Seorang budak kecil datang menghampiri mereka. Tangannya penuh menggendong bungkusan manisan dan gula-gula. Manakala di belakang tubuh kecilnya pula tergalas beg yang hampir sebesar tubuhnya.
Remaja dan kanak-kanak yang sedang duduk melakukan kerja masing-masing di situ memandang budak lelaki yang baru muncul penuh curiga.
Ansel segera berselindung di belakang Anarkin. Ivyrlyn merenung budak kecil itu dingin. Manakala Zachary pula memandangnya tidak berperasaan.
Mereka semua kenal siapa budak kecil ini.
Bakal putera mahkota kerajaan Iseria, Putera Allawiey. Dan juga anak tunggal kepada Putera Finnian, lelaki yang telah menjadikan mereka bahan eksperimennya.
"Ehemm." Si kecil Allawiey berdehem dengan wajah yang dibuat serius, memimik orang dewasa.
"I-ini untuk korang."
Namun gagapnya mendedahkan gemuruh yang cuba disembunyikan.
Sepasang telinga putih Allawiey terus merah padam apabila lidahnya tersasul. Namun budak kecil itu masih juga cuba berlagak selamba.
Gula-gula dan bungkusan makanan ringan di tangannya disusun di lantai di hadapan mereka dengan penuh tertib.
"Ambillah." Tuturnya.
Empat orang Seraph di hadapannya memandang Allawiey ragu-ragu. Ansel, yang paling muda di antara mereka meneguk air liur melihat manisan yang disuakan Allawiey. Sudah lama dia tidak merasa makan manisan.
Melihat mereka tidak memberinya reaksi, Allawiey tidak berputus asa.
Beg yang tergalas di bahunya ditanggalkan dan dibawa ke hadapan. Zip begnya dibuka dan Allawiey mengeluarkan satu per satu mainan dan buku-buku cerita yang ada di dalamnya.
"Ini untuk korang." Ujarnya sambil menolak barang-barang itu ke hadapan mereka.
Mata Anarkin bersinar. Tangannya sudah dipanjangkan untuk mencapai salah satu mainan yang ada.
Namun tangannya cepat dicengkam Ivyrlyn. "Kau nak apa sebenarnya?" Budak lelaki itu merenung Allawiey dingin.
Sengaja dia tidak menggunakan gelaran terhormat kepada waris putera mahkota mereka itu.
Dia mahu lihat sejauh mana Allawiey mampu berlakon mesra dengan mereka.
Namun Allawiey jelas sekali tidak kisah dengan bicara kasar Ivyrlyn. Sebaliknya, dia sudah lama menanti soalan itu diajukan kepadanya.
"A-Aku nak berkawan dengan korang!" Kerana terlampau teruja, budak kecil itu tergagap sekali lagi.
Keempat-empat Seraph di hadapannya terpaku. Tuan putera ini mahu berkawan dengan mereka? Tikus makmal yang tidak ada hak untuk hidup seperti mereka ini?
Untuk apa?
Tapi... Ivyrlyn memandang timbunan makanan, mainan, dan buku yang dibawa oleh tuan putera itu.
Kalau mereka dapat nikmati benda-benda ini apa salahnya kan? Mereka tidak rugi apa. Yang ruginya adalah Allawiey sendiri.
Minda Ivyrlyn laju membuat keputusan.
"O-" Bicaranya dipintas oleh satu tangan yang sudah terlebih dahulu melintasinya, mencapai salah satu buku cerita yang ada di lantai.
Zachary membuka buku yang diambilnya. Meskipun riak wajahnya beku tidak berperasaan, namun Ivyrlyn dapat melihat sepasang matanya yang bersinar-sinar membelek isi buku tersebut penuh minat.
"Ehemmm. Okay. Kau boleh kawan dengan kami." Tangan Ivyrlyn mencapai sekeping bar coklat yang dibawa Allawiey. Melihat tindakan Ivyrlyn, Ansel dan Anarkin menurut jejak langkahnya.
Allawiey terus terkoyak senyuman lebar.
....................................
"Hey, kau rasa budak kecil tu memang nak berkawan dengan kita saja-saja ke?" Ivyrlyn menduga sambil dia dan Zachary berjalan.
