Hantu tindih

400 25 0
                                    

-------------------------------------------------------------

Mazni jenis yang suka tidur tanpa mandi atau mencuci kaki terlebih dahulu. Tidurnya akan sampai ke pagi. Puas dibebel oleh teman sebiliknya. Mazni hanya pekakkan telinga. Cukuplah dia mandi pada sebelah pagi. Lagipun mandi malam-malam tidak baik untuk kesihatan.

Nina membaling bantal pada Mazni yang sudah terbukang di atas katil. Nina menggeleng kepala. Waktu maghrib begini pun Mazni masih enak dibuai mimpi lagi. Tubuh temannya itu digoncangkan perlahan.

“Bangun! Kau ni tak tahu hormat waktu maghrib ke?”

“Aku tak solatlah. Uzur.” Balas Mazni lalu menarik bantal menutup mukanya.
Nina menghela nafas kecil.

“Eloklah sangat tidur waktu maghrib. Kena ditindih hantu baru kau tahu!” gumam Nina. Dia melangkah masuk ke bilik air untuk mengambil wuduk.

MAZNI bangkit menggaru-garukan kepala. Di kerling jam yang tergantung pada dinding. Puas dia tidur sampai pukul 10.00 malam. Mazni menguap kecil. Rambutnya lurus panjang itu diikat tocang satu. Nina tidak kelihatan di bilik. Agaknya ke bilik sebelah mengulang-kaji pelajaran.  Mazni bingkas bangun ke bilik air untuk mencuci muka. Tubuhnya berasa sengal-sengal. Tidak pernah dirasainya sebelum ini. Mungkin dia terlalu banyak tidur.

“Bangun dah,” suara Nina sebaik pintu dibuka. Dia meletakkan buku-buka pada dada meja.

Mazni masih merenggangkan otot-ototnya.

“Kau dah makan?”

Mazni menggeleng. Nina menghulurkan nasi bungkus kepada Mazni. Tersenyum lebar Mazni. Dalam bising-bising Nina masih mengambil berat akan dirinya.

“Terima kasih, beb.” Tidak sabar dia mahu menjamah nasi bungkus yang dibelikan oleh Nina itu. Perut sudah meragam dengan pelbagai jenis bunyi. Lapar.

“Maz, aku nak nasihatkan kau sikit. Ini nasihat sebagai kawanlah. Kau tidur seeloknya mandilah dulu. Sebelum tidur tu kau baca doa tidur dulu. Baca ayat kursi dan surah 3 Qul. Untuk elakkan gangguan jin dan syaitan. Lagi satu, tak elok tidur sebelum maghrib ni. Kau tahu tak itu waktu syaitan bertukar syif.”

“Iyalah-iyalah!” Mazni sudah menyuap nasi ke dalam mulut.
“Tengok tu, makan pun tak baca bismillah. Tak baca doa makan,” Nina membebel lagi. Mazni hanya tersengih.

“Dan satu lagi aku nak ingatkan kau, kalau kau tak boleh baca apa-apa waktu kau tindih nanti, kau sebut ALLAHUAKHBAR!. Takan itu pun kau tak boleh sebut pulak.” Nina menyambung kata-katanya.

MALAS-malas Mazni menanggalkan kasutnyta. Letih dengan ‘study group’ bersama-sama teman sekuliah. Lewat petang baru pulang. Nina kelihatan sedang khusyuk menyiapkan assignment. Mazni terus menghempaskan tubuh pada tilam. Matanya terpenjam rapat. Nina tidak mengendahkan Mazni.

Tidur Mazni yang nyenyak mula terganggu. Nafas Mazni berasa sesak. Tubuhnya bagaikan dihempap ‘sesuatu’ yang berat. Mazni langsung tidak mampu menggerakkan empat tulang keratnya. Biliknya itu sudah gelap gelita. Dia dengan payah mengalihkan kepala di katil sebelah. Nina sudah tidur pulas. Mazni cuba memanggil Nina tetapi suaranya tersekat dikerongkong.
Mazni semakin sesak nafas. Wajahnya ditutup dengan rambut rambut yang berbau busuk. Dia tidak tahu makhluk apa yang sedang menindihnya itu. Rongga hidung juga tidak mampu mencium bau seperti bangkai itu. Mazni mula teringat kata-kata Nina.

“Kalau kau tak boleh baca apa-apa waktu kau tindih nanti, kau sebut ALLAHUAKHBAR!. Takan itu pun kau tak boleh sebut pulak.”
Mazni cuba mencari kekuatan. Sebutan dibibibirnya tidak mampu diluahkan. Semakin lama semakin berat. Dalam keadaan begini tiada sesiapa akan membantunya kecuali dirinya sendiri.

“ALLAHUAKHBAR!” Mazni menyebut kalimah itu dengan kuat. Makhluk itu lenyap dari tubuhnya.

Mazni tercungap-cungap. Bajunya basah lencun. Bilik itu terang-benderang. Nina yag terjaga dari tidur hairan memandang Mazni. Mazni bermandikan peluh. Lantas Nina segera menghampiri temannya itu.

“Kenapa ni?”

“Aku serik dah. Aku serik.” Mazni memaut lengan Nina. Dia menceritakan segala yang berlaku kepada Nina.

“Aku dah ingatkan, kau tak mahu dengar. Bila dah kena baru kau tahu. Syukurlah kau tak apa-apa.” Nina menghela nafas kecil.

🚏⭕ || Kisah Si Makhluk Where stories live. Discover now