Kali ini, aku ingin berkongsi antara kisah seram yang pernah diceritakan oleh senior aku semasa di asrama dahulu. Satu kisah seram yang berlatarbelakangkan bilik basuh asrama.
Aspura (semua tahu ianya singkatan kepada 'asrama putera', merujuk kepada asrama pelajar lelaki) sekolah aku mempunyai empat blok; Blok A, B, C dan D. Dengan setiap blok mempunyai 4-6 dorm, dan setiap satu dorm berkapasiti antara 10-20 orang pelajar, menjadikan jumlah penghuni asrama lebih kurang 300 orang pelajar.
Namun, di Aspura hanya terdapat dua bilik basuh; satu di Blok B dan satu lagi di Blok D. Setiap bilik basuh hanya ada tiga tempat basuh dan setiap tempat basuh hanya ada dua paip air, menjadikan pada satu masa, bilik basuh hanya mampu menampung 12 orang pelajar.
This is just math. You can skip it actually. Hehe.
Kekurangan tempat basuh menjadikan bilik basuh sentiasa penuh dengan pengguna semasa hujung minggu. Maklumlah, hujung minggu adalah masa yang paling sesuai untuk membasuh semua baju busuk pelajar asrama yang dikepam di dalam locker masing-masing. Hal ini menjadikan bilik basuh sebagai tempat rebutan pada hari sabtu dan ahad. Bila berbicara tentang rebutan, maka yang menang sudah tentulah pelajar senior. Tiada konsep siapa cepat dia dapat. Jika senior datang, pelajar junior perlu beri ruang. Itu lumrah, at least itulah yang berlaku pada masa aku dulu. Hahaha.
Jadi, untuk menyelesaikan tugasan membasuh pakaian, pelajar junior perlulah menjadi kreatif dalam mencari masa membasuh.
Kisah seram ini berkisarkan tentang dua pelajar junior membasuh pakaian. Atas tujuan dramatik, aku berikan nama mereka Safuan(dipanggil Wan) dan dan Tengku Usman (aka T.U, disebut Tu).
Pukul tiga pagi, Safuan bersendirian berada di tempat basuh paling dalam di bilik basuh Blok B, menyental kotoran yang terlekat di pakaiannya. Ini merupakan cara kreatifnya mencari masa untuk membasuh pakaian. Pukul tiga pagi sangat sesuai kerana pada waktu ini, semua orang sedang nyenyak tidur dan tiada lagi warden yang meronda (of course lah, warden pun kena tidur juga, kan?). Baju yang dibasuh juga boleh disidai sementara di dalam bilik basuh sebelum akan dibawa ke ampaian kain di belakang asrama apabila hari mula cerah nanti.
Sedang khusyuk Safuan membasuh, seorang lagi menjengah di pintu bilik basuh, bertuala sambil menjinjing baldi berisi pakaian. Tidak lain tidak bukan, itu ialah Tengku Usman, teman satu dorm dengan Safuan.
"Eh, Wan. Awal kau bangun? Aku ingat aku bangun paling awal..." sapa Tengku Usman.
"Kau nak membasuh juga ke?" tanya Safuan.
"Mestilah. Takkan nak pergi memancing pula kot!" seloroh Tengku Usman dengan jenaka yang klise untuk orang yang sudah terang lagi bersuluh. Tengku Usman meletakkan baldinya di tempat basuh bersebelahan dengan Safuan. Dibukanya paip, air berderu keluar mengisi baldi dan membasahi isinya.
"Berani kau turun seorang diri ke bilik basuh ni pagi buta macam ni ya, Wan"
Safuan tersenyum tanpa jawapan.
"Aku bukan apa, banyak benda aku dengar pasal bilik basuh ni."
Kata-kata Tengku Usman membuatkan dahi Safuan berkerut tiga. Kuajaq betoi pergi buka cerita macam tu pagi-pagi macam ni.
"Kau jangan main-main, Tu. Kita tengah dalam bilik basuh ni," Safuan beri amaran. Tengku Usman tersenyum sambil memberus seluarnya.
Suasana terdiam seketika di antara mereka berdua.