Sudah seminggu mereka 'berkawan' dengan Allawiey. Dan seminggu itu jugalah tuan putera itu akan datang melawat mereka tiap-tiap hari, membawa pelbagai jenis makanan dan hadiah untuk mereka.
Allawiey langsung tidak kekok untuk duduk bersama mereka walaupun pakaian mereka selekeh dan badan mereka comot. Tuan putera itu benar-benar melayan mereka seperti kawan.
"Hey, kau dengar tak apa aku tanya?" Ivyrlyn menyiku Zachary yang sedang ralit membaca buku di tangannya sambil berjalan.
"Tsk. Kau ni. Tak habis-habis baca buku!"
Sejak Allawiey datang membawakan mereka buku-buku cerita, Zachary terus tenggelam dalam dunia bukunya. Lihatlah sekarang ini, nak berjalan pun dia tidak meninggalkan bukunya!
"Dia kawan kita." Balas Zachary datar sambil mata tetap pada bukunya.
"Cis. Kau ni dah kena rasuah dengan buku." Getus Ivyrlyn tidak puas hati.
"Aaaaaa!!!"
Satu jeritan kesakitan seorang budak perempuan menarik perhatian mereka.
Riak wajah Zachary dan Ivyrlyn berubah. Itu suara Ansel!
Mereka terus berlari ke arah suara tersebut.
Kelihatan Ansel sedang menangis teresak-esak memegang pergelangan tangan kirinya yang jelas bengkok. Anarkin di sebelahnya pula terbatuk-batuk dengan wajah yang biru.
Di hadapan mereka, Zend sedang menengking marah.
"Mentang-mentang Putera Allawiey berkawan dengan kau, kau dah berani nak melawan cakap aku ya?! Kau kena ingat, dia tu tuan putera, kau semua cuma tikus makmal, binatang peliharaan dia, faham?!"
Wajah Ivyrlyn berubah gelap mendengar bicara Zend. Nafasnya berombak kencang.
Tanpa berfikir panjang, Ivyrlyn membuka mulutnya. Ingin melafazkan spell ke atas Zend.
"Diam! Mereka bukan binatang! Mereka kawan-kawan beta!" Satu suara budak kecil namun bernada keras menghentikan niatnya.
Semua yang ada di situ berpaling, terkejut melihat kemunculan Allawiey.
Zend membuka mulut, ingin bersuara membela diri namun suaranya tersekat di kerongkong kerana spell Allawiey.
Allawiey mendekati Anarkin dan Ansel.
"Shhuhhh, jangan risau. Sakit korang akan hilang." Pujuk Allawiey lembut kepada dua budak yang jelas sekali lebih tua darinya itu.
Sebaik sahaja Allawiey berbicara, wajah Anarkin dan Ansel yang berkeriut kesakitan terus lega. Allawiey berpaling semula ke arah Zend.
"Biar tulang tangannya patah tanpa mampu bersambung selama-lamanya." Lafaz budak kecil itu datar.
"!!!!!" Zend terlutut memegang pergelangan tangan kirinya yang mula membengkok sehingga mampu dilihat mata kasar. Lelaki itu ingin menjerit kesakitan namun suaranya tidak terkeluar.
"Ini hukuman sebab berani sakiti kawan beta." Ujarnya Allawiey dingin.
Ivyrlyn menyaksikan segala-galanya dari tepi.
Dia melihat tapak tangan kecil Allawiey yang luka berdarah kerana menggunakan spell direct namun tidak dihiraukan oleh budak itu.
Ivyrlyn mengetap bibir. Penumbuknya digenggam erat dengan pandangan matanya tak melepaskan Allawiey.
Selama bertahun-tahun mereka hidup sebagai bahan kajian, ini kali pertama mereka dibela dan dipertahankan sebegini.
Kalau benar lelaki berketurunan raja di hadapannya ini sudi menjadi kawan mereka, maka mereka akan sudi memberikan ketaatan dan kesetiaaan tidak berbelah bahagi kepadanya.
Walaupun mereka akan digelar binatang peliharaan Allawiey sekalipun.
........................
YOU ARE READING
Rise of The Emperor
FantasyDi sebuah alam yang terdiri daripada pelbagai jenis makhluk, manusia dan beast hidup saling bermusuhan. Haraki, seekor beast yang dipulau dan dilayan teruk oleh clannya sendiri kerana berdarah separuh manusia muncul memusnahkan clannya sendiri denga...