Di hadapan sebuah pintu gerbang yang besar, muncul seorang budak lelaki dalam keadaan terhendap-hendap. Budak lelaki itu dalam lingkungan umur sembilan tahun. Dia bertubuh kecil dan badannya kurus keding kerana kekurangan zat. Baju yang dipakainya juga compang-camping dan wajahnya comot serta kusut masai.
Setelah memastikan tiada siapa di sekeliling yang perasan kehadirannya, perlahan, dengan sekuat kudratnya, dia menolak pintu gerbang yang besar dan berat itu.
Budak lelaki itu menjengukkan kepalanya ke dalam. Pintu itu membawanya ke sebuah gudang, atau lebih tepat lagi, sebuah gua yang sangat besar dan luas.
Dengan penuh kekaguman, budak lelaki itu tanpa tergak-agak menapak masuk ke kawasan larangan itu.
Rasa ingin tahunya mengatasi ketakutannya kerana telah mencerobohi kawasan larangan itu di saat ini. Kakinya membawanya ke sini pun kerana dia terasa ada sesuatu di sini yang memanggil-manggilnya setiap kali dia berada berhampiran bilik rahsia ini.
Setelah menapak beberapa langkah, budak lelaki itu terpempan kaku menyaksikan satu pemandangan yang sangat menakjubkan di hadapan matanya.
Di hadapannya kini terdapat sebuah bongkah ais gergasi yang menyimpan jasad seekor naga berwarna hitam pekat.
Mata budak lelaki itu bersinar-sinar teruja. Selangkah demi selangkah dia berjalan mendekat. Dia memberanikan diri menghulurkan tangannya, menyentuh bongkah ais kaca itu.
Budak lelaki itu menelan air liur. Matanya bagaikan digam kukuh, terpukau memandang wajah naga itu yang sepasang matanya tertutup rapat.
“K-kau.. apa?” Terkeluar soalan itu dari bibirnya yang kering.
“Ryukan.” Tiba-tiba telinganya menangkap satu bisikan garau.
Budak lelaki itu tersentak. Terus dia menoleh memandang sekeliling untuk mencari empunya suara. Namun tiada siapa selain dirinya dan naga itu yang berada di dalam Gudang rahsia ini. Budak lelaki itu memandang semula wajah naga di hadapanya. Mata naga itu masih lagi terpejam rapat.
“Nama kau.. Ryukan?” Soalnya. Namun tiada respon yang diterima.
Budak lelaki itu terdiam sebelum dia mula melabuhkan punggung di lantai gudang itu, memeluk dua belah lutunya rapat ke dada di hadapan bongkah ais gergasi itu.
Senyuman manis terukir di bibirnya. “Nama aku..”
______________________________________________________________________________
Di dalm gua yang sangat besar dan luas itu cuma ada sebuah bongkah ais kaca gergasi. Dan di dalam bongkah ais itu beradu jasad seekor naga. Jasad naga itu masih sama seperti mana ketika dia ditangkap sepuluh tahun dahulu. Langsung tidak berubah mahupun beralih.
Kesunyian di dalam gua itu tiba-tiba dipecahkan dengan bunyi kuakan pintu gerbang yang dibuka dari luar. Senyap-senyap masuk seorang budak lelaki. Berbanding sebelum ini, tubuh budak lelaki itu sudah semakin tinggi. Dan pada wajahnya mula terserlah ketampanan meskipun kulit mukanya comot dengan kotoran debu.
Seperti rutin-rutin sebelumnya, budak lelaki itu duduk berpeluk lutut di hadapan bongkah ais gergasi itu.
“Ryukan, aku datang lagi.” Budak lelaki itu tersenyum ceria.
“Kau tahu, tadi Tuan Nagi pukul aku lagi. Lepas tu kan,”
Dan seperti selalu, dia mula rancak bercerita. Bercerita tentang hari-harinya yang malang di sini. Bagaimana dia dipukul, dibuli, disuruh membuat kerja-kerja berat tanpa diberi makan.
Bagaikan melepaskan segala luka di dalam hatinya.
Dalam menempuhi hari demi harinya yang cuma tercalit kisah derita, cuma naga di hadapannya inilah tempat dia meluah rasa. Cuma dia yang sudi mendengar ceritanya.
YOU ARE READING
Rise of The Emperor
FantasyDi sebuah alam yang terdiri daripada pelbagai jenis makhluk, manusia dan beast hidup saling bermusuhan. Haraki, seekor beast yang dipulau dan dilayan teruk oleh clannya sendiri kerana berdarah separuh manusia muncul memusnahkan clannya sendiri denga...