Bab 18: 'Api dan lilin'

30 7 2
                                    

MIRZA berdiri di atas batu besar yang terdapat di tepian pantai di bandar sebelah bandar utama yang menempatkan Istana Kastelhike dan stadium Qourtfel. Sekarang matahari terik di atas kepalanya.

Sejurus selepas perlawanan UKPI tamat, MB dan Liyana mendapatkannya, lalu merawat lukanya itu. Usai dirawat, dia mengerjakan solat Zohor dan terus ke sini. Dia perlu melepaskan kekecewaan yang terbuku di dalam hatinya itu.

Jauh dari sudut hatinya itu, dia tahu yang dia mungkin akan gagal dalam perlawanan kali ini kerana dia masih kurang pengalaman dalam bidang kawalan kuasa. Tetapi, dia tidak mahu meracuni fikirannya sendiri tentang kegagalan sebelum dia memulakan perlawanan. Ia akan melemahkan minda dan semangatnya.

Lagipun, dia tahu dia tidak lemah, dia cuma kurang dan belum cukup latihan. Sekiranya, dia mendapat latihan yang mencukupi dan masa yang banyak, maka kebarangkalian atau peratusan dia menang dalam perlawanan ini adalah tinggi.

Angin pantai menerpa dan mengalun-alunkan rambut serta pakaiannya di situ. Hati yang gundah gulana akan tenang dengan mendengar bunyi ombak dan desiran pantai. Kemudian, Mirza melihat ke arah tapak tangan kanannya. Dia mahu menjadi kuat, sama seperti Kino dan yang lain. Tak, dia perlu menjadi kuat kalau mahu menyelamatkan Liam.

Mirza menarik nafas panjang dan menghembuskannya dengan berat. Terkadang dia terkenangkan penat-lelah dia selama hampir 11 bulan menjejakkan kaki ke sini, ke Olienpiece. Setiap hari yang berlalu tidak pernah dia biarkan tanpa latihan kuasa dan senaman fizikal. Semasa di dalam penjara pun, dia banyak berlatih Ora dan senaman fizikal supaya badannya sedikit berotot dan lebih kuat.

Tidak. Ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan untuk segala permulaan. Dia akan berusaha dengan lebih keras untuk memenangi UKPI seterusnya. Ia memang mengambil masa, tetapi dia perlu yakin bahawa dia akan berjaya.

Namun, sekiranya ada pegawai atasan Kastelhike atau Ketua Biro Kastelhike mahu merekrut dia menjadi orang bawahan sekalipun, maka dia akan terus bersetuju tanpa banyak songeh. Walau bagaimanapun, dia tidak mahu orang yang pernah dicurigai oleh Raja Ozzark dan Putera Muez untuk merekrutnya. Siapa lagi kalau bukan Hash dan yang lain. Ertinya, dia mahu yang selain dari mereka untuk merekrutnya menjadi warga Kastelhike.

Dia menjangkakan Raidez akan membuat gerakannya semula dalam masa terdekat, tetapi mungkin memanjangkan waktunya apabila Gerakan Putih Suci (GPS) mula menjalankan rancangan mereka. Ini adalah sebab kenapa pasukan pemberontakan sangat menguntungkan dia. Dia perlukan pasukan itu untuk mengalihkan perhatian Raidez buat sementara.

Sekarang apabila dia kalah di sini, dia harap ada pasukan pemberontak yang lain timbul atau GPS makin meluaskan naungannya supaya Tuanku Ozz dan Raja Zach tidak jadi untuk mencetuskan perang terhadap pihak Olienpiece pada masa terdekat ini.

Dia tidak risau akan GPS kerana dia sangat yakin ia didalangi oleh Puteri Alli. Dia yakin kerana itulah yang dia akan lakukan kalau berada di tempat Puteri Alli. Segala cerita dari Ketua Hash serta Puteri Que Shyi telah meyakinkan dia bahawa Puteri Alli sangat sayangkan papanya, jadi Puteri Alli mesti tidak berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan ke atas papanya dan mahu menuntut bela.

Puteri Alli pasti akan cuba untuk menggulingkan Tuanku Ozz walaupun Tuanku Ozz memegang tampuk pimpinan mutlak. Dia yakin tentangnya.

Kalau ia tidak benar, maka dia sendiri akan meletakkan 'api dan lilin' di depan Puteri Alli supaya Puteri Alli membuatnya. Namun, kemalangan palsu yang menyebabkan kematian Putera Zull beberapa bulan yang lepas pasti akan menyalakan pergolakkan di dalam diri Puteri Alli dan meyakinkan Puteri Alli bahawa sudah sampai masanya untuk dia menggulingkan Tuanku Ozz.

Ini bermakna, kematian Putera Zull itu sebenarnya bukan hanya untuk menutup syak wasangka Tuanku Ozz dan pihak Raidez, tetapi juga sebagai menyalakan api kemarahan dalam diri Puteri Alli lalu mencetuskan gerakan pemberontakan Puteri Alli, seperti mancis yang menghidupkan api lilin.

OLIENPIECE 2: Tujuh Kerajaan NaunganWhere stories live. Discover now