...sambungan Bab 32

18 6 4
                                    

...

PETANG itu, setelah menghabiskan pusingan lariannya, Mirza balik ke biliknya, membersihkan diri dan solat. Usai melakukan semua itu, Mirza duduk di atas katilnya dan mengurut tapak kakinya itu kerana sakit. Kakinya sudah melecet disebabkan larian tersebut.

Ketua Bahagian tak berguna!

Nafas Mirza masih lagi tercungap-cungap padahal sudah lama dia berhenti berlari. Kemudian, Mirza berlari memasuki tandas dengan cepat kerana dia tiba-tiba saja rasa ingin muntah. Hampir 10 minit di dalam tandas, Mirza keluar kembali dengan wajah yang sedikit pucat dan lesu. Segala makanan yang dia makan pada tengah hari tadi dia muntahkan tadi. Tak guna!

Mirza menilik jam di skrin mobilika: tepat pukul 6.16 petang. Masa untuk dia bertemu dengan Ari, ke klinik semalam dan makan malam. Dia perlu makan malam kerana dia sudah mula berasa lapar. Lagipun, segala makanannya telah keluar akibat muntah tadi.

MIRZA menghampiri kelibat Ari yang sedang berdiri di tempat perhentian boid dalam istana. Mirza menyapa Ari dan kemudian menunggu boid di situ bersama-sama.

"Mirza, adakah awak okey?" Ari menyoal dengan wajah seribu satu tanda tanya.

"Kenapa tanya?"

"Awak nampak pucat." balas Ari dan masih memandang tepat ke arah Mirza yang nampak sedikit lesu.

Bibir Mirza juga nampak pucat dan kering, seolah-olah tiada darah yang mengalir di situ. Pokoknya, ia tidak seperti selalu memandangkan bibir Mirza selalunya kemerah-merahan seperti pemerah pipi.

"Saya okey. Pandang ke tempat lain Ari, jangan pandang saya. Saya tak selesa." Ujar Mirza sambil melentokkan kepalanya ke tiang besi tempat perhentian boid tersebut.

Ari sekadar mengangguk. Dia asyik melihat ke arah Mirza kerana dia risaukan Mirza, dan dia rasa Mirza mungkin akan pengsan pada bila-bila masa saja.

"Ada apa-apa yang berlaku ke pada hari ini?"

Mirza menggelengkan kepalanya. "Ari, saya tak rasa mahu bercakap sekarang, saya tak larat." Mirza berkata dengan sedikit tegas dan reaksi kosong seperti selalu. Sekali lagi, Ari mengangguk.

"Ah. Okey, macam mana kalau macam ni, awak tak perlu balas apa-apa pun, dan awak tengok aje apa yang saya cakap dan buat."

Kali ini, Mirza tidak membalas apa-apa lagi. Sebenarnya, dia sudah tidak mahu melayan Ari lagi. Apa-apalah. Bisik hatinya, namun dia tetap melihat bahasa isyarat yang Ari sedang buat di hadapannya memandangkan Ari duduk di bangku hadapan dan sedang berpaling ke arahnya.

Ari hanya mahu mengisi masa sementara menunggu boid seterusnya datang. Dia bosan dan dia pasti Mirza juga bosan. Ari tidak berhenti-henti membuat bahasa isyarat di hadapan Mirza.

"Perempuan ni, agaknya kalau dapat mulut, mungkin dia jenis yang cakap banyak kut." Mirza bermonolog dalaman sambil matanya masih memerhatikan bahasa isyarat Ari dengan wajah tidak berminat dan sedikit berkerut.

LEBIH kurang 30 minit kemudian, mereka sudah sampai di klinik semalam. Pihak klinik telah menghubungi Mirza semasa Mirza baru siap berlari dan mengatakan bahawa keputusan ujian darah mereka sudah keluar dan boleh diambil pada hari ini.

Disebabkan itu, Mirza mengajak Ari keluar lagi untuk ke sini. Lebih kurang 15 minit menunggu di kerusi di luar bilik rawatan, barulah nama Ari dipanggil untuk masuk. Mirza turut berdiri selepas meminta kebenaran untuk mendengar keputusan Ari juga.

Ari bisu, jadi mereka mungkin memerlukan bantuan untuk memahami bahasa isyarat Ari. Walaupun Ari boleh menulisnya di nota, tetapi memandangkan dia ada, apa salahnya dia memberikan khidmat terjemahan kepada pihak klinik.

OLIENPIECE 2: Tujuh Kerajaan NaunganWhere stories live. Discover now