Bab 46: 'Virus Optima'

23 6 1
                                    

PUTERI AMAN meletakkan anaknya ke katil bayi selepas menyusukan anaknya itu sehingga dia tertidur. Kecoh dalam kediamannya sekarang mengenai kemenangan Olienpiece dalam menawan kerajaan Phillea.

"Jadi, Tuanku Mirza tetap memilih untuk berperang ya." Tutur Aman dengan senyuman tawar.

Setelah segala kata-katanya kepada Tuanku Mirza pada beberapa minggu yang lepas, ia tetap tidak dapat mengubah fikiran Tuanku, kan. Heh. Akhirnya, peperangan juga yang dipilih. Baginya, peperangan ialah suatu kemusnahan dan bencana besar, malah ia juga bermaksud kematian. Pasti ada kematian dalam setiap peperangan yang tercetus.

Sanggup betul Tuanku Mirza mengorbankan para tentera dan orang bawahannya hanya kerana mahu merebut kuasa. Aman menggelengkan kepalanya dengan perlahan kerana tidak memahami tindakan anak muda itu. Nampak sangat gila kuasa kerana baru beberapa hari naik takhta sudah memulakan perang dan merebut kerajaan.

Sekarang ini, dia sedang risau dengan nasib suaminya, Putera Angkat Muez di dalam penjara. Dia dibenarkan melawat Putera Angkat Muez, tetapi dengan masa yang terhad saja. Kelmarin, jelas kelihatan kesedihan pada kaca mata suaminya itu sewaktu dia datang melawat dengan masa yang sangat suntuk.

Haih!

Aman mengeluh sambil mengenangkan nasibnya. Hari ini, dia tidak menziarahi suaminya lagi disebabkan kurang sihat. Lagipun, apalah kata suaminya nanti apabila mengetahui Olienpiece berjaya menawan Kerajaan Phillea.

Dia tidak tahu kekalahan pihak Raidez itu baik atau buruk sebab apa yang penting bagi dia ialah keluarganya bersatu semula. Dia sangat sayangkan suaminya sampaikan dia sanggup melawan keluarganya kalau keluarganya itu mahu dia tinggalkan Putera Muez.

Dan dia pasti, kakaknya adalah orang pertama yang akan menimbulkan isu ini suatu hari nanti kerana pada sebelum ini pun memang jelas kakaknya, Que Shyi tidak sukakan Putera Muez. Rupanya itulah sebabnya, sebab kakaknya sudah lama tahu bahawa Putera Muez ialah anak kepada musuh.

Musuh? Tidak adil rasanya Putera Muez dianggap sebagai musuh apabila mereka anak beranak iaitu kembar Tuanku Ozz dan Putera Muez sendiri tidak mendapat keadilan yang sepatutnya. Dipenjarakan semasa berumur 2 tahun hanya disebabkan oleh tanda putera di dada, bukankah ia sangat zalim?

Sekarang sudah terbongkar bahawa tanda putera di dada itu tidak bermasalah pun, yang bermasalah ialah Raja Merak. Sepatutnya, pihak istana Kastelhike meminta maaf kepada Raja Ozzark ke atas apa yang telah menimpa dia. Sepatutnya, Tuanku Mirza juga meminta maaf kepada Raja Ozzark, bukan?

Puteri Aman kemudiannya menuju ke arah balkoni biliknya dan memandang ke arah langit. Apa yang akan berlaku sekarang dan apa yang patut dia lakukan supaya dia dapat bersatu dengan suaminya semula? Macam mana dia mahu meyakinkan Tuanku Mirza untuk mengampunkan Putera Muez?

...

MAISUN berdiri di hadapan Mirza kerana mahu melindungi Mirza dari Komander Uru. Sebaik saja dia dapat mengesan Mirza berhampiran tempat itu dan sudah keluar dari worsikel milik Uru, dia terus berlari ke sini. Selain dia, Vise juga turut menuju ke situ. Sekarang, dia dan Vise sedang berhadapan dengan Komander Uru.

"Tuan Putera, teruskan rancangan Tuan Putera. Biar kami berdua uruskan dia ni." Kata Maisun sambil mata dan jasadnya masih menghadap Komander Uru yang pada bila-bila masa saja boleh menyerang mereka.

Kemudian, mereka dapat mendengar ada orang lain yang menapak di situ. Dengan sekilas pandang, Maisun dapat mengenali lelaki itu atau Kino, pengiring Tuan Putera.

"Kamu lambat." Tegur Maisun. "Teruskan perjalanan." Maisun kemudiannya memberikan arahan pula kepada Kino dan ia telah menyebabkan Kino mendecis dengan perlahan.

OLIENPIECE 2: Tujuh Kerajaan NaunganWhere stories live. Discover now