...sambungan Bab 34

25 6 0
                                    

...

ARI MENATANG dulang makanannya seperti biasa untuk ke meja makan. Masa untuk makan tengah hari. Ari meletakkan dulangnya ke kerusi yang kosong. Namun, pada saat dia mahu melabuhkan punggung, dia nampak pengawal perempuan lain yang berada di meja itu mengangkat dulang mereka dan ke meja lain.

Ari hanya melihat mereka semua berlalu pergi sehingga meja itu sudah kosong dan hanya dia saja yang berada di situ. Huh? Apa yang sudah berlaku? Dia ada buat silap ke? Ari tertanya-tanya.

Namun, kejadian macam itu berlaku bukan pada hari itu saja, perkara sama turut terjadi pada hari seterusnya sampailah seminggu berlalu. Kenapa? Puas Ari bertanya kepada dirinya sendiri kerana sebelum ini mereka semua tidak melayan dia macam itu pun.

Bukan hanya seorang dua, tetapi semua pengawal di situ seolah-olah seperti mengelak dari dia. Ia seolah-olah mereka seperti sedang memulau dia, sama seperti apa yang penduduk kampungnya lakukan kepada dia dan keluargnya.

Adakah ia disebabkan oleh PK Tifani: perempuan yang dia temui beberapa minggu yang lepas? Kemudian, ada seseorang yang melalui meja makannya dan menyelitkan nota kecil di situ.

Ari mengangkat muka dan dapat melihat kelibat Bita melepasi meja makan dia setelah menyelitkan nota itu di bawah dulang makanannya. Ari mengambil dan membacanya. Disebabkan itu, Ari makan dengan gelojoh kerana dia mahu menghabiskan makanannya secepat yang mungkin.

Selepas meletakkan dulang makanan di tempat yang sepatutnya, Ari bergegas ke belakang kafe itu kerana Bita mahu berjumpa dengan dia secara rahsia di sana. Apabila sampai di sana, Ari berlari anak untuk mendapatkan Bita.

"Ari." Bita memeluk Ari dahulu selepas itu, melepaskan pelukannya dan memegang kedua-dua bahu Ari pula. "Awak okey?" soal Bita ingin tahu. Fragil setia berada di sebelah Bita.

Ari mengangguk.

"Ari, apa yang awak sudah buat kepada PK Tifani?" kali ini Bita bersuara dengan nada risau.

Tifani. Jadi, betullah ia disebabkan oleh PK Tifani. Ari bermonolog dalaman.

"Awak tahu tak yang PK Tifani suruh kami semua pulaukan awak atau dia akan pastikan orang yang rapat dengan awak dibuang dari istana. Sebab itulah kami semua tak berani nak tegur awak atau berada dekat dengan awak pun." Jelas Bita dan kali ini berjalan mundar-mandir di kawasan itu pula.

"Macam mana awak dapat tahu pasal ni?" soal Ari dengan menunjukkan buku nota kecilnya kepada Bita.

"Kami semua dapat mesej. Ia macam mesej yang berantai dan dihantar kepada semua pengawal Istana Sayap Kiri (bahagian Utara). Hanya awak dan beberapa orang yang tertentu saja yang tidak dapatnya."

"Apa awak nak buat sekarang ini, Ari?" kali ini Fragil menduga setelah sekian lama berdiam diri.

Ari hanya membatu dan mendiamkan dirinya saja. Tiada apa yang dia boleh buat. Dia bukannya ada pangkat dan kuasa untuk melawan golongan bangsawan macam PK Tifani itu pun.

"Adakah awak mahu minta bantuan Mirza?"

Kali ini, Ari mengangkat muka dan melihat ke arah Fragil.

"Mirza tak akan dapat tolong awak sebab golongan awak dan Mirza adalah sama, kamu berdua bukanlah dari golongan bangsawan dan tiada golongan atasan yang dapat membantu awak. PK Tifani adalah anak saudara Puteri Berri, isteri kepada Raja Kay dari Kerajaan Hemifilis, ertinya dia mempunyai sokongan yang sangat kuat. Jadi, awak hanya akan meletakkan Mirza dalam bahaya jika awak melibatkan Mirza. Mirza pasti akan dapat layanan yang sama jika awak rapat dengan dia. Awak nak semua itu berlaku kepada Mirza ke?"

OLIENPIECE 2: Tujuh Kerajaan NaunganWhere stories live. Discover now