Bab 7: Adaptasi fizikal

33 9 2
                                    

USAI membersihkan diri, Mirza berlalu keluar ke meja makan terus kerana dia sudah lapar. Pagi tadi dia tidak sempat makan kerana tidak dapat bangun. Bangun-bangun sahaja dia mendapat tanda di muka pula. Nasib baiklah, dia membawa sekali kulit palsu yang dia gunakan sewaktu menjadi Zull atau budak lelaki berambut afro itu. Jadi, dapatlah dia menyembunyikan tanda tersebut.

Mirza ke dapur kerana mahu membantu apa yang patut; contohnya membawa makanan ke meja makan. Dia sudah terbiasa membantu di dapur kerana itulah yang dia lakukan ketika tinggal di rumah sewa bersama-sama Dilan dan yang lain.

"Tuan Putera tak perlulah susah-susah, saya dan Liyana boleh lakukan semua ini." kata MB kepada Mirza dengan serba salah.

"Tak apa, saya sudah biasa." Balasnya sambil membawa bijian yang sudah masak ke atas meja; ia seperti nasi yang ada di bumi.

Makanan ruji orang Olean ialah tepung dan jagung, tetapi MB, Liyana dan Mirza sudah terbiasa makan nasi, oleh sebab itu MB menyediakan bijian masak. Mirza sudahpun menyuruh mereka semua untuk memanggilnya sebagai 'Mirza' sahaja kerana dia tidak begitu selesa dipanggil sebagai Tuan Putera atau Putera Mirza.

Namun, orang-orang di sini dilarang untuk memanggil keturunan Tuanku Raisho dengan panggilan biasa kerana ia termaktub di dalam undang-undang mereka; kecuali keturunan Tuanku Raisho membenarkan dirinya untuk dipanggil seperti orang biasa.

Tetapi, di dalam kes ini, mereka semua tidak mahu memanggil Mirza seperti memanggil kawan sebagai tanda menghormatinya. Mungkin selepas mereka mengenali satu sama lain dengan lebih erat, mereka akan sudi memanggil 'Mirza'.

Mirza menarik kerusi dan duduk di kerusi utama. Mereka meletakkan Mirza di situ kerana Mirza sekarang adalah pemimpin sebenar mereka, bukannya Tuanku palsu yang sedang bersemayam di atas singgahsana di dalam Kastelhike itu. Sekarang mereka akan membantu dan menyokong Mirza sehinggalah Mirza naik takhta dan menjatuhkan Tuanku palsu tersebut.

"Ketua Que tidak akan masuk istana hari ni bukan?" soal Mirza kepada Que Shyi yang sedang duduk di sebelahnya. Que Shyi mengangguk.

"Ya, Tuan Putera."

"Boleh ajar saya pengeluaran kuasa Unsur Azali dan latihan lain?"

"Sudah tentu, Tuan Putera tak minta izin pun saya akan paksa Tuan Putera praktis dengan saya sehingga Tuan Putera berjaya."

Mirza hanya mengangguk dan menyuapkan suapan pertama ke dalam mulutnya, lalu mengunyahnya dengan perlahan-lahan. Dia hanya makan untuk kenyang saja, bukannya makan untuk merasa nikmat makanan itu kerana dia tidak boleh merasai semua itu lagi.

Kadang-kadang dia tidak lalu untuk makan kerana kondisinya itu, tetapi dia tetap perlu makan untuk teruskan hidup. Sesi makan itu diteruskan sehinggalah mereka semua selesai makan.

"Ah, terima kasih MB kerana masak makanan yang sedap untuk kami." Kata Que sambil mengusap perutnya yang sudah kenyang.

"Sama-sama. Tuan Putera sudah berapa lama di sini ya?" soal MB ingin tahu.

"Lebih kurang 4 minggu lebih. Kenapa MB?" soal Mirza apabila MB sedang meneliti wajahnya itu.

"Oh, tak ada apa, tapi patik rasa rambut Tuan Putera makin lama makin pudar, Tuan Putera juga nampak sedikit tinggi berbanding ketika berada di bumi." Katanya sambil melihat bahagian rambut Tuan Puteranya itu. Disebabkan itu, Liyana dan Que turut melihat ke arah rambut Tuan Putera mereka.

"Yalah, rambut Tuan Putera sudah semakin pudar. Agaknya Tuan Putera sedang mengadaptasi keadaan di Olienpiece dan mula menunjukkan perubahan fizikal asal Tuan Putera memandangkan Tuan Putera sekarang sudah tinggal di sini. Mungkin rambut itu mahu memutih seperti moyang-moyang, datuk dan ayah Tuan Putera." Celah Que Shyi.

OLIENPIECE 2: Tujuh Kerajaan NaunganWhere stories live. Discover now