Bab 14: Ujian Kemasukan Pegawai Istana (UKPI)

24 8 0
                                    

LAIS memasuki dewan kerana pada peringkat pertama ini, para peserta perlu menduduki peperiksaan akademik terlebih dahulu. Ujian akademik atau subjek ujian terdiri daripada subjek hisab, sejarah, bahasa dan perundangan di dalam kastel.

Lais, Kino, Rein dan Faki memasuki dewan ujian dan berhenti di tempat duduk yang telahpun disusun mengikut kumpulan oleh pihak pengurusan. Seperti biasa, Faki berada di meja hadapan dan Mirza berada di meja yang paling hujung.

Tidak lama selepas itu, ujian dimulakan, jadi seluruh dewan menjadi senyap tanpa apa-apa bunyi pun. Mereka semua khusyuk dan fokus dalam menjawab ujian tersebut, namun ada juga yang termenung apabila tidak dapat menjawab beberapa soalan.

Usai menjawab semua ujian yang diberikan masa 4 jam (satu jam untuk setiap 4 subjek ujian), para pengawas ujian menyuruh semua peserta menghantar ujian dengan menekan kotak 'hantar' di skrin mobilika monitor memandangkan ujian mereka menggunakan mobilika monitor (seperti komputer).

Selepas itu, mereka boleh rehat selama satu jam kerana dalam masa satu jam, keputusan peperiksaan akademik itu akan keluar. Mirza mencari satu tempat sunyi supaya dia dapat makan makanan yang dibekalkan oleh MB kepadanya pada pagi tadi. Dia hanya makan dua keping roti kering untuk mengisi perutnya yang sudah berkeroncong kerana lapar.

Setelah satu jam berlalu, para peserta kembali semula ke dewan kerana mahu melihat nama mereka ada di monitor besar atau tidak. Nama yang tiada di monitor itu dianggap gagal, jadi ramai yang berpatah balik untuk keluar dari dewan kerana tidak lulus untuk ke pusingan kedua.

Tadi, terdapat 100 orang peserta yang memasuki UKPI pada tahun ini, namun jumlah itu mula berkurangan menjadi 62 orang apabila 38 orang tidak berjaya. Nama Mirza ada di skrin monitor, jadi Mirza mula bergerak ke barisan di belakang Faki.

Saat memandang wajah Faki, Mirza terus mengalihkan pandangannya kerana tidak mahu mencari pasal lagi. Dia sudah sedaya upaya tidak mahu membuat kecoh kerana tidak mahu dikenali atau menjadi perhatian di sini, tetapi Faki betul-betul telah merosakkan rancangannya itu. Gumam Mirza di dalam hatinya.

Faki pula sedang melihat Mirza dengan wajah sinis, seolah-olah sudah tidak sabar untuk berlawan dengan Mirza di gelanggang perlawanan nanti.

Para pengawas ujian sedang memberi taklimat ringkas di hadapan, semua peserta mendengarnya dengan teliti kerana tidak mahu terlepas pandang apa-apa maklumat penting. Selepas pengawal menghabiskan taklimatnya itu, maka semua peserta sudah boleh ke gelanggang.

Mereka semua bergerak ke gelanggang Qourtfel. Gelanggang itu tersangat besar, jadi mereka yang baru pertama kali menjejakkan kaki di sini membunyikan suara kerana agak teruja melihatnya.

Kemudian, mereka semua berpusu-pusu ke tempat di dalam gelanggang yang telah ditandakan mengikut nombor yang mereka dapat sejak dari awal lagi. Rein diberikan nombor 1, Lais nombor 2, Kino nombor 3 dan Faki nombor 10. Mirza pula bernombor 100, maknanya dia orang terakhir yang mendaftar pada pagi tadi.

Setelah masing-masing berdiri di tempat yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan, benteng dari tanah terus memisahkan mereka. Jumlah mereka sekarang ialah 62 orang, jadi ada 248 benteng dari tanah telah dinaikkan agak tinggi (dalam 400 cm) sehingga para peserta perlu mendongak ke atas. Keluasan setiap gelanggang di dalam benteng itu pula telah menjadi 200 meter persegi.

"Perlawanan akan dimulakan dari 1, 2, 3!" laung emsi kepada para peserta.

Saat emsi itu melaungkan kiraan terakhir, maka ada sesuatu yang telah naik dari bawah tanah setiap gelanggang berbenteng tersebut. Lais dapat melihat satu sangkar dan seorang pengawal dinaikkan ke atas gelanggang berbenteng itu.

Pengawal itu kemudiannya membuka sangkar tersebut, lalu dia terus melompat ke atas kerana mahu berdiri di atas benteng. Pengawal itu hanyalah pemerhati dan dia akan mencelah perlawanan itu jika peserta jagaannya hampir maut. Itu adalah tugasnya dalam perlawanan ini. Perkara itu jugalah yang berlaku kepada peserta yang lain.

