Chapter 1: Momo

1.4K 110 4
                                    

1 Tahun kemudian

2550 Herr, Lembah Lufthansa, Albergerez.

“Cepat, cepat!” Momo menjerit riang sambil kakinya lincah berlari, melompat ke kiri dan kanan bila mana langkahnya dihalang banir pokok ataupun bongkah batu besar. Tubuh kenit berusia 7 tahun itu ligat berlari. Di belakangnya, mencicit beberapa ekor beast kecil menuruti langkah laju Momo, seronok mengejar kanak lelaki itu.

Momo akhirnya berhenti di hadapan pintu sebuah gua. Dia mengesat peluh di dahi dengan sengihan lebar. Ini sudah masuk hari ketiga dia melawat gua ini sejak dia secara tidak sengaja menjumpai tempat itu.

Apa yang membuatkannya begitu rajin untuk melawat gua ini saban hari meskipun jaraknya agak jauh dari pondok tempat tinggalnya ialah kerana kewujudan seorang lelaki misteri yang sedang lena beradu di dalam gua itu.

Perlahan dan penuh berhati-hati dia merapati jasad seorang lelaki yang sedang lena bersandar di salah satu dinding gua itu. Momo menjenguk dada lelaki itu yang terdedah. Baju gamis hitam yang dipakai itu berlubang agak besar di bahagian dada, menampakkan satu luka besar di kulit putih lelaki itu yang semakin beransur pulih.

Momo ingat lagi kali pertama dia terjumpa lelaki itu. Waktu itu dia terpukau melihat seorang lelaki dengan rupa paras yang sangat menawan, rambut hitam panjang mengurai ke lantai, sedang tenang beradu bagaikan putera dari kayangan.

Baju lelaki itu berlubang pada dadanya, menampakkan luka besar bulat seperti dicop dengan bara api. Dan dihadapan matanya sendiri, momo menyaksikan sendiri, luka itu merawat dirinya sendiri, kulit di sekeliling luka itu seolah-olah menjalar, menutupi luka itu, menjadikan saiz luka itu semakin mengecut dengan proses yang agak perlahan.

Momo mengeluarkan sebekas karung dari poket seluarnya. Dia menyeluk karung itu dan mencekup herba yang sudah siap ditumbuk menjadi seperti tanah lumpur dengan tangannya. Dengan penuh berhati-hati, dia menyapu herba tersebut pada dada lelaki yang sedang tertidur lena itu. Sudah tiga hari dia melakukan perkara yang sama, merawat luka lelaki itu dengan herba yang disediakannya sendiri. Namun sepanjang tiga hari itu juga, lelaki ini tetap tidak bangun-bangun dari tidurnya.

Usai membersihkan tangannya, Momo kembali di hadapan lelaki itu dan dengan santai meniarap di lantai gua itu. Kedua tangannya menongkat dagu dan sepasang mata bulatnya tekun memerhati lelaki yang lena itu. Teman-teman beast kecilnya turut melakukan perkara yang sama, berderet duduk di sebelah Momo sambil meniru aksi Momo memerhatikan lelaki itu.

Momo tidak tahu kenapa tetapi dia suka melihat lelaki misteri itu. Rupa lelaki itu memukau matanya. Kulitnya putih bersih dan agak pucat, sepasang bibirnya begitu merah seperti dibasahi darah, bentuk mukanya indah terukir, dan bulu matanya yang lebat panjang menyapu kulit di bawah matanya. Beberapa helai rambut hitam pekatnya yang mengurai di bahu jatuh menutup sedikit wajah tampan lelaki itu. Pada lelaki itu ada aura elegan, aura seorang pemerintah yang hebat.

Setelah beberapa jam memerhati, bermain dengan beastnya di sekeliling gua itu, Momo akhirnya mengambil keputusan untuk pulang apabila senja mula berlabuh. Dia tidak mahu dimarahi Bem kerana pulang lewat.

Tidak mengapa, esok dia boleh datang lagi ke sini!

__________________________________________________________________________________

Haraki memerhati sekeliling. Kelihatannya tiada siapa yang mengawasi dalam ruang bawah tanah itu. Tadi dia berjaya melepasi pengawasan beberapa ekor beast yang menjaga luar ruang bawah tanah itu tanpa mereka sedari. Kerana tubuhnya yang kecil dan kurus, dia dengan mudah membolosi pengawasan para pengawal di situ.

Dengan cekap dan berhati-hati, dia menyelusuri ruang bawah tanah itu, meneliti satu persatu sel penjara yang ada di situ dengan hati berharap untuk menjumpai insan yang sekian lama ingin ditemuinya.

Rise of The EmperorWhere stories live. Discover now