Chapter 44: Penjara

576 79 2
                                    


Haraki membuka kelopak matanya.

Yang pertama sekali muncul dalam pandangannya adalah dinding sebuah bilik yang gelap yang kotor penuh dengan kulapuk dan tompokan merah darah yang telah lama kering tidak jauh di hadapannya.

Matanya meliar ke sekelilingnya pula. Dia kini sedang berada di dalam sebuah bilik tahanan gelap bertutup yang sangat kotor. Lantai bilik tersebut penuh dengan tompokan darah lama. Bau tengik darah bercampur dengan bau hanyir yang boleh membuatkan sesiapa sahaja terasa loya menusuk hidung Haraki.

Wajah Haraki berubah gelap. Dia cukup kenal tempat ini. Masakan tidak, tiga tahun dia dipenjarakan di tempat yang serupa seperti neraka ini.

Mata Haraki turun pula ke tubuhnya sendiri. Tangannya kini sedang tergantung di kiri dan kanannya dengan rantai besi, manakala dia sedang duduk terlutut dengan dua kakinya turut digari.

Pada saat ini, Haraki tidak dapat menggerakkan walau seinci pun tubuhnya. Dia cuma mampu menggerakkan matanya sahaja.

Haraki dapat lihat pada dua lengannya yang terdepa dengan gari, terdapat hampir sepuluh bilah jarum tertusuk pada setiap kedua-duanya. Begitu juga pada tubuh badannya, ada hampir dua puluh jarum tertusuk.

Pemandangan tubuhnya yang penuh tertusuk jarum saat ini sangat mengerikan.

"Hai, Haraki. Kita berjumpa lagi." Satu suara garau kedengaran memasuki bilik tahanan itu.

Seorang lelaki berambut pendek kerinting berveil hijau aprikot mewah memasuki bilik itu dan berdiri di hadapan Haraki. Tangan kiri lelaki itu diperbuat daripada besi.

Pandangan Haraki penuh dengan keinginan membunuh yang membuak-buak apabila melihat lelaki itu.

Merlin.
Nama itu begitu terpahat kukuh di dalam hati Haraki. Satu benda yang paling dikesali Haraki hingga ke saat ini adalah kerana dia tidak berjaya membunuh Merlin sewaktu Haraki menyerang perkampungan clan Phyton tahun lalu.

Merlin ketawa besar melihat Haraki yang cuma mampu memberikan renungan membunuh namun tidak mampu berbuat apa itu.

"Haraki, kau ingat lagi tak tempat ni? Mesti kau rindukan tempat ni kan?" Merlin mencengkam urat rambut Haraki dan dengan kasar mendongakkan wajah Haraki untuk memandangnya.

Dia mempamerkan senyuman yang menjijikkan.

"Haraki, kau pernah dengar pasal pure breed?

Pure breed adalah waris keturunan supreme beast yang telah membuat kontrak kuasa dengan Emperor beast yang pertama, Emperor Amaria." Merlin menerangkan, tidak mengira sama ada Haraki sudah sedia tahu ataupun tidak tahu berkenaan perkara tersebut.

"Dalam clan Phyton, cuma aku dan dua adik beradik aku saja yang merupakan pure breed. Aku, Tenshin dan Byakuya." Merlin masih lagi sibuk bercerita.

"Kami, pure breed Phyton ada dua kuasa istimewa. Master of poison dan lagi satu, camouflage. Dengan kuasa camouflage, kami boleh menyamar menjadi sesiapa sahaja. Tapi kuasa ini ada dua kelemahan utama.
Pertama, untuk menyamar menjadi seseorang tersebut, kami perlukan darah orang tersebut. Yang kedua, kuasa camouflage ini akan terbatal apabila kami disentuh berterusan lebih dari seminit."

Dahi Haraki berkerut. Maksudnya, Merlin berjaya mendapatkan darah Momo?
Tapi bila?

Tiba-tiba sesuatu terlintas di fikirannya. Sewaktu dia, Momo dan Nan Hen terserempak dengan Merlin di hutan ini sebulan yang lalu, pada waktu itu Momo ada mengaduh sakit pada kakinya.

Kemungkinan besar pada waktu itu, ular Merlin telah mematuk kaki Momo dan menghisap darahnya.
Dengan darah Momo, Merlin telah menyamar menjadi budak tersebut dan menarik Haraki memasuki perangkapnya.

Rise of The EmperorWhere stories live. Discover now