Sebelum Makcik Kiah meneruskan serangannya, dengan pantas Pakcik Latif menahan dengan mencekak tangan isterinya yang hampir naik hantu itu dari belakang. Demi mempertahankan statusnya sebagai seorang isteri yang taat dan setia kepada suami, Makcik Kiah terus mematikan tindakan agresifnya. Namun mulutnya tak putus membebel, mengulas tindakan kasar Amran terhadap Nora semasa di sekolah. Sebenarnya dia memang sudah dirasuk semasa menyambut kepulangan Nora balik dari sekolah dalam keadaan teresak-esak kesedihan. Mujur juga Amran pulang lambat. Pakcik Latif sempat terlebih dahulu merasionalkan Makcik Kiah supaya tidak bertindak kasar memandangkan Amran bukan lagi budak kecil. Tambahan pula, bagi Pakcik Latif insiden yang berlaku mungkin berpunca dari kesilapannya sendiri.
PAKCIK LATIF : Dah, Bong.. Poi mandi. Lopeh tu kang poi surau sesamo. Abah tunggu. Copek sikit..
AMRAN : Iyo, bah..
PAKCIK LATIF : Ni apo kono lak tangan tangan kau berbalut ni?
AMRAN : Jatuh biska tadi. Maso balik dari sekolah. Abang Tapa antar poi sepita.
PAKCIK LATIF : Ok ko tu?
AMRAN : Takdo apo ni doh. Luko sikit yo.. Ombung poi mandi lu bah yo..
Amran buka kain pembalut di lengannya. Dibelek-beleknya sebentar kesan luka di lengan kirinya itu. Kering, tiada darah mengalir. Namun kesan kekuningan daripada ubat yang disapu sangat jelas kelihatan. Amran gulung kain pembalut itu dan letakkan di birai tingkap yang masih terbuka.
MAKCIK KIAH : Buleh basah ko tu?
AMRAN : Buleh. Lopeh mandi kang lap koring-koring. Sapu ubek, lopeh tu balut balik. Camtu kato doktor tadi..
Amran tak tersangka Makcik Kiah akan menanyakan itu. Senang hati Amran mendengarnya. Mungkin disebabkan kecederaannya, Makcik Kiah jadi lembut hati dan simpati terhadapnya. Bagus juga eksiden, fikir Amran dalam hati. Namun jangkaannya tersasar. Sebaik melangkah turun anak tangga dapur untuk ke bilik air di luar, Makcik Kiah sambung membebel. Bebelan pedas yang menceritakan seolah-olah kemalangan yang menimpa Amran adalah balasan atas perbuatannya melempang Nora semasa di sekolah. Amran mempercepatkan langkahnya ke bilik air.
Selesai mengurus diri, Amran mendapatkan Pakcik Latif yang sedang menunggunya di beranda. Amran dapat rasakan ada sesuatu yang hendak dikatakan oleh ayahnya. Biasanya Pakcik Latif tidak beriya-iya menunggu Amran untuk pergi ke surau bersama. Tambahan pula waktu sudah sangat lewat. Sudah terlalu hampir hendak masuk waktu Maghrib. Kalau ayahnya bertanya tentang tindakannya melempang Nora, Amran tak tahu sama ada dia patut memberitahu hal sebenar atau tidak. Akal Amran ligat merangka jawapan.
Namun sepanjang perjalanan Pakcik Latif tak banyak cakap pun. Ada pun hanya dia tanya Amran sama ada akan menoreh getah atau tidak pada keesokan hari. Tiada apa yang istimewa pada soalan itu. Langsung Pakcik Latif tak sentuh tentang insiden anak daranya dilempang oleh anak bujang sendiri. Amran pula yang merasa pelik dan tertanya-tanya sendiri. Dia sangat pasti ada sesuatu yang ingin dikatakan oleh ayahnya. Hinggalah mereka sampai di surau. Beberapa orang ahli jemaah sudah berada di sana. Di satu sudut, Salim dan Razak sedang duduk-duduk dan mereka melambai Amran yang baru tiba. Amran sekadar memberi isyarat bahawa dia hendak terus ke bahagian depan beranda surau untuk melaungkan azan.
AMRAN : Dah masuk waktu ko ni, Mam?
IMAM DIN : Dah limo minit dah. Lambek lak bilal obang hari ni.
AMRAN : Hehee..
PAKCIK ROBERT : Iyo lak ha.. Ni yang Tapa koba tadi bilal kito eksiden. Buleh ko obang ni, Meran?
AMRAN : Buleh cik.. buleh.. hihi
Seperti biasa, malam Jumaat diadakan majlis bacaan Surah Yasin di surau. Amran menyertai rakan-rakannya duduk membaca Yasin bersama. Hanya ada Salim dan Razak. Mereka berdua juga tak pasti kenapa Leman tidak hadir ke surau. Cuma mereka boleh mengagak bahawa Leman masih dirundung rasa bersalah kerana mengkhianati rahsia mereka. Amran cuma sempat memberitahu Salim kedudukan hal sebenarnya tentang spekulasi Abang Tapa. Salim pula hanya sempat memeritahu Razak semasa di surau. Sepatutnya Leman juga diberitahu semasa di surau tetapi malangnya dia uzur. Jadi mereka merancang untuk berkunjung ke rumah Leman selepas solat Isyak.
Selepas solat Isyak, Pakcik Latif terus mengajak Amran pulang ke rumah bersama. Walaupun Amran kata hendak pergi ke rumah Leman, namun Pakcik Latif mendesaknya untuk terus pulang ke rumah. Amran tiada pilihan melainkan menurut sahaja. Maka tugas menjernihkan kekeruhan yang melanda Leman diserahkan kepada Salim dan Razak. Tambahan pula, hati Amran semakin kuat dilanda tanda tanya tentang kepelikan perilaku ayahnya. Amran sangat pasti, ayahnya ada sesuatu yang sangat penting untuk dikatakan kepadanya.
PAKCIK LATIF : Bong.. duit abah bagi tadi memang tak cukup duo inggit.. Abah lupo nak koba kek kau tadi.
AMRAN : Takpo la.. Ombung ado duit sikit buek tambah.
PAKCIK LATIF : Tu la. Memang abah nak pinjam duit kau buek tambah. Telupo nak koba.
AMRAN : Oo.. camtu.
PAKCIK LATIF : Masalah eh sekarang .....
Ayat Pakcik Latif tiba-tiba terhenti. Dia melepaskan keluhan yang berat dan panjang. Langkah kakinya juga semakin perlahan. Amran turut memperlahankan langkahnya. Dia senyap sahaja. Dia tak mahu mencelah kata-kata ayahnya walaupun hatinya semakin diserang tanda tanya. Pakcik Latif terbatuk2 sedikit sebelum meneruskan kata-katanya. Nyata batuknya itu hanyalah batuk yang dibuat-buat.
PAKCIK LATIF : Masalah eh.. duit belanjo ghumah pun dah takdo ni. Habih.. koring boto.
Lagi sekali Pakcik Latif lepaskan keluhan yang berat dan panjang. Mukanya tertunduk ke bumi.
