Dri : Ahmad Rusydi
Pernah tak, tengah kau duduk depan TV dalam rumah yang kau dah diami selama lebih dari tiga tahun, tiba-tiba dari ekor mata kau, kau terpandang sebuah pintu. Pintu yang selama tiga tahun, kau tak pernah pun perasan. Mustahil selama tiga tahun kau duduk dalam rumah yang sama, rumah teres setingkat dengan empat bilik tidur dan dua bilik air, kau tak perasan pun sebenarnya ada pintu ketujuh nun di sudut ruang rumah kau sendiri.
Pintu yang tak pernah terbuka.
Kenapa setiap kali kau bercerita tentang rumah kau, kau cuma sebut empat bilik tidur dan dua bilik air? Orang-orang yang datang ke rumah kau pun tak pernah sebut tentang pintu ketujuh tu.
Kenapa?
Sampailah satu hari, mata hati kau terbuka untuk betul-betul melihat pintu itu. Betul-betul terus ke arah pintu itu dan bukan hanya dari ekor mata kau. Sambil pandang pintu tu, kau pun call isteri kau yang masih berada di tempat kerja.
“Hello, Ika. Buat apa?”
“Dekat tempat kerja lagi. Ada sikit jer lagi kerja. Kenapa bang?”
“Ika, rumah kita ada berapa bilik?”
“Empatlah. Bilik air dua. Kenapa? Abang dekat mana?”
“Dekat rumah.”
“Awal abang balik kerja. Bestnya! Anak-anak dah balik?”
“Belum. Dalam van lagi kot. Hmm. Tak apalah. Nak tanya tu jer.”
“Abang ni kenapa? Dah dekat rumah, lepas tu tanya rumah kita ada berapa bilik. Macam baru pindah tadi pulak.”
“Abang dengar bunyi van dekat luar tu. Anak-anak dah balik kot. Okaylah Ika. Bye.”
“Oh, okay. Bye”Lepas sahaja letak telefon, kau pun terus buat benda-benda lain. Buka pintu untuk anak-anak yang baru sampai rumah dari sekolah. Keluar buang sampah. Buka pagar untuk isteri kau. Dengar isteri kau berceloteh tentang kerja dia. Kau pula bercerita tentang kerja kau. Sampailah si isteri buka balik topik tentang panggilan telefon yang kau buat masa dia di tempat kerja tadi.
“Kenapa abang call Ika tadi sebenarnya?”
“Entah. Saja jer call.”
“Hmm. Kita borak tentang apa tadi bang? Lupa dah.”
“Eh. Entah. Abang pun lupa. Tak ada apa-apa pun rasanya.”
“Yelah. Hmm… Penatnya rasa otak ni bang.”Isteri kau pun sambung bercerita tentang hari dia.
Beberapa minggu selepas tu masa kau sampai rumah dari tempat kerja, kau tengok kereta Ika belum ada lagi dalam pagar. Kau pun buka pagar dan letak kereta kau bawah porch rumah. Anak-anak pun belum balik lagi ni. Budak-budak sekolah zaman sekarang, mak ayah pula balik kerja dulu. Kelas tambahanlah. Kokurikulumlah. Jam baru menunjukkan pukul enam petang. Kau pun masuk ke dalam rumah.
Dalam perjalanan nak ke bilik tidur, kau terpandang sesuatu dari ekor mata kau. Pintu tu! Kenapa selama seminggu ni kau lupa terus tentang pintu tu? Pintu tu terletak betul-betul di antara hujung sudut belah kanan ruang TV kau, dengan ruang dapur. Kiranya mustahillah sepanjang kau ulang-alik dari ruang TV ke dapur entah buat ke berapa ribu kali dalam masa tiga tahun, kau tak perasan pintu tu. Kau pun teringat yang minggu lepas kau ada call Ika bertanyakan tentang pintu tu. Jantung kau berdegup kencang, sampai hujung jari-jemari kau pun rasa berdenyut ikut rentak jantung kau. Suasana luar biasa sunyinya.
“Macam mana aku boleh lupa?” Kau soal diri kau sendiri.
Perlahan-lahan kau menoleh ke arah pintu tu. Tanpa berkedip. Hampir-hampir saja seminit kau berdiri tercegat di tengah laluan antara ruang TV ke dapur tu. Kenapa kau lupa tentang panggilan telefon kepada isteri kau minggu lepas? Paling penting, macam mana kau boleh lupa tentang pintu tu?
Pintu tu rupabentuknya sama dengan pintu-pintu lain dalam rumah kau. Tinggi lebih kurang tujuh kaki. Warna kuning cair. Malah kalau kau perhatikan betul-betul, pintu tu betul-betul sama dengan pintu bilik anak-anak kau. Maksud aku, betul-betul sama. Lekuk dekat tombol pintu tu. Rekahan cat pada hujung kanan belah atas pintu tu. Semuanya sama. Terlalu sama. Kenapa?
