang lama, Pak Razali juga merupakan seorang pengumpul patung dan boneka ukiran. Rata-ratanya dibuat daripada kayu dan tanah liat. Oleh kerana saiznya agak kecil iaitu lebih kurang dalam skala 1:24 maka penuhlah satu almari rumahnya dengan patung-patung ukiran tersebut. Apabila pulang ke kampung, cucu-cucunya amat menggemari koleksi patung boneka datuknya ini. Ada yang mahu bermain dengannya namun ayah mereka melarang kerana bimbang akan rosak. Mereka semua faham akan minat datuknya ini. Ada juga cucu-cucunya yang masih kecil takut apabila melihat wajah patung-patung boneka yang rata-ratanya seakan-akan manusia betul ini.

Kisah terjadi pada suatu pagi. Pak Razali yang kebetulan sedang keluar bersiar-siar telah singgah di Road Walk Penang. Di situ terdapat deretan pasar yang menjual pelbagai barang-barang terutama barang-barang lama dan antik. Pak Razali anggap tempat itu sebagai syurga buatnya kerana pelbagai barangan antik yang boleh dia dapati di situ. Memang ramai orang pada waktu itu, biasalah awal bulan. Ada yang berjalan saja, ada yang cuci mata, tak kurang ada juga yang sedang tawar menawar. Pak Razali pula berjalan melihat dan menjenguk-jenguk kalau ada yang berkenan. Teko lama dipegangnya, bersadur gangsa namun sudah kusam. Bila difikir balik, teko lama dah banyak dia kumpul di rumah. Pak Razali teruskan berjalan sehingga ke hujung.

Pak Razali terus berjalan dalam keramaian dan hingar-bingar road walk penang. Dia toleh ke kiri. Matanya terpana pada satu gerai yang menjual patung-patung kecil, ia di susun di atas sebuah kotak. Patung-patung itu diperbuat daripada kayu dan diukir menyerupai kanak-kanak kecil. Berketinggian dalam lebih kurang 6 inci, ada 5 buah buah, kesemuanya dipakaikan baju seperti zaman era Kolonial Inggeris lama. Yang 3 patung lelaki berkemeja berseluar pendek, manakala 2 yang perempuan pula bergaun putih dan biru muda. Sangat comel. Pak Razali teruja akan kehalusan buatannya walaupun dalam kondisi antik dan terpakai. Setelah proses tawar menawar, tiga keping not rm10 bersilih ganti dengan 5 buah patung miniatur yang diletak di dalam kotak kayu. Pak Razali pulang dengan gembira.

Mak Salmah tersenyum melihat keletah Pak Razali yang begitu teruja menyusun 5 'kanak-kanak kecil' di dalam almari yang menyimpan koleksi patung-patungnya. Mereka diletakkan paling hadapan. Pak Razali tersenyum puas, koleksi patungnya kini bertambah. 5 patung kanak-kanak kecil bagai turut 'seronok' kerana dijaga oleh tuan yang baru. Senyuman terukir pada wajah 3 kanak-kanak lelaki dan 2 perempuan tersebut. Pandangan Pak Razali tidak lepa pada patung boneka barunya, selesai makan malam dia terus duduk di ruang tamu sambil membelek-belek patung-patung tersebut. Dibetulkan semula baju-baju mereka yang herot-berot, kemudian Pak Razali letakkan kembali di dalam almari berkacanya.

Malam melabuhkan tirai, jarum pendek melepasi angka 12. Pak Razali dan Mak Salmah sudah lama lena. Malam itu sama seperti kebiasaan malam-malam lain. Sunyi tenang, dan damai. Kawasan kejiranan juga tidak terlalu bising, hanya bunyi dua-tiga motor yang lalu lalang. Itu pun budak-budak muda yang balik dari melepak di tembok pintu gerbang kampung. Mak Salmah akhirnya terjaga dari lenanya. Telinganya mendengar bunyi bising di ruang tamu. Bunyi seperti kanak-kanak sedang berlari-lari dan ketawa riuh rendah. Mak Salmah jadi gusar. Rasanya cucu-cucunya baru sahaja pulang ke kampung minggu lepas, masakan mereka sudah pulang lagi? Mak Salmah toleh ke kiri. Pak Razali sedang nyenyak tidur. Mungkin dia tidak terdengar bunyi bising tersebut.

