...sambungan Bab 16

36 9 4
                                    

NAMUN, saat ia menyentuh rahang beruang tersebut, beruang itu lesap seperti kabus. Mirza menggigit bibir. Adakah ini hanya ilusi? Siapa yang mempunyai kuasa ilusi macam ini? Fikirnya ingin tahu.

Kemudian, Mirza dapat merasa suatu gigitan di bahu kanannya, oleh itu dia terus menghunuskan mata pedang dari bawah ketiaknya supaya pedang itu dapat menusuk sesuatu yang menggigitnya itu.

Apabila merasakan gigitan itu terlepas dahi bahunya, maka Mirza terus berlari tidak jauh dari situ dan terus mengacukan pedang ke arah sesuatu yang cuba mengigitnya tadi. Kosong. Mesti ilusi itu lagi, tapi betulkah ia hanya suatu ilusi?

Mirza menyentuh bahu kanannya dan dia dapat melihat sedikit kesan darah di jarinya itu. Maknanya, ia bukan hanya ilusi semata-mata kan. Fikirnya. Walaupun dia sedang berfikir-fikir mengenai kejadian itu, tetapi matanya masih fokus melihat sekeliling.

Lalu, di suatu sudut di sebalik pokok-pokok yang terdapat di hutan tebal itu, dia dapat melihat suatu kelibat yang tidak jelas raut wajahnya. Ia kelibat yang gelap memandangkan tempat itu agak gelap dan cahaya bulan hanya dapat menembusi sedikit ruang sahaja di situ.

Kelibat itu seperti menghampirinya. Mula-mula ia perlahan-lahan, lalu dengan tiba-tiba ia semakin laju dan sudah hampir dengan Mirza, tetapi ia ghaib sekali lagi. Namun, sebaik sahaja ia ghaib, Mirza dapat merasa percikkan air berkelajuan tinggi mengena tubuh badannya kerana dia tidak sempat menyeru benteng dari batu.

"Ack! Ah!" Mirza mengerang kesakitan sebelum dia dapat menyeru benteng dari batu. "Aduh..." dia mengerang lagi sambil memegang bahagian mata belah kanan kerana serangan itu tadi lebih dirasai di situ.

Sebaik saja menyeru benteng dari batu, Mirza bersembunyi di sebalik benteng batu itu sambil meraba-raba bahagian matanya kerana ia terasa sakit. Namun, kali ini dia merasai kelibat di bahagian belakangnya dan tanpa dia sempat membuat apa-apa kelibat itu menekan bahagian belakangnya dengan kaki sehingga wajahnya tersembam ke dinding benteng batu.

Tanpa berlengah, Mirza menyeru batu-bata dan batu kerikil untuk menyerang kelibat yang menekan badannya. Disebabkan seruan batu-bata dan batu kerikil itu, maka tekanan yang dia rasai itu mula diangkat. Mungkin kelibat itu sedang mempertahankan diri dari serangan tanpa suara milik Mirza.

Dengan pantas Mirza memalingkan wajahnya ke arah belakang sambil mengacukan pedang. Saat dia berpaling, Mirza terus mendecis apabila sudah dapat melihat wajah penyerangnya. Siapa lagi kalau bukan Akhi, seniornya di pusat latihan.

Bam!

Akhi menghentam batu-bata dan batu kerikil terakhir milik Mirza ke tanah dengan menggunakan kuasa 'Hentaman Tanah'. Selepas itu, dia memalingkan wajah ke arah Mirza dengan wajah serius.

Dia bencikan lelaki itu; lelaki yang baru muncul di pusat latihan dan merampas segala-galanya dari dia. Teman wanita dan perhatian Tuan Zenno; teman wanitanya meminta putus dari dia selepas melihat Mirza di pusat latihan tersebut dan kini sedang mengejar lelaki tak guna itu!

"Serangan Kabus!" seru Akhi dengan wajah garang dan tanpa senyuman.

Serentak itu juga, beberapa binatang liar dan buas seperti beruang, singa, harimau, buaya, ikan jerung dan sebagainya muncul satu per satu dari belakang Akhi dan terus menerpa ke arah Mirza.

Mereka itu hanyalah kabus, tetapi kabus yang boleh membentuk menjadi apa-apa saja yang penyerunya mahu dan dapat menyerang serta mencederakan manusia. Itu ialah kuasa terbitan milik Akhi, kuasa unsur azalinya pula ialah tanah.

Melihat segerombolan binatang buas tersebut menunju laju ke arahnya telah menyebabkan Mirza terpaksa menggunakan kuasa logam miliknya. Jadi, mata pedangnya telah mencair, begitu jugalah dengan busur serta anak-anak panah dari besi yang digalas di belakangnya itu.

OLIENPIECE 2: Tujuh Kerajaan NaunganWhere stories live. Discover now