Ai Lin..
Amoi misteri yang menarik. Tak banyak yg Amran tahu tentangnya. Kalau ada pun, hanyalah dari cerita Tauke Leong. Selebihnya, Amran sangat hendak tahu dan mengenali gadis tionghua itu dengan lebih dekat. Mungkin gadis itu ditakdirkan untuk mengisi kekosongan hati Amran. Seboleh2nya Amran tidak mahu terlalu optimis. Namun, memandangkan rakan2nya sudah ada buah hati masing2, gelora cinta di hati Amran kian membadai. Sangat teringin di hatinya untuk merasai kerinduan dan dirindui. Jiwa remaja Amran meronta2 minta ditemani. Apakah Ai Lin orangnya yg akan mengisi kekosongan yg menyelubungi hati Amran selama ini? Amran belum berani menjawab persoalan itu. Namun, Amran percaya bahawa pertemuan esok sangat penting dan mungkin akan menjadi permulaan episod baru dalam hidupnya. Sebaris demi sebaris kata2 Tauke Leong tadi kembali berlegar dalam ruang fikirannya.
KFC..
Sudah telalu lama Amran dan rakan2nya mengidamkan hidangan ayam goreng dari restoran makanan segera itu. Mereka sendiri tidak tahu apakah yang istimewa sangat pada ayam goreng KFC idaman mereka itu dan itulah yang harus mereka rasai sendiri, barulah mereka akan tahu. Sekian lama mereka usahakan bersama. Bukan Amran seorang, kesemua mereka meletakkan komitmen tanpa belah bahagi dalam usaha menjayakan cita2 mereka menjejakkan kaki ke Bahau dengan satu sahaja niat yg dikongsi bersama. Esok, cita2 itu seakan2 bakal menjadi kenyataan. Tawaran Abg Tapa terlalu baik untuk ditolak. Keterujaan Salim, Leman dan Razak terlalu melambung tinggi untuk dihempas ke lantai. Malah, Amran sendiri pun merasai apa yang rakan2nya rasakan. Tidak mungkin peluang ini mereka lepaskan. Tentu Salin, Leman dan Razak sudah membulatkan tindakan mereka untuk esok. Mustahil pula bagi Amran untuk menidakkannya.
Amran terkedu. Dia bangun dan menghampiri jam di atas rak. Dia hendak tahu, berapa banyak lagi masa yang ada untuknya mencari jalan penyelesaian. Sedar tak sedar, sudah pukul 2:15 pagi. Amran tidak akan tidur selagi belum dapat memutuskan tindakan paling wajar untuk diambil esok. KFC sangat penting. Di situ tersandar harapan dan cita2 bukan dia sahaja, malah rakan2nya yang lain. Ai Lin juga sangat penting. Segala misteri dan persoalan tentang amoi itu perlu dirungkaikan. Malah hati Amran menyimpan harapan yang besar pada Ai Lin walaupun fikirannya sering kali cuba menolak perasaan yang terburu2 itu.
Amran cuba bayangkan sebuah neraca yang besar. Di kiri, diletaknya Ai Lin bersama harapan di masa hadapan. Di kanan pula, diletaknya KFC bersama harapan masa kini yang turut dikongsi bersama oleh rakan2 sehati sejiwanya. Lama Amran memerhati neraca itu. Hatinya memberatkan timbangan sebelah kiri. Namun akal fikirannya memberatkan timbangan sebelah kanan. Semakin buntu Amran dibuatnya.
Biar apa pun tindakan Amran, ada baik dan buruknya. Fikiran Amran ditumpukan untuk menganalisis keburukan suatu pilihan tindakannya pula. Kalau dia tidak memenuhi janjinya kepada Ai Lin, tentu gadis itu akan kecewa. Namun, mungkin tak sukar bagi Amran untuk memulihkan keadaan. Lusa dia tetap akan pergi ke stor Tauke Leong. Jadi akan ada kesempatan baginya untuk menerangkan kepada Ai Lin tentang kegagalannya memenuhi janji. Pasti Ai Lin akan marah malah mungkin akan merajuk.
Jika Amran memutuskan untuk tidak menyertai rakan2nya merayau ke Bahau untuk menjamu selera di restoran KFC, dia akan mengecewakan bukan satu, tetapi tiga orang rakan karibnya sejak zaman persekolahan. Rakan2 yang sedia berkongsi suka dan dukanya. Tetapi sampai masa ini, tiba2 Amran menolak mereka ke tepi demi memberi laluan kepada Ai Lin yang baru sahaja dikenali. Tanpa Amran, semua mereka mungkin terpaksa membatalkan rancangan ke Bahau kerana hanya Amran yang boleh memandu. Namun Amran pasti, kalau pun mereka membatalkan rancangan esok, mereka masih akan ada kesempatan di lain hari. Tetapi bagaimana pula jika rakan2nya tidak membatalkan rancangan, sebaliknya mereka bertiga meneruskan rancangan itu dengan menaiki bas bersama2, meninggalkan Amran sendirian dengan angan2nya hendak bercinta dengan seorang amoi?