Mak Salmah bangun dan perlahan-lahan berjalan ke ruang tamu. Dari balik tirai langsir pintu yang menghubungkan ruang bilik dengan ruang tamu, Mak Salmah terlihat ada 5 orang kanak-kanak kecil sedang bermain, berlari, dan berkejar-kejaran di ruang tamu. Suasananya amat riuh rendah sekali. 3 lelaki, 2 perempuan. Berdentam-dentum bunyi lantai kayu dipijak-pijak mereka. Mak Salmah berkali-kali menggosok matanya. Mimpi ke ni? Bisik Mak Salmah di dalam hati. Agak lama Mak Salmah perhatikan mereka di balik pintu, mereka pula langsung tidak perasan kehadiran Mak Salmah. Tidak lama selepas itu kelima-lima mereka semuanya lenyap. Mak Salmah tak berani hendak menjenguk. Dia masuk semula ke bilik tidur.

Pak Razali sukar hendak percaya akan cerita Mak Salmah berkenaan kejadian malam tadi. Baginya isterinya itu sedang mengigau dan bermimpi. Mak Salmah berkeras menafikan perkara tersebut. Mata kepalanya sendiri yang menjadi saksi akan kejadian miseri malam tadi. Pak Razali menghirup kopi o' sambil memandang 5 patung barunya di dalam almari. Kesemuanya masih terletak elok di dalam almari seperti waktu terakhir dia letakkan di situ. Tiada tanda-tanda posisi dan kedudukannya berubah. Pak Razali menganggap Mak Salmah hanya bermain dengan imaginasi. Mungkin dia terbawa-bawa sehingga termasuk ke dalam mimpi. Mungkin dia terlalu rindukan cucu-cucunya.

Malam kedua. Pak Razali tidur di kerusi malas ruang tamu kerana panas, Mak Salmah pula tidur seorang di bilik tidur. Nak dipendekkan cerita pada malam kedua ini, sewaktu mereka semua berehat dan tidur, berlaku lagi kejadian misteri yang melibatkan patung-patung kecil ini. Kali ini lagi melampau. Mak Salmah terdengar lagi bunyi riuh rendah dan bising. Malam itu bunyinya kedengaran lebih jelas dan dekat. Mak Salmah terus terjaga. Dia terkejut apabila melihat kanak-kanak kecil yang dia nampak malam tadi kini sedang berdiri mengelilingi katilnya. Mereka ketawa sambil memandang Mak Salmah. Takutnya usah cakap. Gema gelak tawa mereka buatkan keadaan makin menyeramkan. Mak Salmah cuba menjerit namun suaranya seperti tersekat di dalam kerongkong. Dia terus membaca ayat-ayat suci Al-Quran supaya benda-benda itu tidak mengacaunya. 5 minit selepas itu semua kanak-kanak itu hilang lenyap.

Keesokan harinya Mak Salmah mengeluarkan kelima-lima patung itu dari almari dan mencampakkannya di hadapan rumah. Patung-patung tersebut kesemuanya pecah terhempas ke tanah. Pak Razali yang cuba melarang terpaksa merelakan keputusan isterinya yang sering diganggu pada setiap malam. Pada malam hari selepas patung-patung itu dibuang, rumah Pak Razali dan Mak Salmah digegar dengan kuat. Dinding, lantai semua berdentam-dentum seperti dihentak dari luar.  Suara knak-kanak menjerit kedengaran sangat lantang dan kuat. Mereka sangat marah! Mungkin kerana patung yang mereka diami itu sudah pecah. Malam itu Pak Razali dan Mak Salmah diganggu dengan secukup rasa.

Subuh menjelma. Kelihatan seorang Ustaz sedang berjalan kaki untuk ke surau. Seperti kebiasaan dia akan melalui rumah Pak Razali kerana rumah mereka sederet dan tidaklah terlalu jauh mana. Ustaz ini terlihat kelibat 5 kanak-kanak sedang berjalan berlegar-legar di hadapan rumah Pak Razali dan Mak Salmah. Ketika ditanya apa yang mereka semua buat di situ,  kelima-limanya menjawab mereka mahu tuntut pembalasan pada Mak Salmah atas kematian mereka. Ustaz yang sudah berpengalaman dalam bidang-bidang sebegini terus mengesyaki sesuatu. Beberapa potong ayat di baca, kelima-lima mereka kelihatan menggelupur kepanasan. Mereka menjerit, meronta dan meraung-raung. Dengan izin Allah dan rahmatNya, syaitan-syaitan yang menumpang mendiami patung-patung kecil ini berjaya dibuang dan diusir keluar. Sisa baki patung-patung yang pecah ini dibungkus di dalam sebuah kain lalu terus dibakar dan dimusnahkan.

Kisah ini merupakan kisah benar yang admin perolehi sumbernya daripada kawan admin, di mana Pak Razali (bukan nama sebenar) merupakan datuknya sendiri. Nama watak terpaksa dirahsiakan, namun latar tempat dan jalan cerita adalah benar.

Sekian.

🚏⭕ || Kisah Si Makhluk Where stories live. Discover now