Adi menyepak kucing yang dijumpainya di tepi jalan sehingga terpelanting kucing itu. Adi cukup suka apabila mendengar suara kucing mengiau kesakitan atas perbuatannya.
“Awak ni Adi, kenapa sepak kucing yang tak berdosa tu?” Amir tidak setuju langsung dengan tingkah laku Adi yang suka menyeksa kucing.
“Suka hati sayalah. Saya memang benci kucing. Suka gesel-gesel kaki. Gelilah.” Adi membenrontak lalu terus melangkah kaki ke sekolah.
Amir hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja dengan tingkah Adi. Amir harap suatu hari nanti Adi akan menghargai kucing-kucing yang ditemuinya.
Petang itu selepas tamat waktu persekolahan, Adi pulang bersendirian kerana Amir ada kelas agama. Adi tidak turut serta di dalam kelas agama maka dia tidak berteman pada hari itu.
Adi seakan mendapat emas pertama apabila ternampak kucing yang berkeliaran di tepi jalan ketika dia hendak balik ke rumah. Lalu tidak membuang masa lagi, dia mengejar kucing-kucing itu. Dia hendak melempar mana-mana kucing yang dia dapat nanti. Itulah niat Adi.
Semakin laju kucing-kucing itu berlari, semakin laju juga langkah kaki Adi mengejar sehingga dia tidak sedar dia sudah pergi jauh ke dalam hutan. Apabila tiba di satu kawasan lapang, Adi menelan liurnya apabila melihat begitu banyak kucing mengelilingi. Bagaikan mimpi sahaja Adi melihat kucing-kucing yang sedang menderam marah ke arahnya.
“Takkanlah. Aku mimpi ni.” Adi menyedapkan hatinya.
“Awak tak mimpi. Awak ada di dalam dunia kami. Dunia kucing. Ha ha ha ...” seekor kucing putih yang sangat cantik sedang melenggok menghampirinya.
Adi menelan liurnya untuk sekelian kalinya.
“Du .. du .. dunia kucing?” tergagap-gagap Adi menutur kata apabila kucing-kucing yang mengepungnya kini menghampiri perlahan-lahan. Hendak buat apa pun Adi sudah tidak mampu kerana jumlah kucing yang ada di situ sangat banyak. Memang tidak akan terlawan dia seorang.
“Awak selalu mendera kamikan, cuba awak rasa pula bagaimana didera tanpa belas kasihan,” lalu kucing-kucing itu menyerang Adi dalam pelbagai rupa.
Dalam sekejap sahaja kucing-kucing itu sudah bertukar rupa masing-masing. Ada yang membesar, ada yang berwajah hodoh, ada yang berwajah dua, ada yang berlidah dua, ada yang bertelinga banyak, ada yang bertangan lapan. Pendek kata macam-macam rupa.
Adi ditendang oleh mereka sekejam-kejamnya. Kemudian, Adi diangkat oleh mereka dan dilempar seperti bola. Apabila Adi menjerit, mereka ketawa sambil mengiau. Mereka seakan-akan suka mendengar jeritan Adi.
“Hentikan! Hentikan! Tolong hentikan. Jangan seksa saya lagi!” Adi terus merayu untuk mereka hentikan perbuatan mereka yang sedang mengganas.
“Hentikan? Adakah awak hentikan perbuatan kejam awak apabila kami menjerit merayu? Awak terus membelasah kamikan? Sekarang kami nak awak rasa bagaimana kami rasa atas perbuatan awak,” ratu kucing itu terus mengarahkan anak-anak buahnya untuk membelasah Adi.
Sekali lagi Adi diperlakukan kejam apabila ada di antara kucing-kucing itu mencakar wajah Adi. Ada yang membenamkan taring mereka ke tengkuk Adi dan menghisap darahnya.
Adi sudah tidak tahan lagi lalu dia terus menjerit meminta tolong. Seluruh badannya kesakitan dan sangat berbisa dirasakannya.
“Tolonglah hentikan. Saya janji tak akan seksa kucing lagi. Saya janji takkan kejam terhadap mereka. Saya akan sayangkan mereka.” Adi terpaksa menabur janji untuk menyelamatkan dirinya.
“Awak penipu!” kini ratu itu pula menampar Adi semahu-mahunya sebelum menerkam Adi dan membenamkan taringnya ke leher sebelah kanan setelah leher sebelah kiri Adi dikerjakan anak-anak buahnya. Manakala kukunya yang tajam berbisa itu merobek perut Adi sehingga Adi menjerit tidak tahan dek kesakitan yang cukup luar biasa.
Mata Adi juga tidak mampu dibuka apabila sebelah lagi kuku ratu kucing itu membenam ke arah matanya.
“Adi! Adi! Bangun, awak ni dah kenapa? Apa dah jadi pada awak?”
Adi terdengar suara orang memanggil namanya ketika dia sedang meronta-ronta. Perlahan-lahan Adi membuka matanya untuk melihat siapakah gerangan yang menegurnya.
“Amir?” suara Adi seakan lemah memandang Amir.
“Teruknya awak dibelasah. Siapa yang belasah awak?” tanya Amir simpati. Tidak sangka Adi menerima habuan yang sangat teruk ketika dia tidak bersama Adi.
Adi menelan air liur.
“Hantu kucing!” perkataan terakhir keluar dari mulut Adi sebelum dia pengsan dengan tubuh yang dibelasah dengan teruk.
“Hah?” Amir langsung tidak percaya dengan kata-kata Adi kerana mana ada kucing yang mampu memperlakukan Adi sebegini rupa.
Ketika Amir menggendong Adi untuk dibawa pulang, kucing-kucing yang membelasahnya sebentar tadi hanya tersenyum riang kerana berjaya menjinakkan seorang pendera kucing.TAMAT
YOU ARE READING
🚏⭕ || Kisah Si Makhluk
Terror/Koleksi cerita seram je/ Ada orang kata Se curious kita nak tahu pasal hantu, hantu pun curious jugak nak tahu apa tanggapan kita kat diorang. So aku sarankan korang hati-hati baca buku ni. Lebih-lebih lagi kalau baca memalam. Sebab mana tahu mas...