Memori: Emhyr (Extra)

242 29 1
                                    


"Hahhh!"

Sebaik sahaja Emhyr menemui rakan-rakannya yang sedang bersantai di sebatang pohon rendang, Demon itu terus menghempaskan tubuhnya ke rumput.

Emhyr mendepakan tangannya sambil terlentang. "Penatnya! Sakit otak aku berlawan catur dengan pak cik!" Rungutnya kuat.

"Aku tak fahamlah. Kenapa pakcik suka sangat ajak aku main catur dengan dia? Kenapa dia tak ajak korang berdua, anak dia?" Emhyr melontarkan soalan itu kepada dua sepupunya, Ahsoka dan Ryker yang ada di situ.

Ahsoka yang sedang santai berehat di atas dahan pokok besar itu mengunyah epal di tangan sambil buat-buat pekak. Dia tidak mahu menjawab soalan Emhyr.

Ryker di sisi Emhyr yang sedang bersandar di batang pokok sambil membelek buku tolong menjawabkan soalan tersebut.

"Sebab ayah kata Ahsoka lembap sangat. Dia bengang main dengan Ahsoka. Sekejap je dah berjaya kalahkan." Ryker menjawab jujur tanpa berlapik. Wajahnya masih tidak diangkat dari buku di tangan.

Emhyr tergelak besar. Manakala Ahsoka di atas pokok mendengus kasar.

"Kau pulak?" Emhyr memandang Ryker pula. Kenapa Serki tak berminat nak lawan catur dengan Ryker?

Ryker menyimpul senyum. "Sebab aku bijak sangat. Ayah kata dia tak suka main dengan aku. Asyik kalah je."

"Cis!" Emhyr mencebik mendengar jawapan riak sepupunya itu. 

Kemudian mata lelaki itu melilau ke sekeliling. Mencari kelibat seorang lagi teman mereka melepak bersama-sama.

"Mana Railan?" Soalnya.

Mendengar soalan Emhyr, Ahsoka terus menegakkan tubuh. Tiba-tiba dia jadi bersemangat untuk bergosip.

"Railan pergi menghilang lagi. Sekarang ni budak tu asyik senyap-senyap lesap je. Aku rasa dia ada simpan kekasih hati lah." Komen Ahsoka mengurut dagunya.

Emhyr menjungkit kening. "Railan? Ada kekasih hati?" Soalnya semula sukar untuk percaya.

"Demon mana yang berjaya curi hati dia? Bukan Railan minat perempuan yang sopan dan lemah lembut ke? Celah mana nak dapat perempuan macam tu dalam clan kita ni?" Komennya penuh sangsi.

Demon perempuan dalam clan mereka semuanya jenis yang ganas, sukakan darah dan pertarungan.

Mana kena dengan citarasa teman mereka itu.

Railan dari dulu lagi agak lain daripada ahli-ahli Demon yang lain. Lelaki itu seorang yang lemah lembut, penyabar dan begitu murah senyuman.

Senang cerita, memang tidak ada langsung ciri-ciri kejam dan ganas seorang Demon.

Kalau bukan kerana Railan boleh tahan kuat dan bersahabat dengan mereka, sudah lama lelaki itu menjadi mangsa buli Demon-Demon lain kerana sifatnya itu.

Ahsoka membuka mulut ingin bersuara, namun tiba-tba satu suara lantang memeranjatkan ketiga-tiga mereka.

"Senior! Jumpa pun senior! Senior, kami dah datang!"

Berdenyut-denyut kepala Emhyr mendengar suara ceria tersebut. Dia terasa mahu berpura-pura pengsan saat itu juga.

Datang dah junior gila mereka ini!

Ahsoka di atas pokok terus buat-buat tidur, siap dengan pakej dengkuran lagi.

Emhyr berkerut-kerut wajahnya menyumpah-nyumpah dalam hati. Dia cukup malas untuk bangun menyembunyikan diri saat ini. Lagipun sudah terlambat untuk dia lari.

Cuma Ryker sahaja yang tenang terus membaca bukunya.

Seorang lelaki muda remaja berjalan dengan penuh semangat ke arah pohon tempat mereka berehat.

Rise of The EmperorWhere stories live. Discover now