Rumah lama di hujung jalan

688 49 0
                                    

Abangku baru sahaja mendirikan rumah. Rumah ini didirikan sebagai hadiah perkahwinan untuk isterinya. Rumah yang besar dan tersergam indah itu hanya diduduki isterinya jika abangku bekerja. Oleh sebab itu, dia memintaku untuk tinggal di sana untuk menemani isterinya.

Aku sangat gembira dengan ajakan abang. Dia telah menyediakan bilik yang luas dan besar untuk keselesaanku. Bilikku ada di depan rumah, berseberangan dengan sebuah rumah lama yang kosong di tepi jalan akibat dari peninggalan kolonial British. Di halaman depan rumah, berseberangan terdapat sebuah pohon besar, kata abangku, pohon itu sudah ada sejak tanah itu dibeli.

Awalnya, aku menganggap biasa, tidak ada perasaan _horror_ dengan rumah lama di tepi jalan dan pohon di depan rumah sehingga pada suatu ketika.

Abangku dan isterinya mahu pergi berbulan madu di Bali selama sebulan. Dia memintaku untuk tinggal di rumah itu dan menjaga rumahnya. Namun demikian, abang memberitahu bahawa dia belum sempat mencari pembantu dan pengawal keselamatan. Mahu ataupun tidak, aku bersetuju dengan permintaan abangku, lagipun menjaga rumah bukanlah tugas yang susah.

Sudah seminggu abang dan isterinya pergi. Aku sangat gembira menjaga rumah abang kerana boleh buat sesuka hatiku seperti makan, minum, menonton televisyen dan menghabiskan hariku dengan bermain permainan video. Kebetulan juga, kuliah tidak ada kerana cuti semester.

Pada suatu malam, aku tidak dapat melelapkan mata dan akhirnya aku memutuskan untuk bermain permainan video bola kesukaanku. Ketika aku sedang bermain _game_ , tiba-tiba sahaja aku dikejutkan dengan bunyi loceng rumah yang berdentang.

"Kenapa abang aku beli loceng yang menyeramkan _ni_". Aku berkata sambil berfikir.

Aku terus berganjak dari tempat dudukku, menuju tingkap rumah dan ketika kubuka tirai rumah untuk memastikan terdapat tetamu yang datang, aku tidak melihat siapa pun di luar. Aku menoleh kanan kiri, memantau keadaan di luar rumah yang cukup sepi pada malam itu. Aku kembali duduk di ruangan televisyen, sambung bermain permainan video.

Lalu, loceng rumah berbunyi lagi.

_"Hihh! Siapa yang datang malam-malam buta begini, ganggu aku nak main game."

Loceng rumah terletak di sebelah kanan pintu pagar. Jadi siapa pun boleh menekan loceng rumah ini. Ini yang membuat aku mula membiarkan loceng itu berbunyi. Aku meneruskan permainan video ini. Namun, semakin aku membiarkan bunyi loceng itu terus berbunyi, aku meletakkan _stick game_ dan berjalan dengan sedikit tergesa-gesa. Aku membuka pintu dan menuju ke pintu pagar rumah.

Hujung mataku menangkap kelibat bayangan tingkap rumah yang gelap. Mataku terus fokus ke arah tingkap depan itu. Tanganku masih memegang besi pagar rumah. Tingkap rumah lama itu kelihatan gelap dan kotor. Malah, terdapat cahaya putih di situ, hasil pantulan lampu dari halaman rumah.

"Mungkin bayangan itu dari lampu jalan." Aku melihat rumah lama itu.

Belum sempat kakiku melangkah, aku melihat sesuatu yang bergerak-gerak di atas pohon besar di depan rumah abangku. Aku terdiam sejenak, aku tahu apa yang aku nampak di atas pohon besar itu.

"Ituu... sepasang kaki yang bergerak-gerak..." aku berkata dalam ketakutan.

