...sambungan Bab 9

22 9 1
                                    

...

MIRZA sedang menyarungkan pakaian kombat pada hari itu. Dia akan berlatih untuk hari-hari terakhir yang dia ada sebelum dibawa ke istana. Masanya sudah dekat kerana sebaik sahaja kejadian di rumah Hom itu berlaku, pihak Raidez akan semakin berjaga-jaga dan berhati-hati.

Pihak musuh pasti akan mula menyuruh anak-anak buah mereka mencari kelibatnya di seluruh kerajaan naungan Olienpiece. Jadi, dia perlu kembali ke istana pada masa itu kerana mahu Raidez hanya fokus di Kastelhike pula.

Selepas itu, pihak pemberontak pula yang akan memulakan gerakannya disebabkan oleh suatu kejadian yang bakal berlaku di istana. Dia dapat rasakan ada pemberontak di Olienpiece; pemberontak yang tidak suka dengan ideologi Tuanku Samaran itu, namun ia hanyalah di dalam taakulan awalnya saja. Walau bagaimanapun, kebarangkalian pasukan pemberontak itu wujud adalah tinggi.

Dia tidak pernah memberitahu Hash dan yang lain tentang kumpulan pemberontak tersebut kerana dia perlu mencarinya sendiri apabila tiba di istana. Dia berhajat mahu memberitahu mereka tentang pasukan pemberontak itu kemudian, itupun setelah dia sudah yakin dengan kewujudan mereka.

Setelah apa yang berlaku di istana pada sebelum ini, pasti akan timbul pasukan pemberontak yang akan memulakan pakatan kerana tidak bersetuju dengan Tuanku Ozzette yang menghukum anaknya sebanyak dua kali. Dalang pasukan pemberontak? Dia ada fikirkan tentang seseorang yang ada kebarangkalian tinggi untuk menjadi dalangnya.

Namun, orang itu merupakan salah seorang kawan Hash dan yang lain, oleh sebab itu dia tidak boleh memberitahu mereka mengenainya. Malahan, ini adalah sebab dia tidak mahu Hash dan yang lain memberitahu orang itu apa-apa tentang pakatan atau gerakan ini.

Dia pernah bertanya kepada Hash tentang kejadian pemberontakan di sini, tetapi Hash telah memberitahunya bahawa tiada lagi kejadian pemberontakan yang berlaku di sekitar kerajaan-kerajaan naungan Olienpiece pada setakat ini.

Dia tidak tahu kenapa mereka masih belum memulakan gerakan, tetapi dia akan pastikan kejadian yang bakal berlaku di istana nanti akan menjadi titik permulaan atau pencetus gerakan itu muncul di khalayak umum. Dia perlukan pasukan pemberontak itu kerana tugas mereka selepas ini adalah sangat penting.

Dalam hal ini, dia ada sedikit kelebihan kerana dia tidak dibesarkan di sini dan mereka semua masih tidak tahu macam manakah sifatnya. Malahan, dia juga beruntung kerana setakat ini, Raja Zach dan pihak Raidez pada hari itu; pada hari hukuman pancung berlangsung, mereka hanya melihat wajah samarannya sahaja yakni wajah 'budak lelaki berambut afro' tersebut dan tidak pernah melihat wajah sebenarnya.

Pokoknya sekarang, mereka semua seperti buah catur yang bergerak untuknya.

Setelah siap memakai baju, Mirza mempersiapkan wajahnya pula. Hari ini, dia akan menjadi budak lelaki berambut afro itu semula. Dengan wajah itu juga, dapatlah dia sembunyikan tanda yang muncul di pipinya itu. Orang lain di istana, tidak boleh tahu kewujudan tanda itu sebelum tiba masanya.

"Putera Mirza." Panggil MB di luar pintu biliknya.

Mata Mirza mengerling ke pintu itu dengan hanya melihat pantulan di cermin memandangkan dia pada ketika itu sedang mempersiapkan dirinya di hadapan cermin meja mekap.

"Ya?" balasnya apabila membuka pintu biliknya. Melihat wajah itu, MB terpaku untuk seketika.

"Oh...Tuan Putera sudah jadi budak lelaki itu lagi?"

"Um, masanya sudah hampir kan. Kenapa MB panggil saya?"

"Ada seseorang mahu berjumpa dengan Tuan Putera. Katanya dia...anak murid dan anak buah bekas Jeneral Agnes dari istana Kastelhike."

OLIENPIECE 2: Tujuh Kerajaan NaunganWhere stories live. Discover now