Bab 19: Pangkalan rahsia

22 6 0
                                    

MIRZA dalam perjalanan ke kedai runcit dan mesin duit kerana dia mahu keluarkan duit dalam banknya. Mula-mula dia ke kiosk mesin duit dahulu dan selepas itu, dia berjalan keluar dari kiosk tersebut.

Semasa keluar, dia dapat melihat satu papan pemberitahuan yang terdapat di sebelah kiosk mesin duit tersebut. Dia berhenti di situ sebentar dan membaca beberapa keratan akbar ditampal di situ dan ia mengenai isu-isu yang penting atau yang perlu diambil cakna oleh penduduk setempat.

Dia dapat melihat berita tentang kanak-kanak hilang dan tidak dijumpai sampai sekarang. Mirza terus mengetapkan bibirnya. Dia berharap Wira serta Wara selamat dan tidak menjadi mangsa hilang itu, tetapi memandangkan Ari selalu membawa adiknya semasa dia keluar bekerja, mungkin Wira dan Wara di tangan yang selamat.

Selepas itu, dia ke kedai runcit pula kerana mahu membeli stok makanan asas, pakaian, kasut dan beberapa barangan keperluan Wira dan Wara. Dia juga mahu ke kedai buku kerana mahu membeli buku bahasa isyarat kepada mereka tiga beradik supaya mereka dapat belajar bahasa isyarat yang rasmi yakni bahasa isyarat yang boleh difahami oleh orang lain yang dapat berbahasa isyarat. Kalau tidak, susah hidup Ari nanti kalau dia keluar dari kampung ini untuk bekerja di tempat baharu.

Usai melakukannya, dia menuju ke rumah Wira semula dan meletakkan satu kotak makanan asas, beberapa buah buku, pakaian, kasut untuk Wira serta Wara dan satu sampul yang diselitkan antara celah-celah buku. Sampul yang berisi duit serta satu surat. Ia semua adalah duit simpanannya, dan dia hanya menyimpan sedikit sahaja bagi dirinya untuk masa kecemasan.

Dia tidak kisahpun memberikan duit itu kerana nanti dia boleh mengumpulkannya semula. Dia tidak perlu risau pasal MB, Liyana, Logam, Lara dan Lana kerana kadang-kadang Hash dan yang lain ada memberikan duit kepada MB supaya mereka dapat meneruskan hidup di rumah itu. Lagipun, Liyana dan Lana sendiri pun sedang bekerja sekarang, maknanya Liyana dan Lana sudah mempunyai duit mereka sendiri.

Selepas itu, dia berlalu pergi dari situ dan kali ini benar-benar akan ke rumah tumpangan semula. Namun, sewaktu di dalam perjalanan, dia dapat mendengar seseorang memanggil,

"Tuan Putera!" panggil seseorang itu, jadi Mirza terus berpaling ke belakangnya.

Alangkah terkejutnya dia apabila melihat seorang lelaki tua sedang tersenyum ke arahnya sambil memegang topi yang hampir terbang di atas kepalanya. Disebabkan itu, Mirza telah melihat orang tua tersebut dengan pandangan tajam.

Siapa pula ini? Kenapa orang tua itu memanggil dia 'Tuan Putera'? Musuh ke? Alamak, kebenaran dan penyamaran dia sudah terbongkar ke? Dia tidak membawa senjatanya bersama-sama pula pada hari ini kerana dia berhajat untuk membantu tiga beradik itu sahaja dan dia tidak menyangka akan diserang oleh musuh kerana musuh tidak pernah mengetahui kebenarannya dan tidak tahu kewujudan dia pun.

"Worsikel." Seru orang tua itu. Kemudian, tempat itu mula berubah suasana dan bentuk. Mirza terus mendecis dan berada dalam posisi pertahanan.

"Tuan Putera tidak perlu risau. Saya bukannya musuh, saya cuma mahu berbincang, mungkin cuba mengetahui kebenaran tentang apa yang berlaku sekarang." Kata lelaki tua itu atau Rhey Rhenus, atuk Rein semalam.

"Siapa kamu?" soal Mirza ingin tahu, masih lagi dalam posisi pertahanan walaupun lelaki itu mengatakan dia bukanlah pihak musuh, tetapi dia perlu berjaga-jaga dalam situasi ini.

"Saya Rhey, bekas Ketua Biro di istana Kastelhike, sama seperti bekas Ketua Hazeman."

"Kenapa panggil saya Tuan Putera?"

"Sebab Tuan Putera ialah anak Putera Mazhe. Bukankah?" Rhey menduga dan masih dengan senyumannya. Entah kenapa Mirza tidak senang hati dengan senyuman Rhey itu.

OLIENPIECE 2: Tujuh Kerajaan NaunganWhere stories live. Discover now