Bab 27: Ibu Raksasa

13 4 0
                                    

BAB 27: Ibu Raksasa

PAGI itu, selepas solat Subuh, Mirza dan Ari menuju ke arah hutan belantara kembali kerana mahu meneruskan misi mereka yakni mencari raksasa penculik kanak-kanak dan menyelamatkan kanak-kanak yang telah diculik.

Mereka tidak boleh membazirkan masa dengan mencari Emier dan yang lain. Mereka pasti selamat dan dapat melindungi satu sama lain memandangkan jumlah mereka lebih ramai berbanding kumpulan dia dan Ari.

Mirza dan Ari berjalan selama lima jam di dalam hutan belantara dan mereka semakin jauh ke dalam hutan tebal tersebut. Semasa dalam perjalanan, mereka ada diserang oleh beberapa raksasa lagi, tetapi mereka berjaya menghapuskan mereka semua.

Kebanyakan raksasa di sini sudah tidak dapat diselamatkan lagi kerana semasa Mirza mencucuk badan mereka dengan anak-anak panahnya, ia tidak membuahkan hasil pun. Dia juga turut mencalitkan vaksin yang sama pada anak-anak panah logam yang Ari seru dari dalam tanah.

Ari menjadi lebih pakar dalam mengawal kuasa logam itu berbanding dia kerana sampai sekarang dia tidak dapat menyeru logam di dalam planet dan kerak planet keluar dan masih bergantung dengan logam-logam yang sudah sedia ada di atas planet.

Akhirnya, sekarang mereka sedang berdiri di depan sebuah bangunan lama yang agak besar serta tinggi. Mirza membuat keputusan untuk meninjau isi bangunan tersebut. Boleh jadi ia markas raksasa penculik kanak-kanak.

Namun, belum sempat mereka mendekati tempat itu, mereka dapat melihat ada ramai yang keluar dari bangunan tersebut. Ia pelbagai jenis raksasa. Ya, ini mesti markas raksasa penculik kanak-kanak.

Sekarang, mereka perlu fikirkan cara untuk menumpaskan mereka semua dan masuk ke dala-...

Belum pun sempat Mirza berfikir dan membuat kira-kira dengan kejadian itu, dia nampak Ari sudahpun berlari laju ke hadapan sambil menyeru semua kuasa yang dia ada untuk menumpaskan raksasa-raksasa tersebut.

Jadi, tanpa membuang masa, dia turut menerjah tempat itu juga dan sama-sama menyerang raksasa-raksasa tersebut. Mirza sempat mengerling ke arah Ari pada ketika itu dan dia nampak Ari sangat fokus, malahan pandangan matanya sangat nampak tajam.

Mungkin Ari pun sedar tentang hakikat yang adik-beradiknya ada di dalam bangunan tersebut. Mungkin ia naluri seorang kakak atau ibu kerana bagi Wira dan Wara, Ari adalah susuk ibu bapa dan kakak kepada mereka. Ari yang telah membesarkan mereka seorang diri.

Tidak sampai lima minit, dia dan Ari berlawan, raksasa-raksasa yang berkeliaran di luar telahpun dihapuskan. Sekarang, Ari berlari memasuki bangunan tersebut dengan laju. Disebabkan itu, Mirza juga berlari dengan laju kerana perlu memadankan gerakan atau momentum dia dengan Ari.

"Ari, awak perlu bertenang." Laung Mirza kepada Ari kerana dia nampak Ari seperti sedang disampuk dan dirasuk.

Tidak. Kata-kata Mirza itu seperti sudah tidak dapat menembusi pendengaran Ari kerana sekarang ini, apa yang ada di dalam minda Ari hanyalah Wira dan Wara.

Ari perlu cepat, dia perlu cepat meninjau semua dan setiap bilik serta ruang yang ada dalam bangunan tersebut untuk mencari adik-beradiknya kerana ia semakin kuat. Naluri dia semakin kuat mengatakan bahawa adik-beradiknya ada di sini.

Semua raksasa yang menghalang mereka dan yang mereka bertembung di dalam bangunan itu dibunuh dan dihancurkan oleh Ari tanpa belas kasihan, dan ada yang dicederakan serta dihancurkan oleh Mirza juga. Kekuatan Ari semakin menjadi luar biasa kerana dia dapat menghancurkan semua raksasa itu dengan sangat mudah.

Tiada! Tiada! Tiada!

Kelibat Wara dan Wira langsung tiada di setiap penjuru tempat itu. Mana, mana adik-beradik dia? Mana mereka? Ari sudah seperti orang yang kurang siuman disebabkan perkara itu. Sekarang mereka sudah berada di atas bumbung.

OLIENPIECE 2: Tujuh Kerajaan NaunganWhere stories live. Discover now