Lao memerhati Momo menyusun satu persatu barang rekaannya di atas meja. Tangannya mencapai salah satu sepit rambut rekaan Momo yang menarik perhatiannya.
Dia membelek sepit rambut dengan reka bentuk kepak rama-rama itu penuh minat. Dalam hatinya memuji kecantikan sepit rambut bertatahkan batu jade itu. Warna jade itu begitu mempersonakan, berkilau warna biru gelap dengan campuran warna putih mist. Nampak begitu asli, bersih dan jernih.
Dia tahu kebelakangan ini, Momo menghabiskan banyak masa berguru dengan sifunya untuk mengasah seni mengukirnya. Rekaan Momo semakin lama semakin kemas, malah, budak kecil itu sudah mampu menghasilkan ukiran yang mempesonakan mata tanpa mengambil masa yang lama. Satu sahaja yang boleh Lao simpulkan melihat segala bentuk rekaan sepit rambut Momo, tuannya itu seorang yang genius!
Dia meletakkan semula sepit rambut di tangannya di hadapan Momo. “Cantik,” Terlafaz pujian itu dari bibirnya.
Mata Momo terus terkebil-kebil memandang Lao bagaikan tidak percaya.
Lao yang sinis, Lao yang bermulut laser, Lao yang selalunya tidak berperasaan, memujinya?
Momo ketawa kecil geli hati. Bengkek hati Lao melihatnya. Tangannya gatal menarik ekor rambut Momo.
“Ouch!” Terus Momo mengaduh. “Aki, tengok Lao ni!” Momo merengek mengadu, berpaling pada Haraki yang tekun membaca buku di tangannya. Haraki tidak memberi apa-apa respon, malas hendak melayan.
Makin masam cemberut wajah Momo. Lao tersengih, suka mengusik Momo.
Tidak meghiraukan Lao dan senyuman menyakitkan hatinya, Momo memasukkan barang perhiasan rekaannya ke dalam uncang poket dimensinya. “Kau nak buat apa dengan barang-barang tu?” Soal Lao.
“Momo nak jual. Nanti dapat duit banyak, boleh jadi orang kaya.” Jawab Momo sambil buat muka bangga. Tercebik Lao mendengarnya.
“Kau nak jual di mana? Di bandar utama?” Soal Lao lagi. Momo menjawab dengan anggukan.
“Momo nak jual di dataran lapang Qan’an. Kat dataran tu memang siapa-siapa boleh datang untuk buka kedai.” Momo sudah siap survey lagi tapak perniagaannya. Memang di dataran Qan’an akan ada ramai orang, kebiasaannya dari sect Artificier dan Refiner, yang datang membentang tikar dan mula melelong barang-barang ciptaan mereka.
Setelah selesai berkemas dan mengikat uncang poket dimensinya di sisi pinggang, Momo bersiap sedia untuk pergi ke bandar. Tiba-tiba, Haraki yang dari tadi sibuk membaca menutup bukunya dan bangun berdiri dari sofa. Rambut hitam panjangnya dikuak ke belakang bahu dengan penuh elegan. “Aku ikut sekali.” Putusnya.
Haraki tahu barang-barang rekaan Momo, meskipun hanya barang hiasan seperti sepit rambut, namun semuanya bernilai tinggi. Ini kerana barang-barang Momo bukannya dibuat daripada bahan biasa-biasa. Semua bahan mentah yang digunakan Momo adalah bahan semulajadi asli yang suci dari pencemaran dan benda asing dan sukar didapati. Dia khuatir Momo akan dirompak semasa dalam perjalanannya.
Momo tersenyum lebar apabila mendengar yang Haraki akan menemaninya ke bandar.
Mereka berdua pun memulakan perjalanan mereka.
Sewaktu mereka melepasi sebuah bandar kecil yang berjiranan dengan bandar besar Qan’an, Momo tiba-tiba berjalan ke hadapan Haraki dan memeluk pinggang lelaki itu. Haraki terhenti langkahnya. Matanya jatuh pada wajah pau Momo yang mendongak memandangnya.
“Aki.. Momo lapar.” Momo mengepam pipinya.
Haraki terdiam. Sudah boleh diagaknya ayat ini yang akan keluar dari mulut Momo. “Jual barang kau dulu.” Haraki tidak mengendahkan permintaan Momo.
YOU ARE READING
Rise of The Emperor
FantasyDi sebuah alam yang terdiri daripada pelbagai jenis makhluk, manusia dan beast hidup saling bermusuhan. Haraki, seekor beast yang dipulau dan dilayan teruk oleh clannya sendiri kerana berdarah separuh manusia muncul memusnahkan clannya sendiri denga...