Sambil menghirup kopi panas, Doktor Roslan membelek-belek fail pesakit baru yang diletakkan okeh misi di atas mejanya tadi. Dalam kenikmatan bau kopi yang menyegarkan itu, mindanya masih ralit dengan maklumat-maklumat baharu yang tercatat di dalam fail kuning itu.
Kes kurung anak, bunuh dan simpan mayat di dalam rumah sehingga bertahun-tahun. Kalaulah Doktor Roslan bukan seorang profesional, sudah tentu dia juga akan buat kesimpulan yang sama dengan netizen-netizen yang mengecam pesakit barunya itu.
Sudah viral di laman-laman sosial mengenai penemuan tiga mayat kanak-kanak yang dikurung di dalam sebuah bilik di rumah yang dihuni oleh sepasang suami isteri tidak berapa lama dahulu. Selepas siasatan dibuat, pasangan tersebut diberkas kerana disyaki mengurung, membunuh dan menyimpan mayat ketiga-tiga orang anak mereka sendiri.
Selepas perbicaraan selesai, pihak mahkamah memutuskan bahawa pasangan ini adalah pasangan yang menghidapi gangguan mental dan tidak wajar dikenakan hukuman-hukuman yang termaktub dalam mana-mana akta yang hanya digunapakai bagi menghukum pesalah-pesalah normal.
Mengikut laporan mahkamah yang dibaca oleh Doktor Roslan, si isteri tidak dapat menerima hakikat mengenai apa sebenarnya yang terjadi walaupun selama bertahun-tahun mereka tinggal bersama mayat anak-anak mereka yang disimpan di dalam bilik itu.
Berdasarkan laporan polis pula, selepas perbicaraan pertama di mahkamah, si isteri telah menghantukkan kepalanya sendiri pada paku di dinding mahkamah lalu mati kerana pendarahan otak di tempat kejadian. Kes bunuh diri ini juga menyebabkan dua orang polis pengiring yang mengiringi suami isteri tersebut digantung kerja atas tuduhan cuai dalam menjalankan tugas.
Tengahari itu juga Doktor Roslan dipanggil ke wad isolasi untuk bertemu buat pertama kali dengan pesakit lelaki itu. Pintu wad isolasi dikawal oleh dua orang anggota polis di kiri dan kanan. Dari pagi tadi juga Doktor Roslan asyik terlihat beberapa kereta polis keluar dan masuk dari kawasan hospital. Selama 16 tahun dia bertugas sebagai seorang pakar psikiatrik, tak pernah sekalipun dia melihat suasana seserius dan setegang itu di dalam hospital ini.
"Doktor, tolong isikan nama, nombor kad pengenalan dan waktu masuk doktor di sini." Arah salah seorang anggota polis yang menjaga pintu.
Doktor Roslan menuruti arahan anggota polis tersebut lalu dibenarkan masuk ke dalam wad isolasi yang lantai, dinding dan silingnya lembut dilapik dengan lapisan-lapisan kusyen putih. Tidak ada sebarang perabot diletakkan di dalam wad tersebut. Di hadapannya, seorang lelaki sedang melutut. Lelaki itu kelihatan seakan-akan sedang memeluk tubuh kerana dipakaikan straitjacket. Wajahnya tenang. Terlampau tenang jika dikenangkan apa yang telah dilakukan olehnya terhadap anak-anak sendiri. Namun, sebagai seorang profesional, Doktor Roslan tidak boleh meletakkan penilaian terlalu cepat kepada pesakitnya. Tugasnya hanyalah untuk menilai tahap gangguan mental pesakit dan membuat laporan untuk diserahkan kepada pihak mahkamah untuk digunakan sebagai rujukan lanjut. Tindakan penilaian hanya boleh dibuat oleh badan judisiari.
"He is a patient first, a criminal second." Fikir Doktor Roslan mengingati semula nasihat yang diingatinya ketika masih belajar mengenai etika merawat pesakit yang mempunyai rekod jenayah di sekolah perubatan dahulu.
"Assalamualaikum." Ucap Doktor Roslan tenang.
Tiada apa-apa respon daripada si pesakit. Doktor Roslan pun hanya separuh mengharap yang salamnya akan disambut. Doktor Roslan duduk bersila di hadapan lelaki itu dengan tangannya memegang fail yang dibacanya tadi.
"Awak nak minum atau makan apa-apa?" Tanya Doktor Roslan perlahan.
Lelaki itu menggeleng. Doktor Roslan pula mengangguk faham.
"Boleh kita bercakap?" Tanya Doktor Roslan lagi dengan nada yang lembut.
Lelaki itu menganggukkan-angguk perlahan. Doktor Roslan tersenyum sambil membuka failnya. Selepas menyelak beberapa helaian, Doktor Roslan meneruskan soalannya;
YOU ARE READING
🚏⭕ || Kisah Si Makhluk
Horror/Koleksi cerita seram je/ Ada orang kata Se curious kita nak tahu pasal hantu, hantu pun curious jugak nak tahu apa tanggapan kita kat diorang. So aku sarankan korang hati-hati baca buku ni. Lebih-lebih lagi kalau baca memalam. Sebab mana tahu mas...