Kaki kau masih kaku tidak berganjak dari tempat kau berdiri tadi. Perlahan-lahan kau angkat kaki nak melangkah ke arah pintu tu sambil otak kau berfikir laju dengan berpuluh-puluh soalan tentang pintu tu. Tiba-tiba telefon bimbit kau berdering. Hampir-hampir saja jantung kau gugur. Terkejut. Kau menggagau-gagau poket mencari telefon sambil mata kau tak beralih dari pintu tu.“Hel… hello.”
“Hello bang. Jangan buka.”
“Bu… buka?”
“Ya, jangan buka.”
“Pintu ni ke? Ta… tapi… tapi kenapa? Ika pun tahu tentang pintu ni? Kenapa jangan buka pintu ni?”
“Pintu? Pintu apa?”
“Pintu? Pintu apa Ika? Lambat lagi Ika balik?” Tanya kau sambil melihat jam tangan. Jam menunjukkan pukul tujuh malam.
“Taklah. Nak balik dah ni. Jumpa kat rumahlah.”
“Okay. Bye!”Kau pun terus berjalan masuk bilik, caj telefon dan mandi. Fikiran kau kosong dan runsing dalam masa yang sama. Macam kau lupa sesuatu yang penting! Kau tertanya-tanya, kenapa kau rasa berdebar-debar ni? Mungkin mainan minda.
Lepas buka pintu untuk anak-anak dan kemudian untuk Ika, kau pun baring dalam bilik. Jantung kau masih berdegup kencang. Rasa tak sedap hati betul. Lepas mandi, Ika duduk sebelah kau di atas katil sambil melunjurkan kaki. Lenguh mungkin. Ika senyap. Kau pun senyap. Tiba-tiba Ika bersuara;
“Bang. Anak kita berapa orang?”
“Eh, Ika ni. Kenapa?”
“Berapa orang?” Ulang Ika lagi.Kau terdiam. Kau rasa kau tahu jawapan kepada soalan tu seolah-olah semacam kau tahu nama kau sendiri.
“Tiga… kan?”
“Bang. Kenapa kita lupa anak kita sendiri ada berapa orang?”
“Apa Ika ni. Tigalah! Firdaus, Anna dan…”Aku terdiam.
“Firdaus, Anna… dan siapa?”
“Astaghfirullah! Apa ni? Takkan kita lupa nama anak kita sendiri?!”
“Macam mana kalau kita bukannya lupa? Macam mana kalau kita memang tak ada anak nombor tiga?”
“Mustahil Ika! Memang anak kita tiga orang! Kenapa Ika tiba-tiba tanya macam ni?”
“Hmm. Entahlah. Tadi lepas Ika panaskan lauk dekat dapur, Ika duduk tengok TV. Tiba-tiba Ika terpandang satu pintu dekat sudut ruang antara TV dengan dapur. Ika tak pernah perasan pun tentang pintu tu. Ika ingat Ika mimpi. Ika pun bangun, buka pintu tu.”Dahi kau berpeluh-peluh. Tiba-tiba semua memori kau tentang pintu tu datang semula dalam minda kau. Memori saat pertama kau pindah ke rumah tu. Dengan isteri dan dua orang anak kau. Saat-saat kau ternampak pintu tu entah ke berapa ribu kali. Saat-saat kau nak buka pintu tu tapi akan ada perkara lain yang berlaku untuk halang kau dari buka. Panggilan telefon atau bunyi posmen tekan loceng rumah. Tapi dalam memori kau, tak pernah sekali pun kau buka pintu tu. Fokus kau kembali kepada Ika yang macam tengah menanti kau bertanya apa yang ada di sebalik pintu tu.
“Apa yang ada dalam bilik tu?”
“Bilik? Bilik apa?”
“Bilik… kita tengah borak tentang apa Ika?”
“Eh… entahlah bang. Ika pun dah lupa. Haha.”Dengar Ika gelak, kau pun gelak. Jantung kau dah tak berdegup sekencang tadi. Kau rasa tenang. Sangat tenang. Kau lupa. Kau lupa yang dah beratus kali Ika duduk sebelah kau selama tiga tahun bertanyakan soalan yang sama. Berapa orang anak kau dengan Ika sebenarnya. Kau rasa luar biasa tenangnya. Kau rasa sangat bahagia dengan hidup kau. Kau ada isteri yang kau sayang. Kau ada dua orang anak, Firdaus dan Anna, yang menjadi keutamaan hidup kau. Kau ada rumah yang selesa untuk anak-anak kau membesar dalamnya. Dan kau ada aku. Penghuni pintu ketujuh rumah kau.
Ok dh 10K. Aq, aq, aq, aq, nk tulis kata2 pghargaan la nii tpi aq tahu aq akn type bnda yg sama iaitu trima kasih n akn melalut yg bkn2.
Thanks sbb gigih mmbaca. Aq pun tgh gigih nk abiskn semua cite seram dlm note aq. K bai thnks ✨
YOU ARE READING
🚏⭕ || Kisah Si Makhluk
Horror/Koleksi cerita seram je/ Ada orang kata Se curious kita nak tahu pasal hantu, hantu pun curious jugak nak tahu apa tanggapan kita kat diorang. So aku sarankan korang hati-hati baca buku ni. Lebih-lebih lagi kalau baca memalam. Sebab mana tahu mas...