Chapter 2: Contract Beast

1K 117 4
                                    

Haraki bersandar santai pada batang sebatang pohon sambil matanya memerhatikan sahaja Momo yang sedang bermain dengan angkatan-angkatan beast kecilnya. Sudah tiga hari dia menetap bersama Momo dan Bem, dan dari pemerhatiannya dia perasan yang beast-beast berlevel rendah di hutan ini memang suka mengelilingi Momo.

Setiap petang beast-beast kecil yang ada akan berderet berbaris di hadapan Momo, lagak mereka bagaikan pasukan tentera yang melaporkan diri. Dan Momo, si panglima tentera, akan mengeluarkan arahan kepada setiap beast itu seperti mencari kayu api, mengangkut air sungai, mencari buah dan sebagainya.

Sedikit sebanyak Haraki berasa terhibur melihat telatah Momo.

Dia ingat lagi pada hari pertama dia mula menetap bersama budak itu, pada waktu itu dia lebih suka merehatkan diri bersandar pada pohon tempat dia berada sekarang. Dan Momo akan datang, senyap-senyap meletakkan sebiji buah berhampiran dengannya. Haraki yang jelas sekali perasan perbuatan Momo itu buat-buat tidak perasan dan menjamah buah tersebut. Baginya rezeki jangan ditolak.

Melihat Haraki menjamah makanan yang diberikannya, Momo makin galak. Pelbagai jenis makanan kemudiannya senyap-senyap diletak berdekatan Haraki. Buatkan lelaki itu rasa hendak tergelak.

Hari kedua, Momo mula berani memunculkan diri di hadapan Haraki dan menyerahkan sendiri makanan yang dibawanya kepada Haraki. Haraki mengambil peluang itu untuk menguji Momo, tangannya mencengkam batang leher kurus kecil Momo dengan senyuman licik di bibir.

“Kau tak takut aku akan makan kau?” Duganya menunjukkan gigi taring.

Momo tidak pula menunjukkan riak ketakutan sebaliknya dahi budak itu berkerut seribu.

“Buat apa makan Momo. Momo bukannya sedap!” Budak itu buat muka loya hendak termuntah.

Dan Haraki terus terdiam, tidak tahu hendak berkata apa.

Gelak tawa kuat Momo memecahkan lamunan Haraki.

Tiba-tiba Haraki terasa tubuhnya berdenyut. Terus dia memegang dada.

Terasa satu aura panas menjalar ke seluruh tubuhnya, membuatkannya terasa bagaikan hilang pertimbangan. Peluh cemas mula merenik di dahinya.

Cis! Beast di dalam badannya mula hendak menguasai badan dan mindanya lagi. Haraki masih ingat lagi peristiwa sewaktu beast itu mula merasuk dan menguasai tubuhnya sewaktu dia dikepung clan phoenix dahulu. Dengan kekuatan yang dia ada sekarang, dia masih belum mampu untuk menjinakkan sepenuhnya imperial beast di dalam badannya.

“Aki?” Momo yang perasan perubahan Haraki datang mendekat.

“Jangan dekat!” Suara Haraki naik tinggi. Sebelah tangan mencengkam tangan kanannya. Sedaya upaya cuba menahan kuasa bayang hitam milik imperial beast itu dari menyelinap keluar dari badannya.

Momo yang terlalu kaget melihat keadaan Haraki itu bagaikan digam kakinya, tidak berganjak dari situ.

Haraki mengetap giginya kuat. Semakin banyak bayang hitam yang mengalir keluar dari tubuhnya meski cuba dikawal sekuat hati. Anak mata zamrud Haraki sudah berubah ke warna merah delima.

“Pergi dari sini!” Dengan suara tertahan dia menghalau Momo. Dia tidak boleh menjamin yang dia boleh mengawal dirinya daripada mencederakan Momo. Kuasa bayang hitam imperial beast itu tidak mengenal musuh mahupun kawan!

Momo pula sebaliknya semakin mendekat. “Aki?” Suaranya risau.

Bodoh! Haraki sudah tidak mampu bertahan, aura gelap yang menyelinap keluar dari tangan dan seluruh badannya itu laju meluru ke arah Momo.

Haraki tahu nasib Momo akan berakhir seperti mangsa-mangsanya sebelum ini. Kuasa bayang hitam imperial beast Ryukan itu sangat menggerunkan. Aura gelap itu membelit, menecekik, menelan penuh mangsa-mangsanya. Kadang-kadang ia juga masuk menceroboh tubuh mangsa melalui rongga-rongga yang ada, membuatkan mereka mati kesesakan tidak boleh bernafas.

Rise of The EmperorWhere stories live. Discover now