Sesuatu yang berada di dalam sangkar itu mula keluar. Sebenarnya, pusingan kedua mereka pada kali ini ialah mereka perlu menghapuskan raksasa milik Raidez yang pihak Olienpiece sempat tangkap saat mereka menceroboh masuk kerajaan-kerajaan, bandar, kampung dan tempat-tempat jajahan pihak Olienpiece.

Lais tersenyum apabila melihat raksasa di hadapannya sekarang. Mereka itu harus dibunuh kerana telah memakan manusia di sini. Maknanya, mereka sudah tidak boleh diselamatkan atau ditukarkan menjadi manusia kembali kerana virus telah memakan semua sel kesedaran manusia mereka. Mereka tidak mungkin berubah menjadi manusia kembali.

Tanpa membuang masa, saat Lais melihat raksasa itu seperti sedang berlari ke arahnya, maka dia pun melompat ke atas dan mendarat kembali dengan memakai perisai yang dia baru seru.

Ia perisai besi yang menutupi kepalanya dengan helmet, melindungi bahagian dada dan abdomennya, menjaga bahagian siku, bahu serta bahagian lutut dan kakinya. Di kedua-dua sisi pinggangnya pula ada mata-mata pisau yang dipotong kecil menjadi 10 kerat dan disambungkan dengan besi rantai menjadikan ia senjata sisi yang boleh memotong apa saja jika dia berpusing. Bukan itu sahaja, pisau rantai itu juga mampu bergerak mengikut kehendaknya.

Sebaik saja mendarat, Lais terus berpusing mengelilingi raksasa yang mempunyai badan seperti manusia separa singa dan berkepala tiga tersebut. Disebabkan itu, raksasa yang digelar sebagai Silion itu mengalami kecederaan di bahagian pinggan dan tangannya.

Oleh sebab geram, maka Silion menggenggam pisau berantai di sisi pinggang kanan Lais dan menariknya kuat hingga ia terputus. Tetapi, ia telah membuatkan jari-jemarinya yang memegang pisau berantai itu turut putus.

Apabila melihat keadaan itu, maka Lais terus melompat ke belakang sebanyak lima kali. Kemudian, dia membentukkan bulatan dengan jari-jemarinya, lalu menyatukan jari jemarinya itu.

Disebabkan itu, maka 10 bilah pedang dua mata turun dari langit dan menghunus ke tubuh badan Silion dengan membentuk bulatan. Oleh sebab mengalami kecederaan parah, maka Silion mati di situ selepas beberapa minit mengerang kesakitan.

Lais terus tersenyum sinis apabila melihat musuhnya meniarap di atas gelanggang berbenteng tersebut dan tidak membuat gerakan lagi. Lalu, dia terus memandang ke langit kerana nama pemenang akan dipamerkan atau dipancarkan di atas langit menerusi hologram. Mereka akan mendapat kedudukan teratas jika dapat menumpaskan raksasa yang dilepaskan dalam masa yang singkat.

Tetapi, senyuman Lais makin luntur apabila melihat ada suatu wajah yang terpapar terlebih dahulu darinya. Lais mendecis dalam diam. Wajah yang telahpun terpapar di atas ialah Kino. Selepas itu, barulah wajahnya yang dipaparkan di atas dan ia dituruti oleh Rein, Faki dan yang lain.

Bukan hanya Lais yang merasa geram apabila melihat wajah Kino yang terpapar lebih awal, Rein juga sama kerana dia perlu tunjukkan yang dia lebih kuat, barulah dia layak menjadi PK kepada Ketua Kerr. Huh! Lais mengetap bibir dengan kuat kerana geram. Siapa pula si Kino ini!?

Peringkat kedua ini diberi masa selama 2 jam. Yang berlawan lebih dari 2 jam sudah dikira gagal. Jadi, selepas dua jam berlalu, hanya 35 orang sahaja yang berjaya ke peringkat ketiga.

Di peringkat ketigalah, masing-masing akan berlawan dengan kumpulan sendiri yang disusun daripada awal tadi. Dalam kumpulan Kino ada lima orang yang berjaya ke peringkat seterusnya, jadi dia perlu menewaskan kelima-lima orang itu jika mahu masuk ke peringkat terakhir.

Lais dan Rein pula perlu menewaskan tiga orang yang berada di dalam kumpulan mereka. Manakala, di dalam kumpulan Faki, ada lapan orang yang telah berjaya termasuklah Mirza, jadi Faki perlu menewaskan kelapan-lapan lawannya itu.

Sebelum memasuki peringkat ketiga, mereka perlu berehat dahulu. Selepas tiga jam, barulah mereka akan memulakan peringkat ketiga. Maka, sempatlah Mirza menggunakan waktu yang ada untuk menunaikan solat Zohor dan Asar di rumah tumpangan yang dia, Liyana dan MB sewa berdekatan tempat ini.

...

OLIENPIECE 2: Tujuh Kerajaan NaunganWhere stories live. Discover now