Badanku diam terpaku, jantungku berdegup dengan laju dari kebiasaanya. Aku semakin berpeluh. Perlahan-lahan aku memalingkan pandanganku ke arah pohon itu dan aku tahu ini bukan halusinasi, aku boleh melihatnya dengan jelas. Seorang perempuan sedang duduk di atas pohon, berpakaian serba putih dengan rambut yang panjang. Kakinya bergerak-gerak.

Perempuan itu duduk sambil menyanyi dengan suara yang halus.

*"Terang bulan... terang bulan purnama, buaya timbul disangka sudah mati... jangan percaya mulut lelaki... berani sumpah... dia... takut mati..."*

Aku segera mengalihkan pandanganku, perlahan-lahan aku melangkahkan kaki masuk ke dalam rumah. Aku menutupi mataku sambil terkumat-kamit membaca doa. Aku ingin segera lari dari situasi ini.

Aku berjaya masuk kedalam rumah dan berlari secepat mungkin menuju ke dalam bilik. Aku terus merebahkan diri di atas katil dan menutupi seluruh badanku dengan selimut. Dalam keadaan ketakutan, aku berusaha memejamkan mata dengan harapan aku dapat melelapkan mata dan terjaga pada keesokan harinya.

Sayup-sayup terdengar lagi suara nyanyian perempuan itu. Suaranya lembut dan kedengaran sayup-sayup dari kejauhan. Perlahan-lahan aku menurunkan selimutku. Tiba-tiba, aku terpandang di sebelahku terbaring seorang perempuan berambut panjang dan bermuka putih pucat yng jaraknya hanya beberapa sentimeter denganku.

Wajah perempuan itu jelas kulihat, muka pucat dengan matanya yang berwarna merah darah dan bibirnya yang membiru. Dia memandang kearahku. Aku tak mampu melakukan apa-apa. Suaraku tergagap-gagap. Perempuan itu terus menyanyi sambil memandangku. Aku berasa sangat lemas, lama-kelamaan pandanganku mulai kabur dan aku tidak ingat apa-apa lagi.

Entah, sudah berapa lama aku tertidur. Angin yang dingin menusuk tulangku. Perlahan aku membuka mata dan aku masih tidak ingat apa yang terjadi semalam. Jantungku berdebar kencang seketika.

Aku melihat tingkap rumah terbuka lebar. Aku turun dari tempat tidurku dan memeriksa keadaan rumah. Semuanya kelihatan biasa sahaja, tiada yang ganjil. Aku mengusap dada dan duduk di anak tangga. Bunyi kereta yang bising telah menyedarkan aku dari lamunanku.

"Abang Ramli?" Aku berkata dengan suara yang lemah.

Aku terus menuruni tangga dan membuka pintu. Sangkaanku benar abang Ramli dan isterinya sudah balik dari Bali. Tanpa membuang masa aku membuka pintu pagar.

"Taufiq... kenapa muka kamu pucat?" Abang Ramli bertanya kepada Taufiq.

"Tidak ada apa-apa, abang. Semalam, Taufiq tidur lewat."

Aku merahsiakan kejadian yang berlaku semalam. Aku mengeluarkan beg-beg dari kereta abangku.

"Abang balik secepat mungkin ini sebab risau tinggalkan kamu bersendirian di rumah. Tiada apa-apa yang berlaku kan?" Abang Ramli bertanya sekali lagi kepada Taufiq.

"Hurmm.. betul bang, tak ada apa-apa. Semuanya ok." Taufiq menjawab kembali pertanyaan abangnya

"Haa, baiklah kalau begitu. Tolong bawakan bagasi abang dalam kereta tu." Abang Ramli menyuruh Taufiq menolongnya.

Ketika aku menurunkan bagasi dari kereta, aku terdengar dari arah belakang suara yang amat pelik. Suara itu seperti sebuah lagu yang pernah aku dengari sebelum ini. Lagu itu lagu yang dinyanyikan perempuan semalam. Aku menoleh perlahan-lahan ke arah rumah lama itu dan tiba-tiba aku ternampak perempuan itu lagi.

"Ituu... ituuuu....," kata taufiq tersekat-sekat.

🚏⭕ || Kisah Si Makhluk Where stories live. Discover now