"Hmmm hmmmm hmmmmmmm!" Tengku Usman mula humming satu lagu. (Aku tak tahu humming dalam BM. Kamus kata humming = senandung, tapi aku rasa kurang tepat sebab humming sekadar bunyi, senandung macam nyanyi perlahan-lahan)
Muka Safuan berubah. Dia tahu irama lagu yang di-humming oleh Tengku Usman itu.
"Air pasang malam surut pukul lima..." Tengku Usman kini bukan sekadar humming, malah menyanyikan liriknya sekali.
"Nyonya bangun pagi, siram pokok bunga..." Nyanyian Tengku Usman membuatkan Safuan berdiam diri. Siapa selesa kalau dengar lagu seperti itu pagi-pagi buta di bilik basuh, kan?
"Pokok bunga melur tanam tepi kolam...
Itik bertelur ayam mengeram..."
"Tu, boleh tak tukar lagu? Atau lagi bagus kalau kau tak nyanyi langsung. Takut na
nti warden terdengar, masak kita." Safuan cuba mencari alasan mematikan nyanyian Tengku Usman.
"Okey-okey! Aku nyanyi lagu lain. Lagu yang moden sikit..."
Safuan mendengus panjang mendengar jawapan Tengku Usman itu. Yang nak kena menyanyi juga tu, dah kenapa? Tak faham betul...
"Ke manaaaa...Bintang beribu..."
Tengku Usman mula menyanyikan lagu Ukays bertajuk Seksa.
"Di malam ini..Tiada satupun yang kelihatan kecuali kelam..."
Irama nyanyian Tengku Usman semakin perlahan, suaranya menjadi semakin bass, semakin dalam, seolah-olah sengaja mahu membuatkan hati berdebar.
"Mungkinkah... hujankan turun... menemani malam...
Makin sepilah... malamku ini... Tiada teman bicara..."
Tengku Usman pusingkan kepalanya ke arah Safuan dan bertanya,
"Kau takut ke, Wan? Kau takut ke aku nyanyi macam tu?"
Safuan tanpa memandang ke arah Tengku Usman, menggelengkan kepalanya.
"Tak Tu. Tak!"
"Kalau tak, biar aku sambung lagi..." jelas Tengku Usman.
"WALAUPUN... LENAKU PANJANG!
Eh, bukanlah!
Sepatutnya macam ni lirik dia..." Tengku Usman sambung lagi.
"WALAUPUN... LEHERKU PANJANG!" Tengku Usman berpaling ke arah Safuan semula.
Tengku Usman ingin melihat reaksi ketakutan di muka Safuan. Niatnya memang mahu menyakat kawannya itu. Dalam hatinya sudah berketawa kecil, menanti reaksi dari Safuan.
"Leherku panjang?" tanya Safuan sambil memusingkan kepalanya ke arah Tengku Usman.
"MACAM NI?"
Tiba-tiba leher Safuan menjadi panjang seperti ular yang berlingkar. Semakin panjang, semakin panjang sehingga memenuhi ruang di bilik basuh. Kepala Safuan yang bergigi taring panjang dan berambut gerbang laju menerjah ke depan muka Tengku Usman.
Maka menjeritlah Tengku Usman ketakutan. Niat Tengku Usman mahu mengenakan Safuan tidak kesampaian kerana rupanya dialah yang terkena.
Seperti klise cerita seram yang lain, aku pun habiskan cerita kali ini dengan plot tergantung. Apa yang jadi kepada Tengku Usman, tiada siapa tahu, dan tiada siapa dapat ceritakan dengan tepat.
Selamat membasuh baju di tengah malam.
"WALAUPUN... LEHERKU PANJANG!"
@detik12malam
YOU ARE READING
🚏⭕ || Kisah Si Makhluk
Terror/Koleksi cerita seram je/ Ada orang kata Se curious kita nak tahu pasal hantu, hantu pun curious jugak nak tahu apa tanggapan kita kat diorang. So aku sarankan korang hati-hati baca buku ni. Lebih-lebih lagi kalau baca memalam. Sebab mana tahu mas...