Tersekat nafas Amran membayangkan kemungkinan itu. Jika berlaku begitu, bukan sahaja dia kehilangan peluang menjejak kaki ke KFC, malah kemungkinan besar dia kehilangan sahabat karibnya yg tidak pernah membelakamgkannya selama ini. Amran tidak sanggup mengambil risiko itu semata2 untuk seorang gadis yg baru sahaja dikenalinya. Maka Amran putuskan, dia akan memberatkan timbangan neraca sebelah kanan. Projek KFC akan diteruskan. Tentang hal Ai Lin, dia akan selesaikan lusa semasa menghantar getah. Dia akan mereka2 alasan untuk pergi sendirian tanpa ditemani oleh Razak. Alasan apa yg akan digunakan, akan difikirkan kemudian. Selepas yakin dan membulatkan keputusan muktamad, Amran kembali ke perbaringan dan cuba melelapkan mata.
Amran melelapkan mata dengan tenang untuk seminit. Masuk minit kedua, dahinya mula berkerut. Posisi baringannya bertukar2. Masuk sahaja minit ketiga, mata Amran kembali buntang. Amran bangkit semula, bersandar di dinding dan bantal dipelukanya dengan erat. Fikirannya menerawang membayangkan Ai Lin sendirian di stor Tauke Leong menantinya esok.
Sedangkan semalam, Amran hanya kata pada Tauke Leong bahawa dia ada lagi satu trip getah untuk dihantar. Malangnya disebabkan kesilapan teknikal, trip itu gagal dijalankan. Itu sahaja sudah membuatkan Ai Lin menunggunya hingga pukul enam. Inikan pula janjinya untuk esok. Bukan sekali, malah Ai Lin datang kepadanya untuk kali kedua demi mengesahkan tentang janji pertemuannya dengan Amran esok.
Janji mereka akan bertemu di stor Tauke Leong pada pukul lapan pagi. Mungkin Ai Lin akan tiba awal. Pukul 7:30 agaknya. Dia akan tunggu Amran hingga pukul lapan dan dia akan sangka Amran lewat. Hingga pukul 8:30 dia akan sangka Amran ada masalah sedikit dan akan tiba sekejap lagi. Ai Lin akan terus menunggu. Hingga pukul 9:00 dan Amran masih belum muncul, Ai Lin akan mula cemas. Namun dia akan terus menunggu. Pukul 10:00 pun Amran tak tiba juga. Ai Lin akan cuba mencari, merintis jalan yg sepatutnya dilalui Amran. Tentu Ai Lin risau jika Amran ditimpa kecelakaan dan membuatkannya tidak dapat hadir. Ai lin mungkin akan mencari Amran hingga ke kampung, namun dia tidak tahu kampung Amran. Maka Ai Lin kembali semula ke stor Tauke Leong dan terus menanti Amran. Sampai bila Ai Lin akan terus menanti?
Semua itu hanya khayalan Amran. Walaupun sekadar khayalan, cukup membuatkan Amran diserang rasa bersalah. Ditenungnya jam kecil di atas rak. Sudah pukul 3:45 pagi. Waktu yg bersisa untuknya memikirkan tindakan paling wajar semakin singkat.
Amran menumbuk2 dahinya dengan perlahan. Dengan harapan otaknya akan bergegar dan mampu memikirkan jalan penyelesaian. Rasa menyesal di hatinya kerana gatal mulut mengajak Ai Lin berjumpa esok. Dia yang ajak, dan sekarang dia pula yang mungkir janji. Dalam keadaan begitu, dia tak sanggup lagi berhadapan dengan Ai Lin. Mungkin dia akan terpaksa mencari stor getah lain untuk menjual getah di masa akan datang.
Lebih kesal di hati Amran kerana merahsiakan hal Ai Lin daripada pengetahuan rakan2nya. Dia sangat pasti, jika dia beritahu rakan2nya tadi bahawa dia ada janji dengan seseorang pada hari esok, mereka akan faham dan sama2 mencari jalan tengah. Biarlah dia dipersendakan, itu lebih baik daripada dia terpaksa menanggung kekesalan sebesar ini. Namun Amran sudah tidak boleh menarik kembali masa yang terlepas. Sepanjang malam ini, tentu rakan2nya sedang meleleh air liur membayangkan rancangan mereka untuk esok. Mustahil bagi Amran untuk tiba2 memusnahkan impian mereka semata2 kerana urusan peribadinya. Amran percaya mereka akan faham situasinya, tambahan pula Fariha baru sahaja bertunang dengan orang lain. Namun, faham bukan bermakna mereka tidak akan kecewa.
Bila terbayangkan Fariha, Amran terkenang suatu masa dia pernah mengatur temu janji dengan gadis tunangan Abg Tapa itu. Amran masih ingat dengan jelas, dia minta Fariha datang berjumpanya di padang sekolah pada suatu petang. Walaupun Fariha berkali2 menyatakan keengganan, namun Amran tetap berkeras. Ternyata Fariha memang tak datang. Namun, dia tinggalkan secebis nota kecil di bawah sehelai daun ketapang yg dihimpit dengan batu. Nota kecil yg cukup untuk mematikan penantian Amran.
Amran bingkas. Dia tahu apa yg patut dibuatnya. Waktu sudah semakin suntuk. Dia perlu bergegas. Dicapainya kunci stor getah. Tanpa berfikir panjang lagi, Amran mengorak langkah keluar.