Awalnya Amran tertanya2 sendiri, mengapa keluarganya dilanda masalah kewangan yang terlalu runcing? Dia lihat hasil getah masih macam biasa. Dia tahu ekonomi keluarganya umpama kais pagi makan pagi. Tetapi tak pernah lagi mereka tak cukup makan kerana mereka tak pernah berhenti mengais. Selepas diterangkan oleh Pakcik Latif, barulah Amran sedar krisis yang dihadapinya. Krisis yang turut dihadapi oleh sebahagian penduduk kampung yang bergantung hidup kepada hasil getah.
Sejak dua bulan lalu, harga getah jatuh merudum. Dari $1.10 sekilogram menjadi $0.70 sekilogram. Sebelum kejatuhan pada dua bulan lepas itu, harga getah pernah jatuh pada sebulan sebelumnya dari $1.35 sekilogram kepada $1.10 sekilogram. Dalam beberapa bulan, harga getah disaksikan menjunam dari $1.35 sekilogram kepada $0.70 sekilogram. Amran tak pernah sedar semua itu. Yang dia tahu, setiap hari dia tolong ayah dan ibunya menoreh. Itu sahaja. Kalaupun kadang2 dia yang membawa getah sekerap ke stor Ah Tong untuk dijual, namun dia tak pernah kisahkan berapa pun harga getah. Berapa sahaja yang dihulurkan oleh Ah Tong diterimanya sahaja dan diserahkan kepada ibunya. Itu sahaja yang dia tahu. Mujur juga ayahnya ada menyimpan. Tetapi, kini semua simpanan sudah habis dibelanjakan.
PAKCIK LATIF : Abah koba kek omak kau, rombongan Udo tu biar la deh tak payah poi sobab tak cukup duit. Tapi omak kau tak setuju. Dio kato kau ado sikit duit. Dio ponah nampak kau kiro duit.. Duit upah jual satay, keteh..
Amran senyap sahaja. Dia tak tahu apa nak dikata.
PAKCIK LATIF : Kok ado, abah nak pinjam buek belanjo ghumah..
Otak Amran ligat. Seolah2 sebuah kalkulator beroperasi di dalam otaknya. Duitnya ada $24.00 tetapi setelah ditolak $2.00 yang diberikan kepada Nora untuk menampung yuran rombongannya, dia hanya ada $22.00 sahaja. Semuanya adalah dana untuk projek KFC yang dirancangnya bersama rakan-rakan yang lain. Dia tak tahu berapa yang ayahnya perlukan. Dia tak tahu sama ada dia patut utamakan KFC atau keluarga. Kalau dia beri ayahnya $10.00, dia masih ada $12.00. Mungkin cukup untuk projek KFCnya. Tetapi cukupkah $10.00 untuk perbelanjaan keluarga?
AMRAN : Abah nak berapo? Takek duo puluh inggit ado ni.
PAKCIK LATIF : Eh.. jangan la bagi sumo. Kau pun nak guno duit jugak kan. Kut duit kau ado lobih la. Kut takdo takpo. Esok motong, buleh laie jual gotah.
AMRAN : Duo puluh tu lobih eh la tu. Ado laie untuk guno sendiri..
PAKCIK LATIF : Iyo ko ni..? ado ko duit kau ni?
AMRAN : Ado.. Lagipun abah boli bogheh nanti Ombung jugak yang makan.
Pakcik Latif senyum. Di bawah cahaya bulan, Amran turut tersenyum melihat reaksi ayahnya yang jelas menunjukkan kepuasan seolah2 satu beban berat yang terpikul dibahunya kini sudah dilepaskan. Tangan kanannya diletak di atas bahu kanan Amran. Tubuh Amran ditarik dan dirapatkan ke arah badannya. Bergenang air di kelopak mata Amran bila merasai kehangatan tubuh ayahnya.