Bab 29: Pertemuan di Bandar Sajin

33 6 0
                                    

BAB 29: Pertemuan di Bandar Sajin

SELAMA dua hari berada di rumah Mirza, akhirnya Ari membuat keputusan untuk pulang ke rumahnya semula. Sudah sebulan lebih dia meninggalkan rumah itu, maka dia rasakan sudah sampai masanya untuk dia kembali.

Pada hari Ari mahu balik ke rumahnya, Mirza mengikut dia. Ari sudah banyak kali melarang kerana rasa bersalah dengan menyusahkan Mirza sekali lagi. Tetapi, Mirza tetap mahu mengikut. Katanya, ada sesuatu yang dia mahukan dari Ari dan Mirza akan beritahu apabila mereka sampai di rumah Ari nanti.

Ari dan Mirza berhenti berjalan kerana mereka sudah sampai di rumah Ari yang berada jauh dari rumah-rumah penduduk lain dan jauh dari pekan serta bandar. Mereka benar-benar mahu memulaukan Ari sekeluarga kan.

"Terima kasih sebab teman saya sampai ke sini." Kata Ari kepada Mirza. Mirza hanya mengangguk.

"Sama-sama. Saya bosan berada di rumah, jadi ada baiknya saya keluar mengambil angin. Lagipun, sudah lama saya tidak berehat panjang. Awak ada buku bahasa isyarat yang awak buat untuk berkomunikasi dengan adik-beradik awak itu?" soal Mirza ingin tahu.

"Ada."

"Boleh saya pinjam?"

"Ke-kenapa? Bukankah awak sudah pelajari bahasa isyarat rasmi? Saya juga sudah pelajarinya, bukankah ia sudah cukup untuk buat kita berkomunikasi dengan satu sama lain?"

"Saya mahu pelajarinya juga, senang saya mahu bercakap perkara rahsia kepada awak tanpa diketahui oleh orang lain. Kalau saya bercakap dengan awak menggunakan bahasa isyarat rasmi, maka orang yang pandai bahasa isyarat juga akan dapat mengetahuinya. Tetapi, dengan mempelajari bahasa isyarat buatan awak, maka hanya kita saja yang akan tahu apa yang kita sedang bualkan."

"Oh."

Ari mengerutkan dahinya untuk seketika dan sedang berfikir-fikir 'kenapa'. Kenapa Mirza mahu melakukan perkara sedemikian?

"Baiklah, saya faham."

Tak, Ari tidak faham apa-apa pun, tapi memandangkan Mirza yang mahukannya, apa salahnya dia bagi kan. Mirza bukannya berniat jahat pun.

"Awak mahu masuk? Saya boleh hidangkan air...masak?" pelawa Ari. Dia nampak Mirza sekadar menggelengkan kepalanya saja. "Awak tunggu sini kejap ya, saya akan ambilnya."

Ari pamit untuk seketika dan keluar semula sambil membawa buku itu di tangannya. Setelah itu, dia menyerahkan buku itu kepada Mirza dan melepaskannya selepas Mirza menyambutnya.

"Ari."

"Um?"

"Awak pernah beritahu saya yang awak tidak mahu menonjol di depan orang lain kan, saya maksudkan tentang kekuatan sebenar awak."

"Ya."

"Kalau macam itu, ada baiknya awak tetapkan kuasa apa yang awak mahu tunjukkan kepada orang dan kuasa apa yang awak mahu sembunyikan agar mereka tidak tertarik untuk mengetahui kekuatan awak yang sebenar. Dan pada pendapat saya, ada baiknya awak tidak beritahu sesiapa tentang kuasa 'penyalin' yang awak ada. Saya juga akan sembunyikannya dan tidak akan beritahu sesiapa pun tanpa pengetahuan awak. Awak boleh pegang kata-kata saya ni."

"Baiklah, ada betulnya juga apa yang awak cakapkan tu. Terima kasih."

"Sama-sama. Hati-hati."

"Baik, awak juga sama. Semoga selamat sampai."

Ari melihat Mirza menganggukkan kepalanya dan berlalu pergi dari situ. Ari tidak memasuki rumahnya sehinggalah kelibat Mirza ghaib dari pandangan matanya. Sebaik saja, kelibat itu hilang, barulah Ari memasuki rumah dan mengunci pintu. Dia gembira sebab akhirnya dia dapat kembali ke rumah ini! Ah. Tapi, adik-beradiknya...Sobs!

OLIENPIECE 2: Tujuh Kerajaan NaunganWhere stories live. Discover now