Kampung Pandan Seri sedang musim durian. Sepanjang musim itu Bang Akob tidur di pondok duriannya, beberapa meter dari tanah perkuburan Islam kampung itu. Seperti biasa, menjelang tengah malam dia pasti menyusur dusunnya memungut durian. Kalau tidak, sudah pasti duriannya akan dipungut budak-budak dadah yang sering merayau-rayau di dusun orang tidak kira waktu.
Malam itu, angin mendesah. Sekali sekala kilat memancar. Durian amat rahat. Di setiap penjuru dusun kedengaran bunyi durian gugur. “Kalau tak cepat pungut, habislah pagi esok…” kata Bang Akob dalam hati. Sambil menggalas bakul rotan, dia menyuluh di kawasan pangkal pokok yang ada dua puluh batang itu. Kebanyakan pokok durian di dusun Bang Akob pokok tua. Dusun itu harta pusaka peninggalan ayahnya.
Angin malam itu terus mendesah. Kadang-kadang kuat, kadang-kadang perlahan. Ketika bertiup kencang, meliang-liuk kebanyakan dahan pokok dibuatnya. Ketika itu juga kedengaran bunyi durian gugur bertambah banyak. Hati Bang Akob kepalang gembira. Rezekinya esok hari pasti bertambah, fikirnya.
Sebiji demi sebiji durian dipungut dan dimasukkan ke dalam bakul rotan. Hati Bang Akob begitu lega. Duriannya tak sempat dipungut Mat Gian – panggilan biasa kepada budak-budak penagih dadah di kampungnya.
Bagaimanapun sesampai saja di pangkal sebatang durian berhampiran tanah perkuburan itu, Bang Akob terkejut. “Eh, dah datang pun dia…nasib baik aku sudah habis pungut…tak dapatlah dia,” bisik hati Bang Akob sebaik saja dia ternampak satu lembaga di tepi dusunnya.
“Fasal apa dia menuju ke kubur pula?” Kata Bang Akob kehairanan. Bang Akob bergerak menyusur ke penjuru tanahnya. Kemudian dia menyembunyikan diri di sebalik sebatang pokok besar. Lembaga itu bergerak perlahan sambil menarik seutas tali bubut kira-kira dua depa panjangnya. Tanpa membuang masa Bang Akob menyuluh. Suluhannya tepat ke wajah lembaga itu. Sekali lagi Bang Akob terkejut apabila wajah lembaga itu menyerupai orang yang dikenalinya.
“Eh, aku kenal…” bisik hati Bang Akob. “Pak Misan…!” Bang Akob melaung sekuat-kuatnya memanggil Pak Misan, orang tua kampung yang sering menjadi temannya berbual.
Bagi penduduk Kampung Pandan Seri, Pak Misan adalah seorang tokoh. Dia terkenal pendekarnya. Selain itu, dia juga tempat penduduk lelaki meminta ubat untuk menguatkan tenaga tertentu.
Tiada sebarang jawapan daripada lembaga itu. Ia berjalan terus sambil mengheret tali bubut. Tidak beberapa minit satu kejadian mengejutkan Bang Akob. Sebaik-baik saja dia membongkok memungut durian dan kemudian tegak semula, lembaga berwajah Pak Misan hilang dalam gelap malam itu.
Puas juga Bang Akob menyuluh di setiap penjuru dusun duriannya, namun lembaga itu tetap tidak kelihatan lagi. Bang Akob melaung memanggil Pak Misan tetapi tidak ada sebarang jawapan. Dia mula takut. Angin bertiup lebih kencang. Daun-daun berguguran. Kilat memancar sekali-sekala. Bunyi burung hantu di kejauhan menambahkan seram suasana ketika itu.
Bang Akob betul-betul ketakutan. Dia tidak mempedulikan lagi durian yang gugur. Apa yang ada di bakulnya, itu saja yang dibawa pulang ke pondok. Langkahnya begitu cepat. Hatinya bertanya sendiri: ”mengapa Pak Misan merayau di tanah kubur pada tengah-tengah malam begini?”
Menjelang subuh, Bang Akob pulang ke rumah membawa durian yang penuh sarat di dalam bakul di belakang motosikalnya.
Sebaik saja sampai di kepala simpang, Bang Akob terkejut besar ramai penduduk berkumpul di situ. Sebuah Land Rover hitam juga ada di situ.
“Eh apa halnya?” Tanya Bang Akob apabila ternampak kaki orang terjulur dari belakang Land Rover hitam itu.
Pagi itu Kampung Pandan Seri gempar secara tiba-tiba. Seorang penduduk, Mat Jami menemui mayat Pak Misan terlentang di bangsal di belakang rumahnya. Terpandang saja mayat itu, Mat Jami patah balik ke masjid. Dia ingin memberitahu jemaah masjid yang belum pulang selepas menunaikan solat subuh.
YOU ARE READING
🚏⭕ || Kisah Si Makhluk
Terror/Koleksi cerita seram je/ Ada orang kata Se curious kita nak tahu pasal hantu, hantu pun curious jugak nak tahu apa tanggapan kita kat diorang. So aku sarankan korang hati-hati baca buku ni. Lebih-lebih lagi kalau baca memalam. Sebab mana tahu mas...