Pengembaraan ke alam misteri 1

441 17 0
                                        

Pada ketika itu aku hanya mampu berserah, aku memang benar-benar takut yang amat sangat. Semuanya nampak seperti realiti. Sedang aku terduduk ketakutan di penjuru bilik stor, tiba-tiba ada satu tangan yang menarik aku keluar melalui tingkap, aku bertambah hairan. Siapa pula ini dan mengapa aku tak keluar sahaja melalui tingkap yang terbuka luas ini? Badan aku di tarik keluar. Aku terseret di atas satu kawasan berpaya, ada berderet pokok kayu bakau kelihatan berdekatan dengan tempat aku terjatuh tadi. Habis seluar baju penuh dengan lumpur busuk. Alam ini memang penuh dengan misteri dan hal-hal di luar jangkaan.

Aku bangun mencari arah keluar. Aku berjalan dan terus berjalan sehingga ke persisir pantai. Segalanya kelihatan tidak seindah di waktu awal-awal aku masuk ke alam ini. Apa yang menjadi permandangan 'indah' aku ketika itu adalah, panorama tepi laut yang sangat menyeramkan. Tebing-tebing batu begitu tinggi, agak mustahil untuk aku panjat dengan mudah ke atas. Ratusan ikan-ikan kecil semuanya terdampar di pasir pantai, ada yang terselit-selit di celah batu. Air laut pula kelihatan tercemar, warnanya hitam pekat. Pada mulanya aku fikir ia refleksi dari awan hitam di langit, namun setelah aku tangguk airnya, ia memang betul-betul berwarna hitam.

Aku mengecilkan mata untuk melihat satu objek yang agak besar terdampar di hujung tebing batu di hadapan. Biar betul? Getus hatiku. Sebuah kapal besar kelihatan tersadai di sana. Aku berlari menuju ke arahnya. Menakutkan. Berdasarkan rupa fizikal dan kondisinya ia bagaikan sudah lama terdampar. Bentuknya sangat besar, berkarat dan cat putihnya sudah kusam dimakan cuaca dan waktu. Sebahagian badannya sudah tertanam di dalam pasir, manakala sebahagian lagi sudah tinggal rangka. Aku mendongak ke atas, ada satu tulisan berwarna hitam yang sudah kabur tertulis di badan kapal. Aku eja satu-satu.

O.U.T. N.O.W.

Out now? Jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia ia bermaksud 'Keluar sekarang'. Apa maksud tersirat di sebalik perkataan ini. Aku bingung sendirian di sisi bangkai kapal besar yang sudah tertanam sebahagiannya di dalam pasir. Adakah alam ini mahu aku keluar dari sini sekarang? Tidak. Aku masih belum puas di sini, masih banyak lagi pengembaraan yang aku belum lalui walau adakalanya nampak menakutkan. Aku seronok di sini kerana alam ini menguji kemahiran survival aku. Aku juga bisa melihat dan mengalami perkara-perkara yang aneh, yang fantastik, dan mengujakan. Satu lagi, alam ini tak sama dengan alam yang satu lagi di mana aku terlalu sengasara di dalamnya.

Aku tinggalkan sebentar bangkai kapal usang ini dan meneruskan pengembaraan. Angin laut semakin bertiup kencang, sejuknya hingga ke tulang hitam. Menggigil aku dibuatnya. Persisir pantai ini masih jauh lagi sehingga tidak nampak mana pangkal mana hujungnya. Seperti tidak ada penghabisan. Sesekali aku terdengar sayup-sayup bunyi siren amaran dan bunyi orang sedang merintih meminta tolong. Suasana bunyinya bagai di medan perang. Bunyi letupan dan tembakan bergema di ruang angkasa. Aku menoleh ke belakang. Bangkai kapal tadi nun jauh masih ada di sana. Aku tahu, bunyi-bunyi ini datang daripada lokasi kapal tadi. Bunyi daripada suasana perang sebelum kejadian kapal perang tersebut musnah dan tersadai di beting pasir. Ia bagaikan satu rakaman 'flashback' situasi sebelum kecelakaan datang.

Laluanku semakin pelik apabila aku terlihat lebih banyak lagi ikan-ikan dan hidupan laut yang mati terdampar di persisir pantai di sini. Dalam keadaan air laut yang hitam legam sebegini maka tidak hairanlah semua hidupan laut ini mati. Semakin jauh aku berjalan semakin lenguh pula kaki. Haus pun ada. Hendak di minum air laut ni, bimbang keracunan pula. Aku ternampak ada satu bukit  yang membentuk seperti pulau besar berdekatan persisir pantai. Oleh kerana pantai ini terlalu panjang sehingga tidak tahu mana penghujung jadi aku membuat keputusan untuk pergi ke pulau itu sahaja. Mungkin akan ada orang yang tinggal di sana.

Apa yang aku perhati pulau ini mempunyai reka bentuk yang aneh sedikit. Daratannya berwarna hitam-hitam kelabu, permukaannya pula di tumbuhi rumput dan pokok-pokok kecil. Pulau berbukit ini bersambung dengan daratan persisir pantai. Maka mudah untuk aku pergi ke sana, aku hanya perlu menyeberanginya sahaja. Sebatang kayu panjang aku ambil untuk memudahkan aku mendaki ke sana. Sedikit demi sedikit pulau tersebut aku terokai. Semak samun mula meliar. Rumput pula mula menebal saat aku mahu mendaki ke atas. Kayu panjang tadi aku pacakkan pada tanahnya bagi memudahkan aku memanjat dan mendaki. Mujur tanahnya lembut.

🚏⭕ || Kisah Si Makhluk Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang