Banglo Kampung Sungai Penchala

801 30 0
                                    

OLEH: KAK IM

TIK, TIK, TIK…

Kak Elly mengerling jam G-Shock limited edition kesayangannya itu, mereka berhenti seketika di sebuah kedai makan di daerah Jeli. Perjalanan masih berbaki tidak sampai sejam sahaja untuk sampai ke kawasan hutan simpan tetapi budak-budaknya sudah kelaparan. Lagi pula matahari semakin menegak menandakan waktu Zohor akan tiba tidak lama lagi. Jadi eloklah mereka beristirahat seketika sementara menunggu seruan.

Usai sahaja semuanya, mereka berangkat menuju ke kawasan hutan. Kali ini kumpulan mereka disertai lapan orang kesemuanya iaitu Zul, Am, Zaini, Nita, Mun, Naim, Kamil dan diketuai Kak Elly. Naim dan Mun merupakan anggota baru mereka jadi Kak Elly lebih berjaga-jaga dan sentiasa memberi tunjuk ajar kepada mereka berdua.

“Ok kejap lagi kalau apa-apa, Mun dan Naim mesti sentiasa berteman, jangan pergi mana seorang diri. Kamu belum biasa lagi dengan kawasan hutan.” Kak Elly bersuara tegas.

“Eh tapi kenapa? Kita kan memang sentiasa berjalan dalam kumpulan? Kenapa nak berpecah pula?” Naim sedikit gusar, dia sukakan suasana hutan, tapi kadang-kadang dia akan takut.

Kak Elly kemudiannya membahagikan tugas masing-masing. Ada yang perlu mencari kayu api atau ranting-ranting, memasang khemah, menyediakan bekalan air, memasak dan lain-lain. Tujuan ke sini memanglah untuk mengambil anak-anak pokok yang berpotensi, tetapi mereka juga perlu menjalani kehidupan seperti biasa. Jika tidak, mahu mati kelaparan pula. Tujuan pembahagian tugas juga perlu, supaya dapat memupuk semangat kerjasama dalam pasukan.

Mereka berjalan menuju ke hutan seorang demi seorang. Paling hadapan ialah Zul, diekori oleh Kamil, Nita, Naim, Mun, Zaini, Am dan yang paling belakang ialah Kak Elly. Memerhati gelagat anak buahnya dan pada masa yang sama bersiap-siaga jika ada apa-apa yang tidak enak berlaku. Zul pula mempunyai badan tegap dan sasa. Dia sudah pernah memasuki kawasan ini dan memang kenal dengan orang-orang kampung sebelum memasuki kawasan hutan.

“Argggggggggh…”

“Apa ni, apa ni!!” Mun menggelupur mengibas-nibas tangan kirinya. Dia yang memakai baju berlengan pendek terkejut melihat seekor pacat yang sudah gemuk badannya. Pacat itu merayap susul-menyusul lengannya yang putih melepak. Naim yang dari tadi galak memerhati ke sekitar turut terkejut terdengar jeritan itu. Dia ingatkan apa la tadi…

Kak Elly hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat Mun, Nita dan Kamil pula sudah terkekeh-kekeh ketawa. Terhibur agaknya melihat Mun yang lari menggelupur sebegitu.

“Sudah-sudah, tak elok gelak macam tu dalam hutan. Kita sekarang datang ke tempat orang. Beringat sikit!” Zaini yang sedari tadi hanya berdiam diri mula membuka kotak suaranya. Zaini agak dingin sikapnya, tetapi baik hati. Mereka menggelarkan Zaini sebagai ustaz rockers kerana dia sangat gemar layan lagu-lagu rock dan heavy metal seperti Slipknot. Bila tiba waktu solat dia akan menjadi imam pula.

Akhirnya setelah jauh melangkah, mereka tiba di tempat yang sesuai. Kawasan yang agak rata itu dikelilingi semak-samun disekitarnya. Barangkali di tengah-tengah itu sangat sesuai untuk dimuatkan tiga khemah mereka. Terdapat dua ketul batu yang berada di kiri dan kanan, seakan-akan pintu gerbang. Tidak jauh dari situ juga terdapat sungai yang jernih dan sejuk airnya. Sayup-sayup mereka boleh mendengar desiran bunyi airnya yang berlaga-laga dengan batu-batu besar membentuk jeram.

Mereka memulakan kerja masing-masing seperti yang telah ditugaskan oleh Kak Elly. Am, Zaini dan Zul sudah awal lagi menghilang, mencari kayu api dan juga ranting untuk dijadikan unggun api. Nita dan Kamil mengambil air di sungai sementara Mun dan Naim memasang khemah. Kak Elly membantu mereka membersihkan kawasan sekitar yang bakal menjadi kediaman mereka. Naim yang sudah basah kuyup dengan peluhnya itu menggagau-gagau mencari mp3 nya. Dia kemudian memasang ayat al-Quran sebagai mengisi kegundahan hatinya. Tetapi entah mengapa, bertambah pula kegundahan rasa hatinya. Kak Elly pula hilang entah ke mana.

🚏⭕ || Kisah Si Makhluk Where stories live. Discover now