Pengembaraan ke alam misteri 3 (Last)

244 15 0
                                    

Aku tak tahu di mana aku berada sekarang. Di sekeliling hanyalah terdapat padang pasir yang tandus dan gersang. Langsung tiada hidupan langsung tiada penempatan. Ramai mengatakan, di alam yang penuh misterius ini kita akan terus berjalan tanpa kita jangka ke mana kedua-dua tapak kaki kita ini akan membawa. Jadi, pengembaraan harus diteruskan. Aku rasa sudah terlalu lama dan jauh sangat aku berjalan, tidak seperti sebelum-sebelum ketika aku masuk ke alam ini. Teringat aku pada pesan atuk itu hari, jangan terlalu asyik sangat dengan alam ini kerana ia bakal membawa bencana. Aku faham maksud atuk. Ia berkaitan dengan hidup dan mati aku. Jika aku mati di sini atau gagal kembali ke alam nyata, maka selama-lamanya aku tak akan dapat pulang ke sana. Aku tak dapat berjumpa lagi dengan jasad aku.

Padang pasir yang mendung ini membuatkan aku sugul dan layu. Ke mana arah yang aku harus tuju? di kiri pasir, di kanan pasir, di depan juga di belakang juga pasir. Aku terus berjalan dengan lemah longlai. Berjalan dan terus berjalan menanti cabaran yang akan mendatang. Sesekali aku tenung langit gelap di atas, awan-awannya berbentuk aneh. Aku terus khayal menikmati permandangan langit.

"duppp!!"

"Aduhh...!"

Ibu jari kaki aku tersepak benda keras di atas pasir. Mengaduh aku sendirian. Bila aku perhatikan di bawah, ada satu benda berwarna gelap yang tertanam sedikit di dalam pasir. Mungkin ini satu petunjuk baru. aku terus gali dan gali untuk mengeluarkan benda yang aku tersepak tadi. Dan.. eh? ini jam pasir? Kedengaran agak ironi apabila aku menjumpai jam pasir di dalam pasir. Aku angkat jam pasir yang berukuran lebih kurang 12 inci tersebut. Berdasarkan pengamatan aku pada jam ini, kuantiti pasir di bekas atas lebih banyak daripada di bawah. Satu persatu butir halus jatuh ke bekas bawah. Adakah jam pasir ini menentukan hayat aku? atau baki tempoh masa yang tinggal? Jika benarlah teori aku ini bermakna aku tak punya banyak masa lagi di sini.

Tapi, di padang pasir yang luasnya infiniti ini mana mungkin aku dapat keluar daripada sini? Jalan mana yang aku harus lalui untuk keluar? Sempat kah aku untuk terus 'survive' dan kembali ke alam nyata? Bagaimana kalau aku tak dapat pulang ke sana? Adakah jasad aku di sana akan mati? Bermacam-macam persoalan yang aku fikirkan di ketika ini, namun tak semuanya aku dapat jawab. Fikiran terus buntu memikirkan solusi. Tetapi jika aku terus berdiam diri begini mana kan mungkin aku dapat cari jalan keluar? Aku terus berlari di atas padang pasir yang luas sambil membawa jam pasir tadi.

Tanpa arah, tapi dengan satu tujuan. Iaitu menyelamatkan diri dan keluar dari sini. Tiba-tiba langit menjadi redup dan gelap, pada masa itu jugalah aku terdengar bunyi angin yang kuat di atas. Debu-debu pasir berterbangan menggelapkan lagi jarak permandangan. Aku pandang ke atas dan terperanjat. Ada seekor burung gergasi yang sangat besar sedang terbang betul-betul di atas aku. Adakah ini burung garuda seperti yang dikatakan oleh sesetengah mitos? Aku terduduk ketakutan sambil memejam mata, bimbang mata dimasuki debu-debu pasir yang berterbangan. Burung ini terus terbang mengelilingi aku, sehinggalah dia turun mendarat tidak jauh di hadapan aku. Aku yang ketakutan terus duduk melindungi diri.

Skala saiznya sangat besar jika hendak dibandingkan dengan aku yang kerdil. Bulu pelepahnya berwarna jingga kemerahan, paruhnya sahaja aku kira-kira sepanjang sebuah kereta, matanya bulat dan terkebil-kebil memandang aku. Aku turut terkebil-kebil memandang makhluk aneh ini.

"Ampa nak pi mana? Awat mai sini?"

Hampir terlepas jam pasir yang aku pegang tatkala mendengar burung gergasi ini boleh bercakap. Bercakap dalam bahasa utara pula tu! Aku semakin ketakutan dalam masa yang sama turut keliru. Dalam alam yang serba misteri ini macam-macam yang kita tak jangka boleh terjadi. Aku memberanikan diri, mungkin si burung ini penyelamat aku. Si burung mengibas-ngibaskan kepaknya sambil menunggu jawapan dari aku.

"A..Aa.. aku tak tahu. Dah bermacam tempat aku mengembara tadi. Tak tahu macam mana boleh sampai sini."

"Itulah ampa.. seronok sangat dengan alam ni. Sampai boleh sesat lagu ni. Ampa tau dak, apa jadi kalau ampa tak pulang ke tempat ampa balik?"

🚏⭕ || Kisah Si Makhluk Where stories live. Discover now