Bab 38: 'Perang Rampasan' (1)

49 7 5
                                    

MIRZA memasuki Jabatan Utama Kastelhike bersama-sama dengan pengiring-pengiringnya. Sebaik saja memasukinya, dia disambut dan diberi penghormatan oleh pekerja Jabatan Utama Kastelhike.

Ada pekerja yang baharu dan ada pekerja lama yang sudah bebas dari dakwaan dan tuduhan membelot. Maknanya, pejabatnya sekarang sudah bersih dari pembelot atau penyokong tuanku penyamar, Raja Ozark.

"Selamat pagi dan selamat datang bekerja ke Jabatan Utama Olienpiece, Tuanku Mirza. Patik Yama, Ketua Bahagian Jabatan di sini." Sapa ketua jabatan tersebut, Tuan Yama.

"Terima kasih, boleh panggil beta dengan panggilan Tuan Putera atau Putera Mirza mulai hari ini. Kamu semua ada tugasan untuk disiapkan pada hari ini?" Mirza menduga.

Pekerja-pekerja di dalam jabatan itu sedang berbaris di hadapannya dan sekarang ini memandang satu sama lain kerana tidak pasti apa yang perlu dilakukan memandangkan tuanku sebelum ini adalah seorang penyamar dan merupakan musuh. Jadi, patutkah mereka meneruskan kerja atau tugasan yang diberikan dan ditinggalkan oleh penyamar itu?

"Um, memandangkan Tuanku Mirza sudah mengalih alih istana dan menjadi tuanku di sini menggantikan tuanku penyamar itu, maka kami tidak pasti sama ada perlu meneruskan kerja kami sebelum ini atau tidak."

"Senaraikan kerja yang dibuat oleh kamu semua pada sebelum ini dan sebarang kertas kerja atau apa-apa usul dari setiap biro dan kerajaan. Beta akan telusinya sendiri dan bahagikannya semula kepada kamu semua jika ia masih lagi perlu diteruskan dan dilaksanakan. Sementara itu, boleh beta tahu berapa jumlah bilangan kamu sekarang?"

Mirza bercakap dengan yakin dan tenang seperti selalu. Sepanjang dia berada di Olienpiece dia sentiasa mengikut perkembangan terkini Olienpiece dan isu semasanya. Malahan, Ketua Hash dan yang lain akan menghantar keadaan terkini kerajaan-kerajaan di bawah naungan Olienpiece dan Istana Kastelhike.

Sebaik saja dia memasuki istana, dia semakin banyak belajar dan mengambil tahu urusan istana secara sembunyi. Disebabkan itu, dia mengetahui banyak perkara atau projek apa yang sedang berlangsung di dalam istana Kastelhike.

"Sekarang jumlah kami adalah 50 orang setelah 55 orang ditangkap sebagai pembelot."

Mirza mengangguk. "Baik, 25 orang perlu senaraikan apa yang beta sebutkan tadi, 25 orang lagi perlu mencari dan memikirkan tentang masalah sebelum dan ketika berperang, kesan atau akibat perang serta cara untuk menangani kesan itu. Beta juga akan memikirkannya sementara menunggu senarai kerja kamu semua siap. Sebaik saja kumpulan yang memikirkan masalah, kesan dan cara menangani kesan perang mendapat jawapannya, kita akan mulakan mesyuarat. Berapa lama masa yang kamu semua perlukan untuk menyiapkan tugasan itu?"

"Er, mungkin tiga hingga empat jam, kamu semua okey dengannya?" jawab Tuan Yama, kemudian memandang anak-anak buahnya tanda mendapatkan kepastian mereka pula.

Mereka memandang satu sama lain dahulu dan selepas itu mengangguk tanda bersetuju. Jumlah setiap kumpulan ada 25 orang, jadi mereka cukup tenaga kerja untuk menyelesaikannya dalam masa yang diperuntukkan itu.

"Bagus. Kita masuk ke bilik mesyuarat empat jam dari sekarang. Jika pihak yang senaraikan kerja siapkan tugasannya dengan awal, maka kamu semua boleh terus menghantarnya ke pejabat beta. Hari ini, kita semua fokus dengan perkara ini dahulu, esok kamu semua boleh menyambung tugasan yang tergendala pada sebelum ini setelah beta menelusi dan memilihnya. Oh ya, tolong umumkan kepada para ketua biro yang masih menyandang jawatan mereka untuk ke Bilik Mesyuarat Utama pada hari lusa, bermula pukul 10.00 pagi. Beta mahu berjumpa dengan mereka dan berbincang mengenai beberapa perkara penting..."

OLIENPIECE 2: Tujuh Kerajaan NaunganWhere stories live. Discover now